Khamis, 2 Januari 2014

Cintamu Limited Edition (22)


BAB 22
Nasuha, Rashidah dan Khayla Irdina duduk di perhentian bas kolej kediaman Cemerlang Dinamik. Nasuha ketap bibir setelah melirik jam di pergelangan tangannya. Dia garu kepala yang dibaluti tudung itu. Khayla Irdina mengerling riak rakannya itu dan kemudian memandang Rashidah yang langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi.
“Aku rasa luculah.” Ujar Rashidah tiba-tiba.
“Apa yang lucu tu Ida.” Soal Nasuha sambil mengangkat kening dua kali.
“Lucu sebab kau dari awal semester hari tu mengelak dari satu kumpulan, satu program dengan Hafiz. Tup-tup dah nak hujung semester menyertai program di bawah dia pula. Lucukan?!”
“Kalau aku tau program ni di bawah dia aku tidak akan ikut tau. Nasib saja dah sahkan dengan setiausaha tu yang kita akan ikut serta pergi lawatan ni kalau belum sahkan memang aku akan tarik diri.” Tukas Nasuha.
“Kalau dah jodoh tu memang macam tu Nasuha oiiii. Kau kena akui tu semua.”
“Eeeee, tolonglah. Geli OK.”
“Geli konon.” Rashidah tersenyum sinis melihat reaksi rakannya itu.
“Jomlah kita jalan kaki. Kalau tunggu bas memang kita lambatlah.” Usul Nasuha.
            “Bagi saja alasan tiada bas.” Ujar Khayla Irdina bersahaja.
            “Tapi semalam kakak tu cakap berkumpul jam 7 pagi dan bila-bila masa boleh bertolak. Nanti kita kena tinggal” Ujar Rashidah.
            “Jomlah kita jalan kaki. Aku rasa tak best pula kalau kita sampai lewat di sana.” Ujar Nasuha resah.
            “Alaaaa, kau telefonlah Hafiz. Beritahu dia yang sekarang tiada bas.” Ujar Khayla Irdina.
            “Eee, kau ni sikit-sikit suruh telefon Hafiz Azhar tu. Malaslah aku. Jomlah kita jalan kaki.”
            “Jomlah tapi jalan shortcut.” Ujar Khayla Irdina menyatakan persetujuannya.
            Shortcut?!” Soal Nasuha dan Rashidah serentak.
            “Lalu jalan Canselori dan belakang DKP tu. Lepas tu kita ikut tangga D’Bayu untuk pergi SPE. Macam?” Khayla Irdina meminta persetujuan.
            “OK.”
            “Jom.” Ketiga-tiga gadis itu menapak laju meninggalkan perhentian bas kolej kediaman itu dan bertekad untuk tiba di Sekolah Perniagaan Dan Ekonomi sebelum jam 7 pagi.
Hafiz Azhar sibuk memunggah barang-barang untuk di bawa bersama ke Rumah Warga Tua Sri Pritchard, Kinarut yang terletak di daerah Papar. Setelah selesai dia segera duduk di kerusi kosong bersebelahan dengan Izar dan Lea. Dia tergelak mendengar cerita Lea yang menggertak para peserta rombongan agar tiba di sana tepat jam 7 pagi. Sedangkan mereka sedia maklum bas UMS hanya beroperasi jam 7.30 pagi pada hari Sabtu dan Ahad.
“Hafiz! Hafiz!” Jia Hui menjerit-jerit memanggil namanya. Kelihatan gadis berbadan gempal itu berlari-lari mendapatkannya.
            “Kenapa ni Jia Hui?” Soal Hafiz Azhar sedikit panik dengan keadaan Jia Hui yang tercungap-cungap itu.
            “Itu…..saya nampak you punya anak buah jalan kaki ikut belakang itu Dewan Kuliah Perdana.”
            “Bila? Siapa?” Soal Hafiz Azhar lagi.
            “Baru sekejap tadi saya nampak. Tapi kereta saya penuh dengan peralatan teknikal jadi tidak boleh bawa mereka. Itu jalan sana sangat bahayakan, sunyi. Kita tidak tau kalau ada orang tidak bagus mahu mengapa-apakan mereka.”
            “Kenal tak siapa?” Soal Hafiz Azhar pantas.
            “Tengok muka saya kenal tapi nama mereka saya tidak ingat. Ada tiga orang. Err, itu satu orang you selalu sebut itu..hmmm, Taubat.” Adu Jia Hui.
            Hafiz Azhar menarik nafas dalam. Meninggalkan Jia Hui menghilangkan lelah akibat berlari sebentar tadi. Lima belas minit kemudian kelihatan Nasuha berjalan beriringan dengan 2 orang lagi rakannya iaitu Khayla Irdina dan Rashidah sambil rancak bercerita.
            “Taubat Nasuha! Kau apasal? Ada aku suruh kau jalan kaki pergi sini? Jalan yang kau lalu tu bahaya. Jalan tu sunyi. Kalau ada apa-apa berlaku dengan kau macam mana?!” Jerkah Hafiz Azhar sebaik sahaja Nasuha benar-benar berada di hadapan matanya. Nasuha, Khayla Irdina dan Rashidah terkedu mendengar jerkahan Hafiz Azhar itu
            “Aku bukan jalan satu orang. Lagi pun hari dah siang.” Jawab Nasuha cuba mengawal emosi dan suaranya.
            “Menjawab lagikan?! Aku cakap bahaya tu bahayalah. Kalau ada apa-apa berlaku dengan kau macam mana?! Jangan berlagak beranilah.”
Nasuha terkesima. Tidak menyangka bakal diherdik sebegitu oleh Hafiz Azhar di hadapan rakan-rakannya yang lain. Malu dan kesal dengan tindakan Hafiz Azhar terhadap dirinya ketika itu tidak dapat digambarkan. Malu kerana dimarahi dikhalayak ramai dan kesal kerana Hafiz Azhar meletakkan kesalahan itu di bahunya sahaja tanpa melibatkan 2 orang lagi rakannya yang terlibat secara langsung. Namun dia hanya mampu mendiamkan diri tanpa sebutir penjelasan untuk membela dirinya. Perasaan benci yang dahulunya hanya sekelumit kini kian merebak dan menggunung terhadap lelaki itu.
“Kau okay?” Soal Rashidah teragak-agak.
“Hmmm. Aku pergi tandas dulu.” Ujar Nasuha seraya berlalu pergi. Cepat sahaja Khayla Irdina mendekati Rashidah apabila Nasuha berlalu meninggalkan mereka.
“ Nasuha menangiskah?”
“Tengok tadi belum lagi menangis tapi macam mahu menangislah.”
“Hafiz pun satu, awal pagi lagi dah tengking Nasuha. Kalau aku pun jadi Nasuha, aku malu kut. Ramai pula senior tengok tadi. Dah tu yang aku pelik tu dia marah Nasuha sajakan tapi dia tidak marah kita.” Bebel Khayla Irdina
“Buat apa dia marah kita. Kita ni bukan penting pun bagi dia.” Ujar Rashidah bersahaja.
“Jadi Nasuha tu pentinglah?” Khayla Irdina kerling Rashidah di sebelahnya.
“Kau ni Khayla cubalah buka mata sikit. Tengok cara si Hafiz tu layan Nasuha pun boleh tau kan.”
“Biasa saja aku tengok.” Jawab Khayla Irdina acuh tak acuh.
“Erm, suka hati kaulah.” Malas benar Rashidah berbicara dengan Khayla Irdina yang dirasakan mempunyai sedikit perasaan cemburu terhadap rakannya sendiri.
“Taubat Nasuha mana?” Soal Hafiz Azhar yang baru sahaja muncul di hadapan mereka.
“Tandas.” Jawab Khayla Irdina cepat.
“Kejap lagi boleh naik bas tapi sebelum tu boleh ambil sarapan kamu di foyer.” Ujar Hafiz Azhar.
“Erm, Hafiz.” Seru Khayla Irdina.
“Ada apa?” Soal Hafiz Azhar mendatar.
“Kau tidak marah kami kan?! Nasuha tu yang takut datang sini lewat, tu yang dia ajak kami berdua jalan kaki pergi sini. Penat tau. Sakit kaki ni.” Adu Khayla Irdina.
“Padan muka. Siapa suruh jalan kaki.” Jawab Hafiz Azhar separuh mengejek.
“Nasuhalah yang suruh.” Khayla Irdina buat muncung itiknya.
“Kalau ya pun nak marah tak payahlah tengking sampai macam tu sekali. Kesian Suha.” Ujar Rashidah perlahan. Hafiz Azhar pandang sekilas wajah Rashidah dan terus sahaja berlalu pergi.
“Ishhhh, kau ni ada pula cakap macam tu dengan Hafiz. Memang patut pun dia marahkan. Kalau jadi apa-apa dengan kita macam mana. Siapa yang perlu bertanggungjawab?! Dia jugakan.” Bela Khayla Irdina.
“Diamlah kau makcik. Membebel saja.” Getus Rashidah geram seraya meninggalkan Khayla Irdina di situ sendiri.
“Kalau aku makcik, kau tu nenek.” Gumam Khayla Irdina.


RUMAH WARGA TUA SRI PRITCHARD KINARUT
            Wanita berusia dalam lingkungan awal 70-an itu menggamit Nasuha agar menghampirinya. Nasuha yang sedikit terkejut melangkah perlahan menghampiri wanita yang sedang duduk di katil bujang itu. Nasuha senyum melihat wanita itu walau pun hatinya menangis melihat dan mendengar wajah tua itu bercerita serba sedikit tentang dirinya.
            “Marilah duduk sini. Muka dia sama macam muka cucu nenek yang nenek jaga dulu. Mungkin dia pun sudah besar dan cantik macam ni juga.” Ujar wanita bernama Mariam sementara Nasuha melabuhkan punggung di katilnya.
            “Lama sudah nenek duduk sini?” Soal Natrah lembut.
            “Dekat 10 tahun sudah. Dulu nenek duduk dengan anak tunggal nenek. Safwan namanya. Anak nenek tu baik tapi bini dia tu tidak suka nenek. Semua perkara dia saja yang betul, dia saja mahu menang. Mula-mula tu Safwan masih bela nenek biar pun bini dia tu marah dan suka salahkan nenek tapi akhirnya Safwan terpaksa beralah juga. Mereka hantar nenek di sini.”
            “Oooooo.” Masing-masing tekun dan mengangguk faham akan cerita Nenek Mariam itu.
            “Mereka ada lawat nenek di sini?” Soal Lea pula.
            “Ada. Tapi itu dulu. Masa mula-mula mereka hantar nenek di sini.Tiga bulan sahaja mereka datang melawat nenek lepas tu sampai sekarang mereka tiada datang lagi. Entah masih hidup atau sudah mati mereka tu. Yang melawat dulu tu pun cuma Safwan dan anaknya si Umairah tu saja yang datang. Kalau bini si Safwan jangan cakap batang hidung bayang dia pun tidak pernah nampak. Benci benar dia dengan nenek ni.” Luah Nenek Mariam sedih namun dia masih menguntum senyum di bibirnya.
            “Kenapa menantu nenek layan nenek macam tu?” Soal Natrah ingin tahu.
“Sebab nenek tegur dia. Sakit mata nenek ni tengok dia berkemban sambil jemur kain di ampaian. Rumah pula tepi jalan besar jadi kurang manis pula kalau orang lain nampak. Lagi pun kenalah jaga kehormatan suamikan. Sebab tu dia marah sangat dengan nenek. Katanya nenek ni menyibuk urusan rumah tangga mereka dan tidak tahu diuntung. Banyak kali juga nenek minta maaf dengan bini si Safwan tu tapi darah muda ni memang susah nak surut barannya.”
            “Kan bagus nenek tegur macam tu. Untuk kebaikkan dia juga.” Ujar Adam yang sedari tadi tekun mendengar cerita Nenek Mariam itu.
            “Kamu bilang bagus tapi bagi dia tidak. Manusia ni macam-macam jeniskan? Ada yang boleh ditegur, ada yang langsung tidak boleh ditegur, tidak boleh dinasihatkan, tidak mahu dengar pendapat orang lain. Macam-macam.” Nenek Mariam geleng kepala sambil menggosok lembut tangan Nasuha
            “Siapa nama?” Soal Nenek Mariam setelah puas bercerita tentang kisah hidupnya.
            “Nasuha.”
            “Sedap nama tu.”
            “Terima kasih nek.” Jawab Nasuha manja sambil cuba menahan air matanya.
            “Mama sama bapa masih ada?” Tanya Nenek Mariam.
            “Ada nek.”
            “Jaga mama sama bapa tu betul-betul. Jangan kasi abai mereka macam mana anak dan menantu nenek kasi abai nenek. Kirim salam sama mereka nanti ya cakap nenek di rumah warga tua kirim salam.” Ujar Nenek Mariam ramah membuatkan air matanya menitis jua. Cepat sahaja Nasuha menyeka air mata itu. Dia tidak mahu Nenek Mariam melihat air matanya itu.
            “Ermmmm.” Hanya itu sahaja yang mampu terluah di mulut Nasuha. Hatinya sebak melihat tingkah nenek itu.
            “Jangan nangis. Nenek tidak apa-apa. Nenek sudah biasa hidup begini.” Ujar Nenek Mariam sambil mengusap lembut belakang Nasuha.
            “Control Suha.” Ujar Izar dari pintu bilik tersebut. Nasuha ketap bibir.
            “Nek, Suha ada kerja di luar sekejap. Nanti Suha datang semula di sini ya.” Ucap Nasuha meminta diri. Dia capai tangan kanan Nenek Mariam, disalam dan dicium seraya itu satu kucupan hangat hinggap di dahi dan pipi wanita tua itu. Cepat sahaja Nasuha melangkah keluar dari bilik itu tanpa sempat Nenek Mariam berkata apa-apa.
            “Control, control.” Ujar Izar lagi sebaik Nasuha melewatinya. Nasuha tidak mempedulikan kata-kata Izar itu sebaliknya terus sahaja berlalu mencari tandas untuk menghamburkan tangisannya yang ditahan sedari tadi.
            ‘Mana pula tandas ni.’ Desis hati Nasuha. Air matanya yang mengalir deras itu begitu sukar dihapuskan olehnya.
            “Kau mahu pergi mana?” Soal satu suara membuat Nasuha terkejut.
            “Tandas.” Jawabnya perlahan sambil berpaling ke arah lain agar lelaki itu tidak dapat melihat air matanya yang membasahi pipinya.
            “Aku tunjukkan.” Ujar Hafiz Azhar serius sambil berjalan di hadapan untuk menunjukkan kedudukan tandas kepada gadis yang kononnya cuba menyembunyikan air matanya dari dilihat. Hakikatnya sejak di bilik Nenek Mariam lagi dia sudah melihat tingkahnya yang serba tidak kena itu namun dibiarkan sahaja gadis itu dengan naluri yang penuh kelembutan dan sensitif itu.
            “Kau okay ka ni?” Soal Hafiz Azhar sambil memperlahankan langkahnya
            “Okay.”
            “Betul ni?”
            “Betullah. Mana tandas?” Soal Nasuha sedikit geram dengan lelaki itu.
            “Ni…” Hafiz Azhar berhenti betul-betul di hadapan pintu masuk tandas tersebut. Tanpa sepatah bicara lagi Nasuha terus sahaja melangkah masuk ke dalam tandas itu.
            Dia menangis semahunya di dalam tandas itu. Tidak dapat dibayangkan betapa peritnya hati ibu tua itu. Teganya anaknya itu membuang ibu yang mengandungkan, melahirkan dan bersusah payah membesarkannya hanya kerana ingin menjaga hati sang isteri yang baru sahaja dikenali setelah dewasa. Hatinya berdoa dan merintih agar dia dijauhkan dengan sifat-sifat sedemikian rupa dan anak nenek Mariam sedar akan kesilapannya.
            Tok! Tok! Tok!
            “Suha kau okay?” Soal Rashidah dari luar.
            “OK.” Nasuha menjawab sambil cuba menghapuskan air matanya dengan tapak tangan.
            “Keluarlah.” Tuturnya lembut. Nasuha menarik daun pintu dan segera keluar dan menuju ke sinki. Dia mencuci mukanya untuk menghilangkan kesan tangisannya.
            “Lama lagikah kita di sini?” Soal Nasuha kepada Rashidah.
            “Entah. Kenapa? Dah tak larat tengok penghuni di sini?” Soal Rashidah sambil tersenyum memandang rakannya itu.
            “Hati ni yang tak larat. Sedihkan sebab anak-anak mereka tinggalkan mereka di sini dan langsung tak datang melawat pun. Harap kita takkan jadi macam tu.” Ujar Nasuha penuh harapan dan setitik lagi air matanya jatuh di pipi.
            “Alololo sensitifnya.” Rashidah mendakap Nasuha, cuba menenangkan hati rakannya itu. Nasuha menangis lagi.
            “Korang buat apa lama-lama di dalam tu?” Jerit Hafiz Azhar dari luar.
            “Ha suara musuh tradisi kau dah muncul dah. Sebelum dia masuk sini, baik kita keluar. Sudah, jangan menangis lagi. Cuci muka tu.” Ujar Rashidah lembut sambil menyeka air mata Nasuha dengan ibu jarinya.
            “Korang okaykah tidak?” Jerit Hafiz Azhar lagi.
            “OK. Kejap lagi kami keluar.” Ujar Rashidah sambil menapak keluar. Dia jengilkan matanya kepada Hafiz Azhar.
            “Aku ingat kamu dah pengsan dalam tu tadi. Dia okay tak?” Soal Hafiz Azhar sambil meninjau ke dalam tandas.
            “Jiwa sentimental, sensitif, penyanyang macam itulah. Pantang terusik sikit hati tu dah hujan lebat.” Ujar Rashidah separa berbisik.
            “Lebat sampai banjir?”
            “Kalau kau tidak kawal bukaan empangan tu memang banjir besar.” Ujar Rashidah diikuti dengan tawa di hujung bicaranya. Hafiz Azhar sekadar tersenyum geli hati mendengar bicara Rashidah itu.
            “Suha, jom.” Ajak Rashidah dari luar tandas.
            “Kejap.” Nasuha segera menapak keluar. Sengaja melarikan wajahnya dari di tatap oleh lelaki yang mendapat jolokan mamat mangkuk olehnya itu.
            “Taubat Nasuha, kau okaykah?” Soal Hafiz Azhar namun tiada jawapan.
            “Kau jangan risau Hafiz, Suha okay. Dia dah cukup menangis di dalam tadi sampai basah baju aku oleh air mata dia.” Ujar Rashidah nakal membuatkan Nasuha mencubit lembut belakangnya.
            “Aku nak hulur tisu, aku ni bukan mamat tisu, nak hulur sapu tangan pun tiada juga. Kalau kau nak menangis lagi, ni aku pinjamkan kau bahu aku. Kalau kau sudilah tapi aku tahu memang kau tak sudikan. Yalah siapalah aku kan?! Kalau nak juga kenalah jadi yang halal dulu.” Ujar Hafiz Azhar sambil mencuri pandang ke arah Nasuha.
            “Ehemmm, hemmmm…hemmmm. Adoiiiiii, sakit tekak pula tiba-tiba.” Ujar Rashidah sambil mata silih  berganti memandang antara Nasuha dan Hafiz Azhar.
            “Jalan cepat sikitlah. Mahu tinggal sinikah?” Lea menggamit agar mereka bergerak lebih pantas.
            “Ini rumah warga tua, kalau rumah untuk remaja, apa salahnya kan” Jawab Hafiz Azhar bersahaja sambil mempercepatkan langkahnya.
            “Nasuha.” Panggil Nenek Mariam yang berjalan perlahan menghampiri mereka. Cepat sahaja Nasuha mendapatkan wanita tua itu.
            “Jaga diri elok-elok cu. Ada masa nanti datanglah lawat kami di sini lagi.” Ujar Nenek Mariam dengan segaris senyuman.
            “Baiklah.” Jawab Nasuha sedikit sebak.
            “Jangan menangis lagi. Nenek dan kawan-kawan nenek semua gembira tinggal sini.” Ujar Nenek Mariam sambil mengesat air mata Nasuha.
            “Nenek jaga diri elok-elok. In shaa Allah, umur panjang dan ada masa nanti saya dan kawan-kawan datang sini lagi.” Ujar Nasuha sambil memeluk erat Nenek Mariam.
            Bas UMS berwarna biru tua itu bergerak perlahan melalui jalan besar Papar-Kota Kinabalu. Hafiz Azhar berdiri dan mencari kelibat Nasuha. Dia senyum melihat gadis itu masih lagi menyeka air matanya.
            “Pengunguman! Pengunguman! Kepada penumpang bas, bas ini akan banjir sebentar lagi, sila sediakan sampan, bot atau yang sewaktu dengannya bagi mengelakkan anda dibawa arus banjir.” Ujar Hafiz Azhar.
            “Banjir?!” Soal Natalie Betsy dengan dahi yang berkerut.
            “Ya, banjir. Kan sekarang ni hujan lebat.” Jawab Hafiz Azhar bersahaja. Nasuha ketap bibir. Dia tahu dirinya sedang dipersendakan oleh lelaki itu.
            “Saya tengok panas terik.” Natalie Betsy garu kepala yang tidak gatal. Hafiz Azhar dan beberapa orang rakannya tergelak melihat memek muka bingung yang dipamerkan oleh Natalie Betsy ketika itu.
            “Di luar memang panas terik tapi dalam bas ni hujan lebat.” Ujar Hafiz Azhar lagi sambil tersenyum melihat Nasuha yang mengerling tajam.
            “Kenapa? Penghawa dingin kamu rosakkah Hafiz?” Soal Natalie membuat Hafiz Azhar tergelak besar.
            “Bukan penghawa dinginlah Natalie. Taubat Nasuha ni yang hujan lebat di tempat duduk dia.” Terang Hafiz Azhar.
            “Ooo. OK saya faham sudah sekarang.” Ujar Natalie Betsy dengan kepala yang diangguk beberapa kali.
            ‘Eeeeeee, mamat mangkuk ni, sabar sajalah. Sudahlah marah orang pagi tadi, ni nak mengejek orang lagi. Tiada perasaankah apa?! Sudah marah-marah orang tu mintalah maaf. Sejuk juga sikit hati, ini tidak tambah lagi nak menyakitkan hati orang. Kalaulah membunuh itu bukan satu kesalahan dan bukan satu dosa, kaulah manusia pertama aku nak bunuh.’ Nasuha gigit gigi, menahan geram dan amarahnya.

4 ulasan:

  1. (Y) menarikk...teruskan...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Nurr Bayu.....harap dapat memberi sokongan dan kritikan membina buat diri ini yang menulis tanpa tahu hukum-hakamnya :)

      Padam
  2. next episod 23 hehehe...best3x (y)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Thanks Dian....sabar ya..nanti updaye ja terus tag dia.

      Padam