TAJUK : SURATAN DI AIDILFITRI (13)
PENULIS : CUADIEY
Pagi itu, Hafiz Azhar mengenakan baju melayu berwarna putih yang
dibelinya bersama Nasuha. Dia berdiri di hadapan cermin. Membetulkan
songkoknya beberapa kali. Seketika kemudian, dia merapatkan lagi
wajahnya di cermin itu. Dia senyum melihat imejnya di hadapan cemin itu.
Memegang dada yang berombak. Debaran itu kian terasa. Menarik nafas
dalam, menahannya beberapa ketika dan menghembuskannya perlahan-lahan.
Tidak lama kemudian dia menyusun langkah keluar dari biliknya.
Di halaman rumah Tok Anjang dan Tok Cu, kelihatan ramai kanak-kanak
sedang berlari-lari ke sana dan ke mari, gembira menyambut ke hadiran
syawal tanpa tahu erti sebenar sambutan itu diraikan. Namun begitu, di
sudut lain pula, esak tangis mulai kedengaran. Tangisan ketika berjabat
tangan memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan dan keterlanjuran
kata serta perbuatan pada masa lalu, tidak kurang juga tangisan
kegembiraan kerana dapat meraikan aidilfitri bersama keluarga tercinta.
Hafiz Azhar menghampiri Nasuha yang sedang khusyuk menghapuskan air
matanya. Dia senyum. Nasuha terperanjat dengan kehadiran Hafiz Azhar di
sisinya. Cuba menyembunyikan mata yang merah akibat terlalu banyak
mengeluarkan air mata.
“Taubat Nasuha.”
“Kau ni Hafiz Azhar, nama aku Nasuha.”
“So, apa masalah dengan nama kau tu.”
“Nama aku tiada masalah tapi kau tu yang bermasalah dalam menyebut nama aku.”
“Suka hati akulah. Aku suka panggil kau macam tu. Taubat Nasuha Taubat
Nasuha Taubat Nasuha Taubat Nasuha.” Hafiz Azhar menyebut nama itu
berulang kali.
“Hafiz Azhar!” Wajah Nasuha mencuka.
“Dua orang ni, pagi raya pun nak bergaduh.” Tegur Pak Long Aji.
“Hafiz Azhar ni yang mulakan.” Beritahu Nasuha pantas.
“Tak kisahlah siapa yang mulakan. Pagi raya ni sama-samalah kita
bermaafan.” Ujar Pak Long Aji lagi. Nasuha mencebik ke arah Hafiz Azhar
manakala Hafiz Azhar pula hanya tersengih melihatkan barisan giginya
yang putih.
“Cepatlah minta maaf.” Arah Hafiz Azhar.
“Eh, kau tu yang selalu buat salah dengan aku, kaulah yang minta maaf.
“Apa pula aku.”
“Baik kau minta maaf sekarang sebelum kau menyesal.” Tutur Nasuha memberi amaran.
“Tiada benda aku nak menyesal.” Ujar Hafiz Azhar berlagak.
“Ish, malaslah aku nak cakap dengan kau ni. Buang masa. Lebih baik aku
gerak pergi surau sekarang.” Nasuha berlalu meninggalkan Hafiz Azhar
sendirian. Dari jauh kelihatan Puan Noraini menggeleng-gelengkan
kepalanya. Hafiz Azhar garu kepala yang tidak gatal apabila terpandang
gelengan ibunya.
“Semua lelaki gerak pergi surau.
Jangan ada yang tinggal. Perempuan tidak apa kalau tinggal.” Terdengar
arahan Pak Long Aji dari halaman rumah.
Belum lagi
sempat mereka melangkah tiba-tiba terdengar satu dentuman yang kuat.
Terkejut. Masing-masing mengurut dada. Beberapa orang yang berada di
dalam rumah menjenguk keadaan di luar rumah.
“Bunyi apa tu?” Soal satu suara.
“Entah tapi rasanya bunyi dari jalan raya.” Balas satu suara lagi.
Dari jauh kelihatan Nazri berlari-lari sambil meraung. Masing-masing
terpana dengan tingkah Nazri. Dia menerpa Puan Syuhada. Menangis
semahunya dipelukkan wanita itu. Hafiz Azhar yang berada berhampiran
teguk liur. Jantungnya berdenyut agak pantas.
“Kakak dah tiada.” Hafiz Azhar yang berdiri tidak jauh dari situ
mendengar dengan jelas butir bicara Nazri walaupun dalam esak tangis
yang kian menggila.
“Nazri.”
“Kakak kena langgar motor. Cepatlah panggil ambulans.” Raung Nazri
Tidak lama kemudian Nazim dan Nazir muncul. Masing-masing menggelengkan
kepala lemah. Dunia Hafiz Azhar seolah-olah begitu pantas berputar.
Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata Nasuha sebentar tadi agar dia
meminta maaf sebelum dia menyesal. Tingkah laku Nasuha ketika mereka
membeli-belah dan tutur kata yang di lafazkan ketika mereka berada di
depan bangunan BSN bermain di layar matanya. Pandangannya
berbalam-balam. Dia terjelepuk di lantai, kelam dan selepas itu dia
merasakan dunianya sepi.
BERSAMBUNG……..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan