TAJUK : SURATAN DI AIDILFITRI (12)
PENULIS : CUADIEY
Hafiz Azhar merenung bekas kedap udara itu dengan senyuman meleret.
Beberapa ketika kemudian, dia membuka penutup balang tersebut dan
mengambil salah satu daripadanya dan menutup semula balang tersebut. Dia
membelek-belek biskut itu. Dia senyum lagi. Entah apa sahaja yang ada
di fikirannya ketika itu. Tanpa disedari ada sepasang mata yang sedang
asyik memandang tingkahnya sedari tadi.
“Dulu
orang kata, kalau tak nampak orangnya, nampak bumbung rumah pun jadilah.
Ha, yang ni, nampak biskut pun jadilah.” Seloroh Puan Noraini.
“Ummi. Hari ni kan Har tak pergi jumpa dia, jadi tengok biskut pun memadailah.”
“Ni, ummi nak tanya. Betul ke nak dengan anak Pakcik Zaki tu?”
“Betullah ummi. Takkan tak betul lagi.”
“Memang hati kamu dah habis dah kat Taubat Nasuha kamu tu?” Soal Puan Noraini lagi.
“Habis dah ummi. Mungkin kalau buat pembedahan pun, doktor tak akan
temui hati Har lagi kut.” Senda Hafiz Azhar. Dia senyum lagi.
“Har sayang sangat dengan dia?”
“Mestilah sayang ummi.”
“Tapi dia tak sayang Har kan?” Duga ummi.
“Hmmm.” Hafiz Azhar menangguk perlahan.
“Dah tau dia tak suka Har, apatah lagi sayangkan Har, kenapa Har nak juga dengan dia?”
“Itu tak penting ummi, yang penting Har suka dan sayang dengan dia. Har
memang nak dia jadi isteri Har yang sah.” Luah Hafiz Azhar.
“Itu pihak Har tapi kita tak tahu lagi pihak dia macam mana.”
“Har dah cuba yang terbaik ummi.”
“Cuba yang terbaik?! Har suka ejek dia, gelakkan dia, Har suka usik
dia, sakitkan hati dia, itu yang Har kata yang terbaik?”
“Hehe. Tengok Har pun dah gelak sekerat macam Taubat Nasuha tu. Itu
strategi Har ummi. Cuba yang terbaik tu bab kita berdoa, minta tolong
dengan Sang Pencipta. Tiap kali selepas solat, selain doakan ummi dan
abi, Har selalu berdoa agar Allah lembutkan hati Taubat Nasuha tu agar
terima Har seadanya, semoga dia faham isi tersirat disebalik semua
perbuatan Har dekat dia. Har juga berharap dia jodoh terbaik buat Har
dan Har jodoh terbaik buat dia. Tapi sekiranya Allah tidak
memperkenankan doa Har, mungkin ada yang lebih baik buat Har dan Taubat
Nasuha. Bak kata orang kita merancang, Allah pun merancang namun
perancangan Allah itu adalah sebaik-baik perancangan.” Hujah Hafiz
Azhar.
“Amboi anak ummi, dah macam bagi syarahan.” Perli Puan Noraini.
“Tapi Har memang berusaha untuk dapatkan dia ummi. Sebelum Har tahu dia
tu anak pakcik Zaki dan makcik Syuhada lagi Har memang dah suka dengan
dia. Tambah lagi lepas kita pindah semula ke kampung ni dan mengenali
keluarga dia dengan lebih dekat, bertambah-tambah suka dan sayang Har
pada dia.”
“Har, kalau cakap tentang Taubat Nasuha
dari pendiam terus mulut tu bertukar macam bertih jagung. Ibu tengok
kalau dengan Taubat Nasuha tu pun, mulut Har macam tak boleh berhenti
bercakap.”
“Kalau Har tak bercakap, manalah Taubat
Nasuha Har tu nak bercakap ummi. Masa di U pun dia bercakap kalau kita
rajin ajak dia bercakap je, kalau tak, dia diam memanjang. Nak dengar
sepatah pun berjam-jam tunggu tau.” Beritahu Hafiz Azhar kepada Puan
Noraini.
“Ummi pun suka juga dengan Taubat Nasuha
Har tu. Ibu sentiasa doakan yang terbaik untuk anak-anak ibu. Tapi kalau
boleh, ummi harap Har janganlah sakitkan hati dia je. Sesekali kena juga
ambil hati dia. Ni asyik ambil hati family dia tapi hati dia Har tak
ambil, susah juga Har. Har kena ingat, yang nak kahwin dengan Har, dia.
Kalau family dia suka Har pun tapi dia tak suka Har, usaha Har sia-sia
tau.” Nasihat Puan Noraini.
“Har nak baik sangat dengan dia tak bolehlah ummi. Tak reti.”
“Har buatlah apa yang Har rasa patut. Tapi jangan sampai dia tak suka
Har, benci Har disebabkan cara Har layan dia. Bukan semua orang boleh
faham maksud tersirat di sebalik perbuatan kita yang tersurat.”
Puan Noraini mengingatkan lagi.
“InsyaAllah ummi.
Har cuba yang terbaik dan berharap dia dapat jadi menantu terbaik ummi
nanti.” Hafiz Azhar sengih. Begitu tinggi angan untuk bersama Nasuha
yang dianyamnya sendiri.
“Amin. Ni cincin risik hari tu jangan hilang pula. Esok nak pergi merisik cincin pula entah ke mana.”
“Ada ummi. Tiap malam Har bawa cincin tu tidur.” Beritahu Hafiz Azhar.
“Ummi harap apa yang kita rancangkan menjadilah hendaknya.”
“InsyaALLAH ummi.”
“Esok pagi sebelum pergi solat sunat hari raya, kita berkumpul rumah
Tok Anjang dan Tok Cu. Lepas tu balik dari solat sunat hari raya tu,
kita pergi ziarah kubur. Tengah hari tu, pakcik zaki nak buat khatam
Al-Quran Taubat Nasuha kamu tu dan Nazri. Lepas majlis baru kita buka
mulut merisik dia.”
“Hari raya nak buat majlis khatam Al-Quran?”
“Tak salah kan. Lagi pun makcik Syuhadah kata, memang Nasuha tu dari
tahun lepas lagi beria-ia nak buat majlis khatam Al-Quran tapi tak jadi.
Tu yang sampaikan hajat dia tahun ni.”
“Betul-betul Taubat Nasuha.” Hafiz Azhar tersenyum mengenangkan wajah Nasuha di kala itu.
“Dah, ummi nak masuk tidur, Har jangan pula asyik ingatkan Taubat
Nasuha Har tu sampai tak boleh nak tidur malam.”
“Hehe. Taklah ummi. Okay ummi, selamat malam. Selamat hari raya juga.
Maafkan Har ummi.” Ucap Har sambil mengucup lembut tangan Puan Noraini.
Puan Noraini mengusap lembut kepala anaknya itu sebelum berjalan menuju
ke bilik tidurnya.
Hafiz Azhar merebahkan badan di
tilam empuk miliknya. Tangannya meraba sesuatu yang berada di bawah
bantal, dapat. Membuka kotak kecil yang berbalut baldu merah itu.
Terdapat sebentuk cincin yang dibelinya bersama dengan Nasuha tempoh
hari. Digosok cincin itu dengan jarinya, dia merenung jauh cincin
tersebut seperti jauh angan dan harapannya terhadap Nasuha.
BERSAMBUNG……..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan