BAB 14
“Hai Taubat Nasuha.” Sapa Hafiz
Azhar sebaik lalu di hadapan Nasuha dan Khayla Irdina.
“Hai.” Nasuha membalas lambat. Dia
teguk liur pahit. Minggu kedua kuliah di semester empat itulah kali pertama dia
bersua dengan Hafiz Azhar. Dia menggaru leher yang tidak gatal.
“Hai Hafiz. Ambil subjek ni juga?”
Soal Khayla Irdina.
“Hai. Ya, sepatutnya ambil sem lepas
tapi sengaja nak ambil sem ni supaya sama kelas dengan Taubat Nasuha yang
selalu sesat tu.” Ujar Hafiz Azhar ramah.
“Erm.” Khayla Irdina mati kata.
Tidak tahu apa yang harus dikatakan lagi apatah lagi apabila melihat Amir Shah,
duduk di hadapannya.
“Oh. Okaylah, aku cari tempat dulu.”
Hafiz Azhar meminta diri dan sempat juga dia mengetuk meja Nasuha beberapa kali
dengan jarinya. Nasuha sekadar mengherotkan bibirnya. Hafiz Azhar tersenyum
melihat wajah kelat Nasuha ketika itu.
“Ketua kumpulan 15 dan 16 yang telah
saya sebutkan tadi, sila datang ke depan sebentar.” Arah Profesor Dr. Andreas.
‘Hadoi, mamat mangkuk ni lagi.’
Nasuha kerling Hafiz Azhar sekilas manakala lelaki itu hanya bersikap
bersahaja.
“Kumpulan kamu saya gabungkan jadi
satu kumpulan dan kumpulan kamu akan buat kajian budaya tentang masyarakat
Kadazan/Dusun Tuaran.” Beritahu Profesor Dr. Andreas sambil mencatat sesuatu di
atas kertas.
‘Pulak dah. Malang apa lagi ni.’
“Nasuha ada masalah?” Soal Profesor
Dr. Andreas apabila menyedari pelajarnya itu seperti terkesima seketika.
“Oh, tiada masalah Prof.” Jawab
Nasuha sedikit mamai.
‘Tiada masalah?! Sesungguhnya sangat
bermasalah.’
“Terima kasih Prof.” Ujar Hafiz
Azhar sambil tersenyum lebar. Dia angkat kening tatkala matanya dan mata Nasuha
bersatu. Nasuha jelir lidahnya. Seketika kemudian Nasuha pandang semula
Profesor Dr. Andreas yang sedari tadi memerhati tingkahnya.
“Hehe.” Nasuha angkat tangan kepada
Profesor Dr. Andreas dan segera berlalu. Dia geleng kepala bila teringat apa
yang telah dilakukannya di depan Profesor yang berumur lewat 40-an itu.
“Argh, giler! Giler! Giler!”
“Hoi, kau ni apasal?! Dari tadi
asyik kata giler giler giler. Gila bebetul kang, naya beb.” Marah Khayla Irdina
yang sedari tadi bingit dengan rungutan Nasuha.
“Again
and again.”
“Apa?”
“Satu kumpulan dengan Hafiz Azhar
tulah.”
“Yakah? Alhamdulillah, dah lama aku
berhajat nak satu kumpulan dengan dia tu.”
“Dah lama aku malang dah berapa kali
satu kelas, dah tu satu kumpulan pula dengan dia ni. Giler! Giler!”
“Kau tak payah nak giler sangatlah Taubat Nasuha. Task kali ni ada lakonan lagi macam
subjek Kesusasteraan & Gender so make
sure kau sediakan skrip yang berkenaan.”
“Kita kumpul semua dah tu baru kita
bincang sama-sama. Mungkin ahli kumpulan lain ada idea lebih baik dan lebih
kreatif.” Ujar Nasuha cuba mengutarakan pendapatnya.
“Sebenarnya kau nak kata kau
kreatiflah tu kan kan kan?” Usik Hafiz Azhar.
“Argh, malas nak layan kau.” Nasuha
terus sahaja berlalu, malas ingin melayan usikan-usikan nakal Hafiz Azhar yang
selalunya menyakitkan hati itu.
“Gurau sikit merajuk.” Gumam Hafiz
Azhar setelah melihat Nasuha melangkah keluar dari DKP A2 dan dia segera mengekori langkah gadis itu.
“Ada sesiapa bernama Nasuha di
sini.” Soal seorang gadis yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam tandas
perempuan berhampiran DKP A2 itu.
“Saya. Kenapa?” Sahut Nasuha.
Tok! Tok! Tok!
Pintu utama tandas tersebut diketuk
kuat dari luar. Masing-masing berpandangan. Sekali lagi pintu itu diketuk dari
luar. Nasuha teguk liur. Jantungnya berdegup hebat. Hatinya tertanya-tanya pula
kenapa gadis itu mencarinya.
“Ada orang nama Nasuha di dalam?”
Soal satu suara dari luar. Seorang gadis yang berdiri berhampiran pintu utama
tandas memulas tombol pintu.
“Siapa Nasuha keluar sekarang.
Ganggu privacy perempuan saja.” Ujar
gadis berbangsa India itu dalam nada kurang senang.
“Maaflah, jangan marah. Itu Nasuha
sudah keluar dari kelas tadi lagi tapi belum balik kelas sampai sekarang. Saya
risau dia sesat lagi.”
“Oh itu macamkah?”
“Ini Nasuha selalu sesat. Lepas
pergi tandas tidak tahu mahu balik kelas.” Ujar Hafiz Azhar yang berdiri tegak
di muka pintu.
Nasuha
melangkah pantas dan menarik kasar daun pintu itu. Dia berdiri di hadapan Hafiz
Azhar. Direnung tajam lelaki berkulit cerah itu sambil kakinya menendang kuat
kaki Hafiz Azhar. Lelaki itu mengaduh kesakitan namun bibirnya tetap menguntum
senyum. Nasuha tarik nafas dalam dan terus sahaja mengatur langkah menuju ke
DKP A2.
“Aku
ingat kau sesat tadi.” Ujar Hafiz Azhar yang mengekori dari belakang.
“Boleh
tak kau jangan sibuk urusan aku?!” Soal Nasuha geram.
“Memang
boleh tapi.” Hafiz Azhar tidak meneruskan kata-katanya sebaliknya hanya
memerhati langkah Nasuha menuju ke pintu bahagian hujung dewan.
Nasuha
menarik pintu tersebut namun tidak berjaya. Dia menolak pula pintu itu namun
tetap tidak berhasil. Nasuha pandang ke pintu tengah. Kelihatan Hafiz Azhar
tersengih memandang ke arahnya. Pastinya lelaki itu sedang mentertawakan
dirinya ketika itu. Nasuha berpatah semula menuju ke pintu di mana Hafiz Azhar
sedang berdiri. Lelaki itu senyum sambil menarik pintu tersebut membiarkan
Nasuha melangkah masuk ke dalamnya.
‘Mangkuk!
Macam mana aku boleh lupa pintu tu memang tak boleh buka dari minggu lepas.
Argh, mesti mamat mangkuk tu lagi suka dan lagi banyak point nak kenakan aku lepas ni.’ Marah Nasuha di dalam hati.
“Hoi,
kenapa muka kau stress semacam ni?”
Soal Khayla Irdina sebaik Nasuha melabuhkan punggung di kerusinya.
“Kan
aku dah kata dengan kau Ila, kau mesti ikut kawan kau ni pergi mana saja. Nasib
baik aku terjumpa dia ni tadi kalau tidak aku tak tahulah dia sesat di mana.”
Ujar Hafiz Azhar dengan senyuman meleret.
“Ha,
kau sesatkah tadi?” Soal Khayla Irdina pantas. Hafiz Azhar tergelak kecil
mendengar soalan Khayla Irdina itu seraya kembali ke tempat duduknya yang hanya
di belakang Nasuha.
“Mana
adalah.” Bisik Nasuha. Ikut hatinya ingin sahaja dibelasahnya lelaki itu.
Setelah
kuliah Kemahiran Berunding tamat pada hari itu, Nasuha terus sahaja meminta
semua ahli kumpulannya berkumpul bagi membincangkan secara ringkas tugasan
kumpulan yang baru sahaja diberikan oleh Profesor Dr.Andreas sebentar tadi.
Tiga puluh minit mereka sebulat suara membuat keputusan untuk langkah pertama
dalam menentukan hala tuju kerja berkumpulan mereka.
“Memang
jodoh kau dengan dia.” Ujar Khayla Irdina ketika mereka sama-sama melangkah
menuju ke D’Bayu untuk makan tengah hari.
“Aish, simpang malaikat 44.”
“Tak payah nak simpang sangatlah
beb. Kalau dah memang jodoh tu, kau cilok bersimpang-simpang pun tetap juga
bertemu.” Ujar Khayla Irdina sambil matanya tidak lari dari terus menatap wajah
tampan Amir Shah.
“Eeee, tak naklah aku berjodoh dengan
orang macam tu. Geli okay.”
“Geli konon. Kalau dah memang jodoh
tu, tiap hari sebelum keluar bilik kau berdoa bagai nak rak pun tak nak
dipertemukan tetap akan dipertemukan juga.” Ujar Khayla Irdina apabila teringat
tabiat Nasuha yang akan berdoa agar tidak dipertemukan dengan Hafiz Azhar
sebelum melangkah keluar dari biliknya.
“Kadang-kala Allah sentiasa
mempertemukan kita dengan seseorang itu bukan kerana dia jodoh kita sebaliknya
Dia mempertemukan kita dengan orang itu agar kita menimba pengalaman dari orang
itu sebelum kita dipertemukan dengan orang yang benar-benar jodoh kita.”
“Peguam dah mula nak putar belit
fakta. Awas, terperangkap!” Khayla Irdina cuba memberi amaran kepada dirinya
agar tidak terpengaruh dengan hujah Nasuha sebentar tadi.
“Apa pula putar belit fakta, orang
cakap yang betullah.”
“Betullah tu Hafiz jodoh kau.”
“Alhamdulillah. Tak lama lagi
bolehlah makan nasi minyak. Tak tak dum dum, tak tak dum dum. Wah, ni nak kena
beritahu Encik Azman Soaibah awal-awal ni nak booking budak-budak dia main kompang untuk majlis kau nanti.” Ujar
Rashidah yang muncul secara tiba-tiba. Teringat pula dia semasa dia, Nasuha dan
Khayla Irdina sama-sama mengambil subjek Kompang di mana mereka diminta untuk
memukul kompang semasa ada majlis rasmi universiti mahu pun diundang di majlis
perkahwinan kakitangan atau pun ahli keluarga warga Universiti Malaysia Sabah.
“Nonsense.”
“Mengaku sajalah kalau kau sendiri
rasa yang memang kau dan dia ditakdirkan bertemu dan bersama.”
“Minta dijauhkanlah semua tu.”
“Saya doakan apa yang terbaik itulah
yang akan berlaku. Sesungguhnya Allah SWT itu lebih mengetahui segalanya.
Amin.” Pohon Rashidah.
“Amin, amin ya Rabbal a’alamin.”
Masing-masing menadah tangan dan meraub ke wajah sendiri.
mmg hafiz dgn suha ne 1 jodoh hihihi... slalu je berjumpa kalo x kt kelas kt tandas kt cafe hahaha..
BalasPadamHaha jumpa pun menyakitkan hati..hua hua
Padam