Jumaat, 7 Jun 2013

Cintamu Limited Edition (20)



 BAB 20
Nasuha menutup buku nota kesusasteraan dan gender yang telah dibacanya berulang kali. Matanya memerhati rakan sebiliknya yang lain. Aznizah dan Dickziene leka menonton drama Thailand berjudul defendant of love manakala Kistiza pula sibuk menelaah buku Etika dan Akhlak sebelum menghadapi peperiksaan pada esok hari.
            “Nizah, Yan cafe buka sampai jam berapa?”
            “Wah kak Suha nak pergi café?” Soal Dickziene.
            “Lapar.” Ujar Nasuha manja
            “Alololo kesiannya.”
          “Ada maggi?” Soal Nasuha. Aznizah dan Dickziene serentak meggelengkan kepala. Nasuha mencebik, hampa.
            “Kak Za ada maggi tak?” Soal Nasuha pula sambil membetulkan duduknya. Kistiza berpaling dan menggelengkan kepalanya.
            “Jom saya teman Suha cari makanan di café.” Aznizah menawarkan dirinya.
            “Betul ni?” Soal Nasuha inginkan kepastian.
            “Betullah. Jom.”
            “Saya pun nak ikut.” Ujar Dickziene pula seraya bingkas dari kerusinya.
            “Kak Za nak join?”
            “Taklah kut. Kak Za nak tidur kejap lagi, esok ada paper pagi.”
            “Okay. Selamat tidur permaisuri.” Ucap Nasuha dan segera berdiri dari kerusinya untuk bersiap.
            “Kak Suha jangan tukar baju.”
            “Memang tak tukar pun.” Ujar Nasuha sambil mencapai tudung yang tergantung kemas di dalam almarinya. Sarung kakinya yang terletak di kaki katil disarung cepat. Seketika kemudian dia berjalan menuju meja belajarnya dan mengambil dua keping not berwarna hijau.
            “Okay saya sudah siap.” Beritahu Dickziene.
            “Jom. Kak Za, adik-adik Kak Za keluar membuang duit dan mencari makanan dulu. Suha ada bawa kunci bilik jadi kalau Kak Za nak tidur jangan lupa kunci pintu.” Pesan Nasuha.
            “Baiklah.” Jawab Kistiza dengan segaris senyuman. Nasuha, Dickziene dan Aznizah mula mengatur langkah menuju ke cafe CD. Melangkah di pintu masuk, Nasuha yang berjalan paling hadapan berhenti serta-merta dan berpaling semula untuk keluar dari cafe tersebut. Dickziene dan Aznizah sekadar menurut tanpa mengerti apa-apa.
            “Hah! Gulp!”
            “Kenapa?” Soal Dickziene.
            “Ramai lelaki.”
            “Dah tu?”
            “Masuk pintu sebelah sana.” Ujar Nasuha sambil menarik tangan rakan sebiliknya.
            “Kenapa kalau lalu pintu sini? Ada abang Hafiz?” Soal Dickziene.
            “Eh, bukanlah. Kalau lalu pintu ni kita kena jalan ruang tengah. Tak mahulah macam tu, I’m shy.”
            “Aduhai Suha ni. Malulah pula. Dah jom gerak.” Ajak Aznizah. Mereka berjalan mengelilingi cafe tersebut untuk tiba di pintu yang bertentangan dengan pintu yang mereka masuk sebaik tiba tadi. Mereka melangkah masuk. Aznizah dan Dickziene segera menuju ke gerai roti canai. Manakala Nasuha sekadar menuju gerai buger yang terletak berhampiran pintu masuk.
            “Bagi buger ayam special satu.” Ujar Nasuha kepada lelaki bertopi biru itu.
            “Bang telur ni sudah basuh ke belum?” Ujar satu suara. Nasuha menoleh. Hafiz Azhar angkat kening dan tersenyum.
            “Kalau dalam mangkuk ni memang sudah basuh. Kalau dalam tray memang belum basuh. Kenapa?” Soal lelaki itu.
            “Baguslah kalau sudah, kalau belum nanti ada orang tak makan buger special yang dia pesan tu.” Perli Hafiz Azhar pula. Nasuha ketap bibir.
            “Jangan risau, saya pentingkan kebersihan.” Ujar lelaki itu sambil tangannya lincah menyiapkan pesanan pelanggan. Hafiz Azhar sekadar menggangguk. Nasuha mengerling Hafiz Azhar yang berdiri di sisinya dan terus membuang pandang keluar cafe.
            “Taubat Nasuha.” Panggil Hafiz Azhar namun tidak dipedulikan oleh Nasuha. Hafiz Azhar mengulangi beberapa kali sehingga Nasuha memandang ke arahnya.
            “Apa?” Soal Nasuha kasar tapi dengan nada yang rendah. Hafiz Azhar sengih bagai kerang busuk.
            “Nota akaun aku bila kau nak pulangkan?” Soal Hafiz Azhar. Tiada niat untuk dia menagih semula nota tersebut tetapi itu sahaja topik yang ada untuk dipersoalkan kepada Nasuha ketika itu.
            “Bila kau free?”
            “Malam ni pun aku free.”
            “Nanti aku hantar dengan kau. Erm, tapi malam ni aku malas nak turun semula pergi cafe.” Beritahu Nasuha jujur.
            “Macam ni, lepas perlawanan bola ni aku pergi bilik kau.”
            “Eh, kau gila nak pergi bilik aku?” Soal Nasuha berpura-pura salah tafsiran dengan kenyataan Hafiz Azhar
            “Maksud aku, aku tunggu di luarlah, bukan masuk dalam bilik kau.” Terang Hafiz Azhar.
            “Oh, macam tu. Berita faham, roger and out.”
            “Jangan nanti aku dah tunggu depan bilik kau sesedap pula tidur.”
            “Kau mesej aku kalau kau dah on the way mendaki bukit. Okay?” Hafiz Azhar sekadar mengangguk dan senyum.
            “Buger ayam special siap.” Beritahu lelaki itu sambil menghulur buger tersebut. Nasuha yang baru sahaja ingin mencapai buger tersebut terkesima seketika apabila Hafiz Azhar lebih pantas mencapai buger yang dihulurkan itu.
            “Wui!” Nasuha ketap bibir geram. Dengan kaki yang berat dia turut melangkah mengikut jejak Hafiz Azhar.
            “Kau nak minum apa?”
            “Buger akulah.”
            “Aku tolong pegang sajalah.”
            “Eee, kau ni….”
            “Cepatlah nak minuman apa?” Soal Hafiz Azhar. Nasuha geleng kepala. Namun begitu Hafiz Azhar tetap mencapai 2 tin minuman dan membawanya ke kaunter.
            “Kira sekali kak.” Ujarnya kepada juruwang tersebut.
            “Kak, asing.” Ujar Nasuha pula. Juruwang berusia awal 30-an itu angkat kening. Aznizah dan Dickziene yang berada di kaunter sebelah hanya tersenyum dengan apa yang berlaku.
            “Kira sekali kak.” Tegas Hafiz Azhar.
Juruwang itu sekadar menurut apabila Hafiz Azhar terlebih dahulu menyerahkan duit kepadanya. Nasuha ketap bibir. Setelah mengambil baki duitnya, Hafiz Azhar terus sahaja mengatur langkah menuju ke meja yang di dudukinya sebelum melihat kelibat Nasuha. Nasuha terus sahaja melangkah keluar tanpa mengikut jejak Hafiz Azhar. Dickziene dan Aznizah yang telah pun berada di luar hanya tersenyum melihat wajah masam Nasuha.
“Kak Suha panggillah dia.” Syor Dickziene
“Eee, tak kuasalah. Tak nampak dia syok melayan bola tu. Dia telanlah semua tu. Jom balik”
“Suha panggillah dia.” Pujuk Aznizah pula.
“Tidak mahu. Balik, balik, balik, balik.”
“Kak Suha tunggulah kejap. Saya pergi jumpa dia.”
“Eeee, tak payahlah Yan. Jom.” Nasuha segera beredar untuk kembali semula ke bilik tanpa sebarang makanan di tangannya. Aznizah dan Dickziene sekadar geleng kepala. Pening memikirkan perangai Nasuha dan juga Hafiz Azhar namun segera mengekori Nasuha dari belakang.
“Taubat Nasuha!” Panggil satu suara sambil cuba menyaingi langkah Nasuha. Nasuha diam, tidak mahu bercakap biar pun sepatah dengan jejaka itu. Akhirnya Hafiz Azhar dapat juga menyekat kemaraan Nasuha. Nasuha cuba untuk meloloskan diri namun tidak berhasil.
“Kau ni nak apa?” Soal Nasuha kasar.
“Nak kau.” Ujar Hafiz Azhar bersahaja dan berjalan beriringan bersama Nasuha. Manakala Dickziene dan Aznizah masih mengekori rapat dari belakang.
“Gila apa?!”
“Siapa suruh kau soal macam tu. Aku nak bagi buger kau nilah. Nanti kau mati kebulur, aku pula yang disalahkan.”
“Kau telanlah semua tu.”
“Amboi, cantiknya bahasa.”
“Dah tu?!”
“Kau ni kan kalau dengan aku nak marah je atau kau sedang datang bulan sekarang ni.” Tebak Hafiz Azhar.
“Urusan orang perempuan tak payah kau nak sibuk.”
“Uishhh, lelaki wajib tau kalau perempuan datang bulan nanti taklah…”
“Kau tunggu sini, aku ambil buku nota kau.” Potong Nasuha cepat agar Hafiz Azhar tidak membongkar lebih lanjut tentang topik tersebut. Nasuha masuk ke dalam bilik dan tidak lama kemudian Aznizah dan Dickziene muncul.
So sweetlah Kak Suha.” Ujar Dickziene.
Sour je.” Balas Nasuha seraya bergegas keluar bersama buku nota akaun milik Hafiz Azhar.
“Terima kasih.” Ucap Nasuha sambil menghulur buku itu kepada Hafiz Azhar.
“Kasihmu ku terima. Nah ambil harta kau ni.” Nasuha mencapai plastik buger yang dihulur kepadanya.
“Erm, tapi air ni bukan harta aku.”
“Ala ambil sajalah. Bukan selalu pun.”
“Nah.” Nasuha hulur not berwarna hijau.
“Untuk apa?”
“Buger ni.”
“It’s okay. Aku suka nak belanja orang macam kau.”
“Orang macam aku? Maksud?”
“Orang macam kaulah.”
“Orang macam aku? Macam mana tu?” Soal Nasuha dengan wajah serius.
“Orang yang selalu sesat.” Hafiz Azhar gelak apabila melihat Nasuha ketap bibir mungkin kerana menahan geram atau pun cuba untuk menahan amarahnya.
“Eh, kau dah ambil kad dalam nota ni?” Soal Hafiz Azhar cuba mengubah topik yang sedia ada.
“Kad?” Nasuha kerut dahi. Melihat reaksi Nasuha sebegitu membuatkan Hafiz Azhar menyelak helaian di mana dia menyimpan kad tersebut dan mengambil kad yang terselit rapi di dalam buku nota tersebut. Dia menghulurkan kad berwarna kuning itu kepada Nasuha.
“Kad apa ni?” Soal Nasuha pura-pura tidak mengetahui akan kehadiran kad tersebut.
“Bacalah sendiri.” Jawab Hafiz Azhar hambar.
“Untuk aku?” Soal Nasuha lagi.
“Erm.” Hafiz Azhar sekadar mengangguk, kecewa.
“Tak perasan pula ada kad ni. Thanks Hafiz Azhar.” Ucap Nasuha bersahaja.
‘Wah, tiba-tiba senyap tadi bukan main lagi kau menyakat aku.’
            “Aku balik dulu.” Pinta Hafiz Azhar.
            “Okay Hafiz Azhar, terima kasih. Hati-hati turun bukit tu.” Pesan Nasuha. Hafiz Azhar tidak menunggu lama terus sahaja melangkah pergi tanpa membalas kata-kata Nasuha seperti selalu.
‘Yesssss. Berjaya juga kenakan kau Hafiz Azhar. Kau ingat kau saja yang mampu nak kenakan aku.’ Bisik hatinya sambil tersengih sendirian melihat kad kuning sederhana besar yang telah pun di bacanya sewaktu dia membaca nota akaun milik Hafiz Azhar beberapa hari yang lepas.