Sabtu, 29 Disember 2012

Cintamu Limited Edition (8)

                                                                          
                                                                        BAB 8 
“NASUHA!” Laung Faezah dari jauh. Nasuha yang sedang membuka langkah seribu menoleh ke arah suara tersebut. Kelihatan Faezah di seberang jalan melambai-lambaikan tangan ke arahnya.
            “Aku kejar masa. Aku ada date dengan Miss Kavitha. Lepas date aku message kau.” Jeritnya lantang agar Faezah mendengar dengan jelas setiap patah bicaranya.
            “Okay.” Faezah menunjukkan ibu jarinya yang dihalakan ke atas.
Nasuha menyambung lariannya. Dia berharap bas tersebut masih lagi menanti kehadirannya untuk memenuhi ruang bas tersebut. Nasuha menarik nafas lega apabila bas yang dikejarnya itu sempat juga dinaiki olehnya.
“Alhamdulillah.” Ucapnya lega dengan nafas yang turun naik akibat berlari tadi.
“Pakcik, PPIB.” Ujarnya kepada pemandu bas yang tersengih melihatnya.
“Daripada adik naik bas bagus adik lari terus, mesti adik sampai dulu sebelum bas ni.” Balas pemandu bas yang lengkap mengenakan pakaian seragam pemandu bas UMS.
“Pakcik perli saya?” Soal Nasuha dengan senyuman di bibir.
“Bukan perli tapi kenyataan. Pakcik tengok adik berlari dengan laju tadi. Atlet ke?” Soalan terakhir pemandu bas itu membuatkan Nasuha melebarkan lagi senyumannya.
‘Atlet celah mana pula pakcik ni. Masuk pertandingan lumba lari selalu jadi orang terakhir tetiba pula kata aku ni atlet. Wakakaka melawak di petang harilah pakcik ni.’ Desus hatinya.
“Dik, banyak lagi kerusi kosong di belakang sana.” Beritahu pemandu bas tersebut apabila melihat Nasuha hanya berdiri berhampiran pintu.
“Saya berdiri sini sajalah pakcik. Senang nak keluar nanti.”
“Suka hati kamulah. Jatuh tanggung sendiri.”
“Kalau jatuh pun dalam bas juga pakcik sebab bas ni lengkap dengan pintu. Hehe.”
“Menjawab.” Ujar pemandu bas tersebut. Nasuha senyum walhal di dalam hatinya hanya Allah sahaja yang tahu betapa risaunya dia untuk bertemu dengan Miss Kavitha.
Tiga minit setelah bas bergerak, bas tersebut berhenti di perhentian bas berikutnya. Nasuha keluar dari perut bas tersebut setelah mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas tersebut. Dia berdiri di tepi jalan sambil menoleh ke kiri dan ke kanan. Terlalu banyak kenderaan yang lalu lalang ketika itu. Dia ketap bibir. Geram.
“Jom seberang Taubat Nasuha.” Sapa satu suara dari sisinya. Dia menoleh sekilas sambil kakinya turut sama melangkah melintas jalan raya tersebut.
‘Alamak!’ Nasuha tarik nafas dalam. Dia melarikan pandangannya. Malas ingin menatap wajah lelaki di hadapannya.
“Ingat aku lagi?”
“Hmmm.”
“Mesti ingatkan. Kau nak jumpa Miss Kavitha?” Tebak lelaki itu lagi membuatkan Nasuha tidak jadi meneruskan langkahnya.
“Macam mana kau tahu?”
“Aku pun nak jumpa Miss Kavitha. Jam 3 petang di level 1 kan?” Lelaki itu meminta kepastian. Nasuha mengangguk perlahan.
 Otot kakinya terasa lemah. Dia seperti dapat mengagak apa yang bakal berlaku selepas ini. Kini fikirannya melayang jauh. Tidak dapat membayangkan jika apa yang difikirannya kini menjadi kenyataan. Sesungguhnya dia tidak rela jika dia dan Hafiz Azhar akan menjadi sebuah kumpulan dalam subjek Kesusasteraan dan Gender.
“Pernah pergi bilik Miss Kavitha?” Soal Hafiz Azhar. Nasuha geleng namun tindak balasnya itu tidak dapat dilihat oleh Hafiz Azhar yang  berada di hadapannya. “Pernah pergi bilik Miss Kavitha?” Hafiz Azhar mengulang soalannya.
“Tidak pernah.” Jawab Nasuha lemah.
“Tadi berlari bukan main lagi macam di kejar hantu. Sekarang dah pancit ke?”
‘Eh, mamat ni nampak aku berlari kejar bas ke tadi. Oh, sesungguhnya ini tidak patut berlaku. Mak tolong!’
“Pergi mana tu?” Soal Hafiz Azhar apabila melihat Nasuha ingin meneruskan langkah ke level 2.
“Eh, ni level 1 ke?” Soal Nasuha tersipu.
“Taubat Nasuha, Taubat Nasuha. Ingatkan dah bertaubat nasuha rupanya tak lagi. Memang selalu sesatkan?”
“Jangan panggil saya Taubat Nasuha.”
“Taubat Nasuha.”
“Nama saya Nasuha.” Tegas Nasuha kepada Hafiz Azhar.
“Okay. Taubat Nasuha.” Sakat Hafiz Azhar.
“Hafiz Azhar!”
“Ya saya. Ada apa-apa yang boleh saya bantu Cik Taubat Nasuha.” Sakatnya lagi sambil tersengih nakal.
“Huh!”
“Jangan marah nanti kena jual.” Ujarnya seraya memulas tombol pintu pejabat am Pusat Penataran Ilmu & Bahasa.
“Selamat petang. Saya ada temujanji dengan Miss Kavitha jam 3 petang ni.”  Ujar Hafiz Azhar kepada pekerja yang berada di kaunter pejabat am tersebut.
“Miss Kavitha belum masuk pejabat lagi. Kamu tunggu sebentar mungkin dia akan datang sekejap lagi.” Ujar wanita berusia awal 30-an itu sambil melirik jam dinding di pejabat tersebut. “Dan kamu?” Ujar wanita itu lagi kepada Nasuha yang berada di belakang Hafiz Azhar.
“Nak jumpa Miss Kavitha juga.” Beritahu Nasuha cepat.
“Boleh duduk di sana sementara tunggu Miss Kavitha.” Beritahu wanita itu sambil ibu jarinya menunjuk ke arah sofa  yang berada di penjuru pejabat.
“Terima kasih.” Ucap Hafiz Azhar dan Nasuha serentak.
Empat puluh minit telah berlalu namun kelibat Miss Kavitha tidak jua kelihatan. Nasuha yang tidak senang duduk telah beberapa kali mundar-mandir di dalam pejabat tersebut. Hafiz Azhar hanya memerhati tingkah Nasuha tersebut.
“Ada atau tidak Miss Kavitha ni?” Soal Nasuha setelah lama berdiam diri.
“Nak saya jawab?” Hafiz Azhar senyum.
“Semalam kata 3 pm sharp. Siap tekan lagi perkataan sharp tu. Ni dah nak dekat satu jam batang hidung dia pun tak nampak. Sharp la sangatkan. Baik lagi dia kata 4 pm sharp. Taklah orang terkejar-kejar nak pergi sini.” Bebel Nasuha.
“Ni marah pasal Miss Kavitha lambat ke marah pasal tadi penat lari pecut?” Soal Hafiz Azhar.
“Bukan marahlah. Sekadar luahan rasa.” Hafiz Azhar senyum mendengar jawapan Nasuha itu.
“Taubat Nasuha, Taubat Nasuha.”  Hafiz Azhar geleng kepala dengan  senyuman yang masih tidak lekang di bibirnya.
‘Aku ketuk juga mamat ni sesuka hati tambah nama aku.’
Lagu Aishiteru berkumandang, memenuhi ruang pejabat am PPIB. Nasuha membuka zip begnya dan mencari sesuatu. Tidak lama kemudian dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan segera menekan butang hijau.
“Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Sorry Fa, aku masih di PPIB. Miss Kavitha tak kunjung tiba lagi. Erm, penting sangat ke kau nak jumpa aku ni?” Soal Nasuha. Hafiz Azhar sekadar memerhati tingkah Nasuha bercakap melalui talian telefon.
“Erm, macam ni, lepas aku jumpa Miss kavitha ni, kita pergi makan tempat biasa. Aku lapar, tak makan lagi. Macam?” Usul Nasuha kepada si pemanggil.
“Okay jumpa nanti. Assalamualaikum.” Talian diputuskan. Nasuha memasukkan semula telefon bimbit ke dalam begnya dan segera menapak ke kaunter.
“Kak, Miss Kavitha ni ada atau tidak?” Soalnya.
“Akak pun tak pasti dik. Cuba kamu try call dia.”
“Dah janji kak, apa kes pula nak call dia.”
“Mana tahu dia lupa. Ha tu pun Miss Kavitha.” Ujar wanita itu apabila melihat kelibat Miss Kavitha yang masih berada di luar pejabat am. Hafiz Azhar segera berdiri menghampiri kaunter apabila mendengar kata-kata wanita itu.
“Selamat petang Miss.” Ucap Hafiz Azhar dan Nasuha hampir serentak sebaik sahaja Miss Kavitha melangkah masuk ke dalam pejabat itu.
“Petang.” Ucap Miss Kavitha dan meneruskan langkah untuk masuk ke biliknya.
“Miss.” Seru Nasuha.
“Ya. Nak jumpa saya ke?”
“Dah Miss yang janji nak jumpa 3 pm sharp, takkan nak jumpa lecturer lain kan?!” Ujar Nasuha sinis tapi masih melemparkan senyuman manis kepada pensyarah tinggi lampai itu. Hafiz Azhar sedikit terkedu.
“Oh  sorry, I terlupa. So, you Nasuha right?
Yes, I am.”
“Okay. Semua ahli kumpulan kamu telah bertukar kelas ke hari Isnin dan hanya tinggal kamu seorang yang ambil kelas hari Khamis. Sekarang saya bagi kumpulan baru kepada kamu. Kamu boleh join kumpulan Hafiz.” Ujar Miss Kavitha.
What?!  Kumpulan Hafiz? Hafiz mana? Hafiz ni?” Nasuha menunjuk Hafiz Azhar yang sedari tadi hanya mendiamkan diri.
Yes. This is your group leader.”
‘Akhirnya ramalanku benar belaka. Stress.’
“Ada masalah ke?” Soal Miss Kavitha seolah prihatin.
“Ada Miss.”
“Apa masalah kamu. Kalau tidak kamu boleh join kumpulan kamu pindah kelas hari Isnin, jam 11 pagi hingga jam 1 petang.” Cadang Miss Kavitha.
“Isnin saya ada kelas Miss.”
“Kuliah atau tutorial?
“Kuliah”
“Masa yang sama?”
“Ya.” Nasuha angguk.
“So, kena stay juga kelas hari Khamis dan sertai kumpulan Hafiz.
            “Group lain?” Soal Nasuha. Kelihatan pensyarah muda itu menggeleng dengan bibir dijuihkan ke hadapan bagi menjawab soalan Nasuha itu.
            “Hafiz, you ada masalah nak terima Nasuha dalam kumpulan kamu?” Soal Miss Kavitha. Hafiz Azhar sekadar menggeleng dan senyum. “Good. Okay guys, saya ada meeting ni, ada masalah jumpa saya. Selamat bekerjasama.” Ucap Miss Kavitha yang sekali imbas seperti penyanyi Jacklyn Victor.
            “Thank you Miss.” Ucap Hafiz Azhar ceria.
            “Thank you Miss.” Ucap Nasuha lemah.
            ‘Apalah yang nak di ucap terima kasih dekat Miss tu. Menambah beban masalah aku lagi adalah. Malangnya kau Nasuha.’ Bicara Nasuha sendirian.
            “Nasuha, it’s okay. Trust me, Hafiz can handle you and he is a good leader. Don’t worry. Bye.” Miss Kavitha melangkah penuh bergaya dengan derapan tapak kasut tumit tinggi menuju ke biliknya.
            ‘Can handle me?! Tolonglah Miss, saya bukan budak kecil yang perlu di handle oleh seseorang. Ceh, mesti mamat ni perasan habis Miss kata dia good leader. Arghhh.’
            “Selamat bekerjasama cik Taubat Nasuha. Harap bagi kerjasama yang baik dan komitmen yang tinggi.” Ucap Hafiz Azhar sebaik sahaja mereka keluar dari pejabat am PPIB.
            “InsyaAllah.” Ucapnya perlahan dan terus melangkah meninggalkan Hafiz Azhar beberapa tapak di hadapan.
            “Taubat Nasuha.” Panggil Hafiz Azhar apabila teringat sesuatu. Nasuha tidak mengendahkan panggilan tersebut malah lagi mempercepatkan langkahnya. “Taubat Nasuha!” Laungnya lebih kuat dari tadi.
            ‘Haha kau rasalah. Malas nak layan kau Hafiz Azhar.’
            “Taubat Nasuha sesat! Taubat Nasuha sesat! Taubat Nasuha sesat! Taubat Nasuha sesat!” Pekik Hafiz Azhar berulang kali. Serta-merta Nasuha memberhentikan langkahnya dan menoleh Hafiz Azhar yang berada di belakangnya.
            “Hafiz Azhar!”
            “Aku panggil buat-buat tak dengarkan.”
            “Kau ni memang menyakitkan hatikan?!” Marah Nasuha.
            “So? Ada aku kisah?”
            “Eeeeeee. Kau nak apa?”
            “Aku nak pesan, jangan sesat lagi.” Ujar Hafiz Azhar sambil tergelak kecil.
        ‘Grrrrr, sabar Nasuha. Sabar Nasuha. Ini Ujian Allah.’ Bisik hati Nasuha bagi menenangkan dirinya agar tidak terlalu mengikut emosinya yang tidak stabil ketika itu.
           “Hari Khamis jangan salah masuk kelas tau. Kelas kita di DKP A1. Ingat betul-betul DKP A1.”
“Aku taulah.”
       “Jangan kata tau je tapi nanti sesat lagi.” Perli Hafiz Azhar diiringi tawa di hujung bicaranya.
            “Dah masuk  semester tigalah pakcik, mestilah aku dah mahir dewan kuliah yang ada di sini.”
          “Memang kau dah semester 3 tapi level1 dan level2 bangunan PPIB pun masih confuse, mahir ke?! Taubat Nasuha, Taubat Nasuha.” Hafiz Azhar masih lagi menghabiskan sisa-sisa ketawanya yang tadi.
            “Chow.”
       “Assalamualaikum Taubat Nasuha. Take care.” Ucap Hafiz Azhar dengan leretan senyuman di bibir.
            ‘Perli akulah tu.’
         “Waalaikumussalam.” Jawabnya sambil mengerling sekilas wajah Hafiz Azhar yang sedari tadi tidak lekang dengan senyuman di bibir.

Cintamu Limited Edition (7)

                                                          
                                                           BAB 7
SETELAH empat hari tiga malam berada di kampung Kota Klias, Beaufort kini tiba masa untuk mereka kembali semula ke kampus. Kesemua peserta program dan penduduk kampung berkumpul di jeti. Cahaya lampu yang suram seperti memahami isi hati para peserta program. Suasana sedih menyelubungi majlis yang serba ringkas itu. Nasuha bersalaman dengan Puan Dayang Laila dan seterusnya Puan Hasnah. Air matanya yang sedari tadi tidak berhenti mengalir diseka berulang kali. Mereka berjalan beriringan dan berhenti di hadapan pintu bas.
         “Hai, ini untuk kau.” Sapa seorang lelaki yang tiba-tiba sahaja muncul di antara mereka.
          “Untuk saya?” Soal Nasuha tidak percaya.
          Awu untuk kau.”
          Bekelakar ni kan?”
          Inda eh, aku serius ni. Memang aku beli untuk kau.”
          “Erm, tidak salah orangkah ni?” Soal Nasuha cuak.
          “Betullah. Bu, anak angkat kita ni kan?” Soal lelaki itu lagi.
           Awu.”
        “Kamu adik angkat si Wan kan?” Soal lelaki itu lagi. Nasuha angkat kening, pening, sukar mempercayai apa yang berlaku.
            “Ambillah.” Ujar Puan Dayang Laila.
          “Taulah benda ni murah. Biar pun murah tapi aku ikhlas bagi sama kau.” Ujar lelaki itu lagi.
            “Eh, saya tidak bermaksud macam tu. Erm, saya cuma takut kalau kamu silap orang.” Terang Nasuha.
            “Jadi kau sudi terima hadiah aku ni?”
            “Bagi hadiah ni tiada maksud apa-apa kan?” Soal Nasuha inginkan kepastian.
           “Kau jangan watirlah, aku tiada maksud apa-apa. Aku ikhlas bagi kau.” Beritahu lelaki itu.
            “Terima kasih.” Ucap Nasuha seraya mencapai kain berwana biru muda.
            “Pakailah.” Pinta lelaki itu.
            “Sampai UMS nanti, saya pakai. Okay?”
      “Pakailah sekarang.” Ujar lelaki itu lagi dengan senyumannya. Puan Dayang Laila sekadar mengangguk agar Nasuha mengikut permintaan lelaki itu.
         “Wahhhhhh!” Ramai yang terpana apabila kain biru itu ditebar, ia merupakan selendang yang dihiasi dengan mutiara yang berkilau.
            “Cantik.” Kata lelaki itu lagi.
           “Err, terima kasih. Saya naik dulu ya.” Nasuha meminta diri. Sempat lagi dia bersalam dan berpelukan dengan Puan Dayang Laila buat sekian kalinya sebelum melangkah masuk ke dalam perut bas dengan lutut yang menggigil.
            “Jaga diri. Jangan lupa aku. Nama aku Junaidi.” Beritahu lelaki itu sebelum pintu bas ditutup. Nasuha sekadar angguk dan tersenyum.
            Bacaan doa diketuai oleh Hafiz Azhar dibaca sebelum mereka memulakan perjalanan pada malam itu. Sebaik sahaja bacaan doa tamat para peserta melekat di cermin bas untuk melambai keluarga angkat masing-masing. Ada keluarga angkat yang menangisi anak angkat mereka yang akan kembali semula ke kampus, ada pula yang bersahaja. Macam-macam ragam boleh di lihat pada ketika itu. Lelaki yang memberi selendang kepada Nasuha juga turut sama melambai ke arah mereka.
            “Suha, balas lambaian abang selendang kau.” Ujar Azan.
            “Eeeee.” Nasuha tunjuk penumbuk pada Azan.
            “Eh, aku nak tengok selendang tu. Cantik.” Ujar Khalilah sambil berjalan menghampiri Nasuha yang duduk di kerusi belakang.
            “Aku pun nak tengok juga.” Ujar Diana.
            “Ala kau ni Suha, orang bagi selendang pun nak touching.”
            “Eee bukan pasal selendanglah. Ambil ni bawa pergi depan. Dah habis belek nanti bagi balik dengan aku.” Ujar Nasuha sedikit rimas dikerumun sebegitu.
            “Pssst.” Nasuha menoleh. Kelihatan Hafiz Azhar senyum ke arahnya. Dia menghulur tuala sederhana besar ke arah Nasuha. Nasuha mencapainya.
            “Hafiz jangan cari gaduh.” Rozana memberi amaran. Hafiz Azhar sekadar senyum.
            “Nah.” Hafiz Azhar menghulur tuala sederhana besar kepada Nasuha.
        “Eh, beg aku?” Nasuha tiba-tiba teringat beg kertasnya yang dipegang oleh Aiman ketika mereka berada di jeti tadi.
            “Ni.” Hafiz Azhar menghulur beg kertas tersebut.
            “Nasib baik.” Nasuha hembus nafas lega.
         “Abang Man yang bagi tadi. Dia kata untuk adik dia yang manja.” Ujar  Hafiz Azhar satu-persatu.
        “Terima kasih.” Ucap Nasuha membiarkan amarahnya kepada Hafiz Azhar berlalu begitu sahaja.
            “Sama-sama Taubat Nasuha yang manja.”
            “Hafiz Azhar!”
            “Okay-okay tak nak gaduh. Peace no war.” Ujar Hafiz Azhar sambil tersengih.
        “Suha senyum tapi air mata dia tak berhenti juga.” Ujar Syazwan yang sedari tadi memerhati Nasuha.
            “Aku memang macam ni.” Beritahu Nasuha jujur.
            “Ala banjirlah bas ni nanti.” Usik Izar yang duduk di hadapan Hafiz Azhar.
            “Tidaklah sampai banjir.” Ujar Nasuha pula cuba menyangkal usikan Izar.
         “Nah ambil ni. Biar pun malam jarang orang mabuk tapi better kau makan.” Hafiz Azhar menghulur gula-gula hacks kepada Nasuha.
            “Hafiz takut Nasuha mabuk lagilah tu.”
            “Kalau Nasuha mabuk, siapa yang susah hati?” Soal Rozana kepada Syazwan.
            “Hafizlah yang susah hati.”
        “Aku susah hati sebab takut dia muntah dalam bas ni. Kau nak duduk berjam-jam dalam bas yang bau muntah?!” Soal Hafiz Azhar kepada Syazwan pula. Syazwan geleng kepala, tidak dapat membayangkan jika dia perlu duduk di dalam bas yang bau muntah.
            “Ehem, tolong sikit ya. Biar pun aku mabuk jalan tapi aku ni tak muntah dalam kereta atau bas. Aku mesti muntah luar dari kereta atau bas.”
       “Yalah tu. Itu pun kalau sempat kau nak keluar dari bas kalau tak, sama jugalah jawabnya.” Ujar Hafiz Azhar. Nasuha sekadar mencebik.
       “Suha, selendang kau.” Riana menghulurkan selendang berwarna biru itu kepada Nasuha.
            Thanks Ana.”
          “Tak lama lagi ada kawan kita yang akan jadi orang Kg. Kota Klias Beaufort.” Perli Izar.
       “Sekarang selendang, esok lusa pinangan.” Usik Azan yang berada di kerusi paling hadapan.
        “Kompang dipalu pengantin baru, semoga bahagia ke anak cucu.” Khaleda dan Azan menyanyi bersama bait lagu tersebut.
          Nasuha melipat selendang itu dan dimasukkan ke dalam beg kertas yang diberikan oleh Hafiz Azhar sebentar tadi. Dia duduk berdiam diri tidak ingin mengulas lebih lanjut segala usikan rakan-rakannya itu. Matanya bertembung dengan mata Hafiz Azhar, senyum dan masing-masing melayan emosi sendiri tanpa sepatah bicara lagi selepas itu.
            Masuk sahaja kawasan Kg. Benoni, Papar, Nasuha mula menghampiri pemandu bas tersebut. Risau jika pemandu bas tersebut terlupa untuk menurunkannya seperti yang telah mereka bincangkan ketika di jeti tadi. Setiba di Stesen Minyak Petronas, Papar bas tersebut berhenti. Memberi peluang kepada para peserta untuk membuang air atau membeli makanan.
         “Okay semua, terima kasih. Minta maaf kalau ada yang terkasar bahasa. Kosong-kosong ya.”
            “Okay. Jaga diri. Jumpa masa buka sem nanti.” Ujar Rozana.
        “Okay. Buka sem nanti kamu jangan sombong-sombong dengan saya. Semoga perjalanan kamu dilindungi oleh-NYA dan sampai dengan selamat. Pakcik terima kasih, bawa bas hati-hati. Kalau mengantuk berhenti dulu ya.” Pesan Nasuha kepada pemandu bas tersebut. Lelaki berusia awal 30-an itu senyum mendengar pesanan Nasuha.
 Nasuha meneruskan langkah dengan beg pakaian dan beg kertas di tangan menuju ke sebuah kereta proton berwarna coklat yang terletak tidak jauh dari bas tersebut. Setelah Nasuha memasuki kereta itu, pemandu kereta tersebut terus sahaja memecut laju meninggalkan kawasan Petronas yang masih lagi meriah dengan kehadiran pelajar-pelajar UMS.

Jumaat, 28 Disember 2012

AYAM LEMAK CILI API

Okay, okay petang-petang cam ni terasa nak berkongsi resepi pula...Mood main masak-masak telah kembali. Erm tapi maaflah saya ni bukan pakar pun bab masak-memasak ni. Masak terjun saja pun. Kata mak ayah saya "ASAL MASAK". So, kalau resepi ni memag tak sama dengan resepi sebenar ayam lemak cili api yang pernah kalian tahu, janganlah kalian mempertikaikan resepi dan cara-cara saya memasak ni k. Hahaha. Untuk tidak memenatkan jari-jemari ni, jom kita tengok bahan-bahannya :-

BAHAN-BAHAN

-Bawang merah
-Bawang putih
-Halia
-Cili Padi
**Kisar bahan-bahan di atas ni k. Sukatan memang tiada, suka hati koranglah nak letak berapa biji bawang dan halia tu..hehe. Cili padi tu janganlah terlalu banyak, ada pula yang terlebih pedas nanti.

-2 batang serai di ketuk
-Santan dari 1 biji kelapas
-Daun kunyit (suka hati nak hiris ke nak koyak ke nak masuk besar-besar tu ke, janji ada rasa.Hehe)
-Ayam (bahan utama ni, kalau tiada ayam kena tukar nama resepi)

CARA-CARA

-Ambil periuk. Jangan lupa nyalakan api tau. Api sederhana besar sudah memadai.
-Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan ayam.
-Letak santan secukupnya dan jangan berhenti kacau.
-Masukkan daun kunyit
-Garam secukup rasa.
 -Bila dah masak dan rasa pun dah okay, padamkan api. Bolehlah hidang untuk dimakan tak kisahlah untuk makan tengah hari atau makan malam atau makan pada bila-bila masa.

**Bagi orang-orang Sabah, kadang mereka rasa tidak lengkap masakan tanpa ajinomoto, so, kalau korang nak letak sekali pun boleh juga. Ikut suka hatilah, kita yang nak makan jadi ikut citarasa kitalah kan...

Okaylah, sekian dulu dari CHEF TERJUN, selamat mencuba :D

Khamis, 27 Disember 2012

Cintamu Limited Edition (6)

                                                                      
                                                                     BAB 6
UDARA petang di kampung itu menenangkan fikiran Nasuha. Dirinya terasa seperti berada di kampung halaman sendiri. Dia menarik nafas dalam dan menghembusnya perlahan. Dia mengulang beberapa kali. Dia memastikan pintu utama rumah tersebut telah di tutup rapi seperti yang telah diamanahkan oleh Puan Dayang Laila. Seketika kemudian dia menyarung kasut sukannya dan mula menghayun langkah menuju ke Dewan Sri Pertayu.
“Awalnya dik?” Sapa satu suara. Nasuha mencari-cari arah suara itu. Dia senyum apabila melihat kelibat Dayang Mashitah yang tercegat di jendela rumah tersebut.
“Mana ada awal kak. Jalan lenggang kangkung, sampai dewan jam 2 lebih juga.” Jawab Nasuha dengan senyuman manis menghiasi bibirnya.
“Eh, tunggulah sekejap. Hafiz pun dah siap. Boleh gerak sekali.” Saran Dayang Mashitah
“Eh, tidak apalah kak, saya gerak dulu.”
“Tunggulah kejap, Hafiz pun sudah siap. Tinggal pakai kasut saja lagi.” Pujuk Dayang Mashitah lagi. Nasuha sekadar tersenyum kelat. Dia teguk liur, tidak tahu macam mana ingin mengelak lagi.
‘Saya dah lewat sebenarnya kak.”
“Tunggu sekejap saja.” Pujuk Dayang Mashita lagi.
“Taubat Nasuha, tunggu kejap.” Ujar Hafiz Azhar yang tiba-tiba sahaja muncul di jendela tersebut. Nasuha teguk liur dan sekadar melemparkan senyuman kelat. Terpaksa akur, risau Dayang Mashitah dapat menghidu sikap kurang senangnya terhadap Hafiz Azhar.
‘Adui, apa malang nasib aku ni. Huhu mak help me!’
 “Eh, apa Hafiz panggil dia?” Soal Dayang Mashitah kepada Hafiz Azhar yang sedang menyarung kasutnya.
“Taubat Nasuha kak. Tu nama penuh dia.” Ujar Hafiz Azhar dengan senyuman mekar di bibir.
‘Argh! Aku telan juga mamat mangkuk ni.’
“Cantiknya nama.”
“Nama saya Nasuha saja kak.” Ujar Nasuha cuba memperbetulkan namanya.
“Dah, jom gerak. Nanti sambung borak. Kak Ita, saya pergi dulu.” Pinta Hafiz Azhar.
“Bah bisai-bisai bejalan atu. Siring-siring bejalan.” Ujar Puan Hajah Dang Amit dari muka pintu.
Awu nek.” Jawab Nasuha seraya berjalan menghampiri wanita berusia awal 80-an itu dan bersalaman.
“Eh, merati kurapak brunei anak angkat Dayang Lia ani.” Ujar Puan Hajah Dang Amit sedikit terkejut apabila Nasuha menyahut kata-katanya.
“Merati, ngapa pulang inda merati.” Ujar Nasuha dalam bahasa Brunei.
            “Campin gayanya ni.”
            “Hehe sedikit nganya. Bah nek, berinut dulu kami, akhir karang. Assalamualaikum.” Ucap Nasuha seraya sekali lagi bersalaman dengan Puan Hajah Dang Amit. Begitu juga dengan Hafiz Azhar.
            “Waalaikumussalam. Bah bisai-bisai.”
            Awu nek.” Nasuha dan Hafiz Azhar mula menghayun langkah meninggalkan rumah tersebut menuju ke Dewan Sri Pertayu.
            “Mengumpat berdosa besar.” Tebak Hafiz Azhar.
            “Memfitnah pun berdosa besar juga.”
            “Dah tu cakap apa dengan Nek Amit?”
            “Cakap biasa ja.”
            “Yang awak jawab awu, awu tu apa?”
            “Dia cakap, jalan bisai-bisai maksudnya jalan elok-elok. Tu yang saya jawab awu. Tau tak maksud awu?
            Awu tu maksudnya ya. Betulkan?”
            “Campin.”
            “Campin?”
            “Campin tu champion atau pun terror. Campin tu bahasa melayu. Takkan tu pun nak kena translate.
            “Erm, tak pernah dengar pun?”
            “Haha, nampak sangat bahasa melayu kau tak bombastik. Nanti balik UMS, kau pergi cari kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.”
            “Macamlah bahasa melayu kau tu bombastik sangat.”
            “Mestilah bombastik sebab tu aku tau perkataan campin. Hehe.” Ujar Nasuha bangga dapat mengenakan jejaka itu.
            “Bergaduh lagi?” Teka Rozana yang entah dari mana muncul.
            “Hehe mana ada bergaduhlah Zana.” Ujar Nasuha menafikannya.
            “Abang Hafiz!” Jerit sekumpulan kanak-kanak yang berada di pentas Dewan Sri Pertayu sambil melambaikan tangan mereka ke arah Hafiz Azhar. Lelaki itu senyum dan mula mengorak langkah menghampiri kanak-kanak itu.
            “Abang Hafiz masuk kumpulan kami.” Beritahu seorang kanak-kanak perempuan berkulit cerah itu.
            “Macam mana tahu?” Soal Hafiz Azhar mesra.
            “Tengok nama di sana.” Ujar kanak-kanak itu lagi sambil menuding jari ke penjuru dewan.
            “Semua sudah ada dalam kumpulan?” Soal Hafiz Azhar.
            “Sudah.” Jawab kumpulan kanak-kanak itu penuh semangat.
            “Hafiz, boleh mula sekarang.” Beritahu Izar yang juga merupakan pengarah program.
            “Okay.” Hafiz Azhar mengangkat ibu jari kanannya kepada Izar.
            “Kakak-kakak dan abang-abang sekalian sila mainkan peranan anda mulai sekarang.” Arah Izar dengan pembesar suara.
            Para peserta berkenaan mula melangkah meninggalkan Dewan Sri Pertayu. Menyembunyikan diri tetapi masih senang untuk ditemui oleh adik-adik yang bakal mencari mereka nanti. Para ketua kumpulan yang telah dilantik terus sahaja memberi penerangan dan arahan kepada ahli kumpulan masing-masing. Seketika kemudian semua ketua kumpulan bergerak ke tengah dewan dan mengambil satu kertas yang dilipat kemas di dalam balang. Terdapat 4 nama yang terdapat di dalam kertas tersebut dan para ahli kumpulan yang lain perlu mencari kesemua mereka berpandukan petunjuk yang diberi oleh ketua kumpulan.
            “Ketua kumpulan ingat, jangan sesekali menyebut mangsa yang hilang kepada ahli kumpulan anda.” Pesan Izar sambil membuat pemantauan dari satu kumpulan ke satu kumpulan yang lain.
            Kawasan Dewan Sri Pertayu  riuh rendah dengan suara kanak-kanak yang terlibat dalam aktiviti tersebut. Ada juga suara para remaja dan ibu-ibu yang memberi sokongan kepada anak-anak mereka. Lima belas minit berlalu, akhirnya, permainan itu tamat juga apabila semua mangsa hilang dapat dicari oleh mereka.
Permainan kedua yang diberi nama telefon rosak bermula selepas itu. Para ahli kumpulan berbaris secara memanjang kecuali mangsa hilang. Para ketua memanggil seorang peserta yang berada di hadapan untuk bertemu dengan mereka di hujung dewan. Masing-masing mula membisikkan sesuatu di telinga ahli kumpulan mereka. Seterusnya ahli kumpulan pertama akan membisikkan pula amanat yang disampaikan ke telinga ahli kumpulan yang kedua. Ahli kumpulan kedua menyampaikan pula kepada ahli kumpulan ketiga dan begtitulah seterusnya. Setelah semua selesai, ahli kumpulan yang terakhir dipanggil ke atas pentas untuk memberitahu kepada semua hadirin yang berada di dalam dewan tersebut tentang amanat yang telah mereka terima.
“Sekarang saya panggil adik Amirul dari Kumpulan 5 untuk memberitahu kepada kita semua tentang amanat yang telah diterima.”
“Pak Uda dan Mak Uda ada 5 orang anak, 3 lelaki dan 2 perempuan. Kita perkenalkan anak sulung mereka bernama Hafiz, anak kedua bernama Harizah, anak ketiga bernama Khairul, keempat bernama Rizal dan anak kelima sangat unik namanya iaitu Taubat Nasuha. Mereka berlima telah membeli sayur terung, sayur daun dan sayur kobis untuk santapan makan tengah hari.” Ujar Amirul petah.
Mata Nasuha terus mencari kelibat Hafiz Azhar. Buntang matanya melihat Hafiz Azhar yang sedang tersengih nakal kala itu. Jika diturut hatinya ingin sahaja di cili mulut lelaki itu. Nasuha cuba menenangkan dirinya, tidak mahu mencalarkan nama baik program dan juga unversiti gara-gara masalah dalaman yang berlaku antara dia dan Hafiz Azhar. Acara pada petang itu akhirnya tamat juga. Biar pun keletihan namun yang penting kesemua mereka begitu gembira dengan permainan dan acara sukaneka yang di atur oleh para peserta program dengan kerjasama penduduk kampung.
“Kak Taubat Nasuha jumpa malam nanti.” Jerit seorang kanak-kanak bernama Diyana yang diboceng oleh ayahnya. Nasuha sekadar senyum paksa manakala Hafiz Azhar, Izar dan Syazwan ketawa berdekah-dekah tidak jauh dari tempat Nasuha berdiri.
“Kak Taubat Nasuha, jom kita balik.” Ujar Hafiz Azhar lagi menambah bara di hati Nasuha.
“Kak Taubat, saya balik dulu. Malam ni kita jumpa.” Sapa seorang remaja pula sambil berjalan untuk balik ke rumahnya. Sekali lagi berderai tawa 3 teruna itu. Rozana yang pada mulanya hanya ingin menunjukkan riak wajah yang serius namun akhirnya terpaksa akur, sekurang-kurangnya dia perlu tersenyum melihat peristiwa yang sedang berlaku kini.
“Kau nampak ni?!” Nasuha menunjuk buku limanya.
“Hmmm, tak takut pun Kak Taubat.” Hafiz Azhar, Izar dan Syazwan gelak lagi. Nasuha merasakan ada pendarahan yang sedang berlaku di hatinya. Dia cuba untuk mengawal emosi sebaik yang boleh tidak mahu otaknya turut mengalami pendarahan sedemikian rupa.
“Okay jom balik. Kak Taubat, cepat jalan ke nak tinggal di dewan ni.” Ajak Hafiz Azhar dengan senyuman yang tak lekang di bibirnya. Nasuha diam namun kakinya tetap melangkah seiring dengan Rozana.
“Hafiz.” Panggil Rozana. Hafiz Azhar menoleh ke belakang. Rozana jengilkan matanya dan seketika mengeling Nasuha yang mula mendiamkan diri.
“Taubat Nasuha marah?” Soal Hafiz Azhar. Gembira melihat wajah serius Nasuha kala itu. Izar siku Hafiz Azhar. Izar menggeleng, isyarat agar Hafiz Azhar tidak meneruskan usikannya.
“Okay, jumpa malam nanti. Rumah kami ikut jalan ni.” Beritahu Rozana sambil ibu jarinya menunjuk ke simpang kanan.
“Jumpa malam ni. Nasuha, kami lalu sini.” Ujar Izar cuba memancing reaksi Nasuha. Gadis itu sekadar senyum dan mengangguk. Dia dan Hafiz Azhar seterusnya mengikut simpang kiri untuk kembali ke rumah keluarga angkat masing-masing.
“Aku dengar malam ni kau nak menyanyi. Betul?” Soal Hafiz Azhar. Nasuha sekadar menggeleng. Hafiz Azhar ketap bibir. Cuba mencari idea lain agar Nasuha tidak terus membisu sedemikian rupa.
“Siapa nama abang angkat kau yang main gitar di buaian semalam?” Soal Hafiz Azhar membuka topik baru namun Nasuha sekadar menjungkit bahunya.
“Takkan nama abang angkat sendiri pun tak tahu. Ke kau malu-malu kucing dengan dia.” Tebak Hafiz Azhar. Nasuha masih lagi memberi reaksi yang sama dengan hanya menjungkit sedikit bahunya.
Setiba di halaman rumah keluarga angkat Hafiz Azhar, Nasuha meneruskan langkahnya namun Hafiz Azhar masih juga mengekorinya. Nasuha pelik tetapi dibiarkan sahaja persoalan yang bermain di minda, tidak berminat untuk berkomunikasi dengan Hafiz Azhar ketika itu.
“Alhamdulillah, sampai juga Taubat Nasuha di rumah. Okay, Taubat Nasuha kita jumpa malam nanti.” Ujar Hafiz Azhar biar pun tiada tindak balas dari Nasuha.
“Hafiz, masuklah dulu.” Pelawa Puan Dayang Laila. Nasuha yang berselisih dengan Puang Dayang Laila bersalaman dengan ibu angkatnya itu.
“Eh, tak apalah makcik. Saya nak balik bersiap. Malam ni ada program lagi. Makcik jangan lupa datang tau.” Ujar Hafiz Azhar mesra.
“InsyaAllah. Terima kasih hantar Nasuha sampai ke rumah. Menyusahkan kamu saja. Abang-abang dia belum balik lagi, kalau tidak mereka yang ambil adik dia ni.” Ucap Puan Dayang Laila lagi.
“Ada pula menyusahkan. Bukan jauh pun rumah keluarga angkat saya dan rumah makcik ni. Lagi pun memang tanggungjawab saya makcik memastikan Nasuha ni sampai rumah dengan selamat dan tidak sesat.” Hafiz Azhar menekan perkataan sesat itu agar jelas dipendengaran Nasuha namun seperti tadi, tiada tindak balas pun dari gadis itu.
“Ada-ada saja kamu ni Hafiz.” Ujar Puan Dayang Laila tanpa memahami maksud disebalik ungkapan Hafiz Azhar itu.
“Makcik saya minta diri dulu, assalamualaikum. Nasuha jumpa malam ni. Jangan marah-marah.” Hafiz Azhar terus sahaja berlalu menapak kembali ke rumah keluarga angaktnya.
“Waalaikumussalam.” Puan Dayang Laila senyum melihat Nasuha.
“Kenapa babu pandang Suha macam tu?” Soal Nasuha apabila melihat senyuman ibu angkatnya kala itu.
“Patutlah kena hantar balik sampai rumah, marah dengan Hafiz rupanya. Merajuklah nikan?!” Tebak Puan Dayang Laila.
“Mana ada. Tak kuasa nak merajuk dengan dia.”
“Tapi tadi dia kata jangan marah-marah. Mesti ada yang dia buat dengan kamu?”
“Huhu babu memang memahami. Dia tu suka sakitkan hati Suha bu.”
“Sakitkan hati ada makna tu.” Ujar Najwan yang muncul dari pintu dapur.
“Tak ada makna langsung.”
“Bagi kamu tak ada makna tapi bagi dia ada. Okay juga kalau kamu dengan dia.” Cadang Najwan.
“Aish, ke situ pula abang Wan ni.”
“Kalau hati dah suka katakan ya pada cinta.” Sampuk Aiman yang dari tadi hanya mendengar perbualan antara mereka. Nasuha mencebik.
“Dia baikkan?”
“Baik apa macam tu. Suka malukan saya depan semua orang.” Luah Nasuha.
“Itu strategi dia.”
“Strategi apa macam tu.”
“Itulah perempuan tak tahu.”
“Abang Man pun nak sebelah dialah tu. Sebelum otak Suha ni tenat, lebih baik Suha mandi dulu. Lepas Isyak nanti kena berkumpul di dewan.
“Mana-mana sajalah Suha yang manja.”
“Eeeee, kenapa panggil orang manja ni?” Soal Nasuha kurang senang dengan panggilan yang diberikan oleh abang-abang angkatnya.
“Sebab manja.” Jawab Aiman cepat.
“Mana ada Suha manja.” Nafi Nasuha
“Orang manja memang tidak mengaku dia manja.” Bidas Aiman lagi.
“Hmmm.” Nasuha mati akal. Dia terus masuk ke dalam biliknya tanpa membalas hujah Aiman sebentar tadi.

BERSAMBUNG.....