Selasa, 29 Januari 2013

Cintamu Limited Edition (15)



BAB 15
            “Taubat Nasuha! Taubat Nasuha sesat lagikah?!” Jerit Hafiz Azhar dari muka pintu tandas. Cepat sahaja Nasuha terpacul di muka pintu seraya menendang kaki lelaki itu.
            “Adoi, sakitlah.”
            “Luaran sakit boleh sapu ubat, ni dalaman yang sakit ni nak sapu apa?” Getus Nasuha geram sambil jari telunjuk dilaga-lagakan di dadanya.
            “Ups!!” Hafiz Azhar kelu tidak menjangka tindak balas sebegitu yang diberikan oleh Nasuha.
            “Tepi.” Ujar Nasuha keras sambil melangkah ke tempat duduk bahagian belakang van yang disewa mereka.
            “Kenapa tu?” Soal Christie Nala sebaik terlihat Hafiz Azhar yang baru sahaja muncul. Lelaki itu sekadar menjungkit bahu tanpa mahu mengulas lanjut tentang apa yang telah terjadi.
            “Kau okay?” Soal Khayla Irdina perlahan.
            “Okay.” Ringkas sahaja jawapan Nasuha. Jika tidak mengenangkan tugasan luar kampus itu perlu disiapkan pada hari itu juga sudah pasti dia akan terus balik sahaja.
            “Apa dia buat dengan kau?” Soal Khayla Irdina masih belum berpuas hati dengan jawapan rakannya itu.
            “Kau tanyalah dia.”
            “Suha okay?” Soal Amir Shah lembut.
            “Okay.” Jawab Nasuha tanpa menoleh ke arah Amir Shah.
            “Suha, pandanglah sini.” Pinta Amir Shah.
            “Aku nak tidur.” Nasuha tutup muka dengan tuala kecilnya.
            Hafiz Azhar mencampak plastik kecil yang terdapat beberapa biji gula-gula hacks tepat ke arah Nasuha. Nasuha sekadar memandang plastik itu dan kembali menutup wajahnya dengan tuala kecil berwarna putih itu.
            “Makan gula-gula hacks boleh elak mabuk. Jangan nanti belum sampai Linangkit Culture Village ada yang termuntah-muntah dalam van.” Ujar Hafiz Azhar yang ditujukan khas untuk Nasuha.
            ‘Diamlah kau mangkuk.’ Jerit Nasuha namun hanya bergema di dalam hatinya. Dia mengambil langkah untuk berdiam diri dari terus bersuara dan melayan kata-kata Hafiz Azhar yang akhirnya tentu akan menyakitkan hatinya sendiri.
            “Taubat Nasuha bangun.” Hafiz Azhar mengejutkan Nasuha dari tingkap.
            Nasuha menarik tuala kecilnya. Dia menggosok matanya beberapa kali. Dia menoleh ke kiri dan kelihatan Hafiz Azhar sedang memandang ke arahnya. Dia menjeling sekilas ke arah lelaki yang sudah pun berada di halaman Linangkit Culture Village Sdn.Bhd yang terletak di Kampung Selupoh, Tuaran.
            “Tolong lap liur tu sebelum turun. Jangan nak bagi malu UMS.” Ujar Hafiz Azhar lagi sebelum melangkah pergi meninggalkan Nasuha. Cepat sahaja Nasuha menutup mulutnya dan mengesat keseluruhan mulutnya dengan tualanya. Hafiz Azhar sempat melirik tingkah Nasuha itu dan tersenyum melihat kekalutannya.
            Setelah hampir 2 jam berjalan mengelilingi rumah tradisional suku kaum Kadazan-Dusun Tuaran dan menemu ramah Encik Elvin Jilan selaku Pegawai Perhubungan Awam Linangkit Culture Village Sdn.Bhd akhirnya tugasan mereka selesai juga. Masing-masing berpuas hati dengan info yang telah diberikan oleh Encik Elvin Jilan mengenai sejarah dan juga budaya suku kaum Kadazan-Dusun Tuaran.
            “Yang di sana tu ladang jagung Linangkit Cultute Village jugakah?” Soal Noor Atikah sambil menudingkan ibu jarinya ke arah ladang jagung yang terdapat di seberang sungai.
            “Ya. Kalau nak melawat di sana saya boleh bawa juga.”
            “Bolehkah?” Soal Khayla Irdina cepat.
            “Boleh, itu pun kalau kamu mahulah. Biar pun skop kajian kamu tentang sejarah, adat dan budaya suku kaum Kadazan-Dusun Tuaran tapi alang-alang sudah sampai sini apa salahnya.” Ujar Encik Elvin Jilan.
            “Mahu sangat-sangat. Boleh kita pergi sekarang?” Ujar Khayla Irdina dan Noor Atikah serentak.
            “Seeloknya kita minum pagi dulu.”
            “Eh, ada minum pagikah?”
            “Ada. Minuman ringan saja. Jemputlah.” Pelawa Encik Elvin Jilan.
            “Wah, Encik Elvin ni baiklah.” Noor Atikah senyum sambil berjalan seiringan dengan Encik Elvin Jilan.
            “Suha okay?” Soal Amir Shah menghampiri Nasuha.
            “Okay.”
            “Okay tapi macam tak okay saja.” Tebak Amir Shah.
            “Okaylah.” Jawabnya bersahaja sambil sama-sama melangkah menuju ke kafeteria Linangkit Culture Village Sdn.Bhd.
            Nescafe or tea?” Soal Hafiz Azhar sebaik tiba ditempat duduk Amir Shah.
            “Nescafe. Thank you.” Ucap Amir Shah.
            “Hafiz jadi pekerja sinikah?” Soal Nur Shammiza.
            “Maaf ya di sini layan diri. Jadi aku menawarkan diri memberi perkhidmatan ni.”
            “Hafiz bagi sandwich.” Pinta Noor Atikah.
            “Maaf, aku hanya urus minuman sahaja. Kalau korang nak makan sila ambil sendiri.”
            “Suha mahu minum apa?” Soal Amir Shah kepada Nasuha.
            “Oh, kalau Taubat Nasuha ni memanglah dia minum teh kan. Dia mana pandai minum nescafe.” Pintas Hafiz Azhar sebelum sempat Nasuha menjawab pertanyaan Amir Shah. Selepas menuang minuman di dalam cawan Nasuha, Hafiz Azhar terus sahaja meletak teko tersebut di tempat asalnya.
            “Hoi, Hafiz air kami mana?” Jerit Suhairul kurang berpuas hati apabila cawannya masih kosong.
            “Tuang sendiri.” Ujar Hafiz Azhar sambil melangkah untuk mengambil hidangan yang terdapat di atas meja panjang itu.
            “Tadi kata lain sekarang kata lain.”
            “Encik Elvin kata pandai-pandailah layan diri. Dia takut kalau aku layan kamu semua ni, dia tak mampu bayar gaji aku. Kan Encik Elvin?” Hafiz Azhar sengih melihat Encik Elvin yang berdiri di sebelahnya. Encik Elvin sekadar tersenyum dan menggeleng kepalanya.
            “Nah untuk kau.” Hafiz Azhar menghulur sebungkus sandwich tuna kepada Nasuha.
            “Aik Nasuha saja. Sandwich aku mana?” Perli Amir Shah.
            “Kalau nak ambil sendirilah.” Jawab Hafiz Azhar acuh tak acuh. Amir Shah bingkas berdiri untuk mengambil sandwich yang terdapat di meja panjang itu.
            “Kau kenapa? Demam?” Soal Hafiz Azhar setelah melabuhkan punggung di sebelah Nasuha sebaik ditinggalkan oleh Amir Shah. Nasuha diam, tidak mahu menjawab pertanyaan Hafiz Azhar sebentar tadi.
            “Ehem.” Amir Shah berdehem tanda ingin duduk semula di kerusinya sebentar tadi.
            “Amir duduk sinilah.” Ujar Khayla Irdina manja sambil menarik kerusi kosong di sebelahnya. Amir Shah terus belalu dan duduk di kerusi tersebut.
            “Terima kasih.”
            “Sama-sama. Amir, janganlah kacau daun orang yang nak settlekan masalah rumah tangga tu.”
            “Mereka couple?”
            “Erm, couple tu taklah sebab Nasuha tu bukan jenis yang layan couple-maple ni.”
            “Oh, maknanya dia single lagikan?” Amir Shah meminta kepastian.
            “Ya.” Khayla Irdina menjawab jujur tapi bibirnya diherotkan sedikit. Entah kenapa dia meluat pula apabila Amir Shah seolah berminat ingin mengetahui tentang Nasuha.
            “Makanlah sandwich tu bagi isi perut. Tengok, muka pun pucat.” Ujar Hafiz Azhar sambil menghirup minumannya.
            “Kalau semua sudah habis minum, jom kita bergerak pergi seberang sana.” Ajak Encik Elvin Jilan. Masing-masing bangkit dari kerusi dan segera mengikut jejak langkah Encik Elvin menuju ke tebing sungai di mana terdapat sebuah rakit sebagai pengangkutan untuk menyeberang ke ladang jagung tersebut.
            Best!” Jerit beberapa orang ahli kumpulan itu.
            “Sebab kita ni ramai, kita kena bahagikan kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama akan bergerak sekarang. Erm, yang pakai sarung kaki tu hati-hati, jaga basah.” Pesan Encik Elvin Jilan cuba mengingati para pelajar Universiti Malaysia Sabah yang membuat kajian di tempatnya.
            Setelah berjalan di dalam ladang jagung itu, mereka berehat sebentar di pondok yang terdapat ditebing sungai itu. Banyak cerita yang dikongsikan oleh Encik Elvin kepada pelajar-pelajar tersebut. Setelah puas berehat barulah mereka mengambil keputusan untuk kembali ke rumah tradisonal itu dengan menaiki sampan yang terdapat di sana.
            “Ila, biarlah kita yang terakhir.” Kata Nasuha kepada Khayla Irdina.
            “Erm, tapi aku nak naik sampan dengan Amir.” Ujar Khayla Irdina seraya menapak ke tebing sungai.
            Stop, stop, stop. Satu orang saja lagi.” Ujar Amir Shah.
            “Kan aku seorang ni.”
            “Kau ikut kumpulan yang lastlah Ila. Suha, cepat naik.” Ajak Amir Shah.
            Khayla Irdina ketap bibir geram. Dia renung Amir Shah sedalam-dalamnya. Lelaki itu hanya bersahaja, tidak menunjukkan sebarang tindak balas. Hafiz Azhar yang berada berhampiran sampan memandang Nasuha yang masih lagi berada di pondok di mana mereka berehat tadi. Dia lihat Nasuha geleng kepala yang membawa maksud menolakan ajakan itu. Hafiz Azhar senyum namun senyuman itu hanya di hatinya cuma.
            “Jomlah.” Ajak Amir Shah.
            “Tak mahulah. Pergilah dulu. Ila pergilah dulu” Ujar Nasuha sambil melabuhkan semula punggungnya di kerusi yang terdapat di pondok itu.
            Hafiz Azhar sekadar menjadi pemerhati sepi kala itu. Wajah Nasuha yang polos dipandangnya sekilas manakala melihat memek muka Khayla Irdina sebentar tadi membuatkan dia terfikir seribu macam soalan tapi satu persatu juga soalan itu ditepis dari mengganggu benaknya. Masing-masing melayan perasaan sementara menanti perahu itu tiba lagi untuk membawa mereka ke seberang sana.
            “Jaga basah stokin tu Taubat Nasuha.” Tegurnya serius apabila melihat Nasuha seolah-olah tidak terlihat air sungai yang berada berhampiran kakinya.
            Nasuha tidak menyahut kata-katanya tapi dia tahu Nasuha mendengar kata-katanya tadi dengan hanya melihat tindak balas yang dilakukan oleh Nasuha itu. Di lihat Nasuha terus sahaja duduk tanpa berjalan lebih jauh lagi. Hafiz Azhar duduk dibelakangnya dan seraya mendayung sampan itu bersama Suhairul yang berada di bahagian tengah.
            “Yeah, sampai!” Jerit Faridah dan Norliza serentak yang bersama-sama mereka di dalam sampan itu. Masing-masing bangkit untuk turun dari sampan kecil itu kecuali Nasuha yang masih lagi memegang erat tepi sampan.
            “Kau kenapa? Nak tinggal di sampan?” Ujar Hafiz Azhar membuatkan Nasuha terus berdiri.
            “Liza tunggulah.” Ujarnya tetapi Norliza pantas bergerak. Cepat pula tangan Nasuha memegang kejap pergelangan tangan Faridah.
            “Suha, kalau kau pegang macam ni macam mana aku nak jalan.” Ujar Faridah seraya melangkah perlahan.” Nasuha teguk liur sebaik Faridah selamat menjejakkan kaki di tangga untuk mendaki terus ke bahagian atas pentas dimana mereka difahamkan oleh Encik Elvin pentas itu digunakan untuk membuat persembahan ketika ada majlis di sana.
            “Kau fobia air?” Soal Hafiz Azhar sedikit cemas melihat wajah pucat Nasuha. Namun seperti tadi Nasuha hanya mendiamkan diri. Hafiz Azhar melangkah ke hadapan, memintas Nasuha yang seolah-olah keras dihadapannya.
            “Kau janganlah jalan, nanti aku jatuh.” Marah Nasuha.
            “Dah tu kalau tak jalan bila masa nak sampai cik Taubat Nasuha.” Tukas Hafiz Azhar sambil memerhati Nasuha yang masih lagi kaku di tengah sampan kecil itu.
Dia senyum, terdetik untuk menyakat Nasuha kala itu. Dia menggoyangkan sampan kecil itu dengan kakinya membuatkan sampan itu tidak stabil. Kerana terlalu takut jeritan Nasuha tidak kedengaran saat itu namun lengan baju Hafiz Azhar ditarik kuat agar dia tidak tercampak masuk ke dalam sungai yang dikatakan penghujung bagi Sungai Tuaran.
“Hafiz jangan buat begitu.” Jerit Christie Nala dari pentas apabila melihat kenakalan Hafiz Azhar itu.
“Okay, okay. Aku gurau sajalah. Dia ni yang penakut. Cepatlah jalan. Aku biar kau tinggal sorang-sorang atas sampan ni baru tau.” Ujar Hafiz Azhar membiarkan Nasuha berpaut pada lengan bajunya sehingga menampakkan bahunya.
“Suha jalan perlahan-lahan.” Arah Christie Nala lembut.
“Cepatlah Taubat Nasuha. Kau tak akan jatuhlah kecuali ada buaya tarik kau masuk dalam sungai tu.” Sakat Hafiz Azhar biar pun dia sendiri kaku di atas sampan itu sementara menanti Nasuha melangkah.
“Hafiz!” Marah Christie Nala lagi.
“Mari sini.” Hafiz Azhar seolah ingin mencapai tangan Nasuha untuk membantunya keluar dari sampan itu.
“Jangan pegang.” Ujar Nasuha perlahan.
“Okay aku tak pegang tapi cepatlah naik. Aku ni seksi dah oleh kau. Kau ingat freekah aku nak tayang bahu aku ni.” Ujar Hafiz Azhar sambil melirik ke arah bahunya yang terdedah akibat lengan bajunya ditarik oleh Nasuha.
            Nasuha tidak menjawab kata-kata Hafiz Azhar itu sebaliknya mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Hafiz Azhar senyum melihat gelagat Nasuha itu namun akhirnya selamat juga gadis kecil itu mendaki tangga itu untuk terus menuju ke pentas. Dia bergerak menuju ke sinki yang dibuat dari bahan terpakai seperti kuali dan tayar kereta untuk mencuci tangannya. Lututnya terasa longgar kala itu, tangannya juga menggeletar.
            “Minum air.” Ujar Hafiz Azhar ringkas sebaik menghampiri Nasuha.
Nasuha patuh, cuba untuk mencari air mineral di dalam begnya. Cepat sahaja Hafiz Azhar menarik beg Nasuha dan mengambil botol mineral di dalam beg tersebut apabila melihat tangan Nasuha yang menggeletar hebat itu. Dia buka tutup botol dan menghulurkannya kepada Nasuha. Gadis itu sekadar senyum sekerat, tidak tahu apa tindak balas terbaik yang sepatutnya diberikan kepada lelaki itu.
Semasa dalam perjalanan balik dari Kampung Selupoh, Tuaran menuju ke Universiti Malaysia Sabah sempat juga mereka singgah di Masjid An-Nur yang terletak di Pekan Tuaran yang juga merupakan masjid terbesar yang terdapat di negeri Sabah bagi menunaikan solat zohor sebelum mencari tempat untuk makan tengah hari pada hari itu.
“Kau makan banyak-banyak, bukan asyik belek mainan saja.” Tegur Hafiz Azhar yang sedari tadi memerhati Nasuha yang leka membelek mainan chicky meal KFC itu.
“Kalau kau nak tahu, Suha memang banyak koleksi mainan KFC ni. Dia masuk KFC bukan nak makan tapi nak dapat mainan saja.” Beritahu Khayla Irdina, membongkar rahsia Nasuha.
“Dah simpan dulu mainan tu. Makan dulu. Ni nasi makan sampai habis, tak habis jangan balik.” Ujar Hafiz Azhar tegas.
“Hafiz dah macam bapa bagi arahan dengan anak dia.” Ujar Faridah dengan kepala yang sengaja digeleng-gelengkan.
“Bapa tak bapa yang aku tau semua habis makan. Tak habis jangan balik.”
“Ha, cepat habiskan makanan, nanti bapa tak bagi balik.” Ujar Norlizah pula seraya menggigit rakus ketulan ayam yang ada dipegangnya.
Suasana Restoran KFC yang terdapat di pekan Tuaran itu sedikit kecoh dengan kehadiran mereka. Khayla Irdina dilihat begitu mesra melayan Amir Shah yang duduk disampingnya. Sekali-sekali anak mata lelaki bernama Amir Shah itu sempat mencuri pandang ke arah Nasuha dan Hafiz Azhar yang duduk di hujung meja berhampiran dengan sudut restoran.
“Kau pernah lemas?” Soal Hafiz Azhar mula membuka cerita.
“Erm.” Nasuha pandang Hafiz Azhar sambil mulut masih terus mengunyah.
“Aku tengok kau macam fobia dengan air jadi aku saja tanya.” Ujar Hafiz Azhar seraya menyedut minumannya. Nasuha tidak menjawab hanya ekor matanya memerhati lelaki itu.
‘Budak ni tak pernah sedarkah selama ni dia banyak buat salah dengan aku. Slumber saja macam tiada apa-apa yang berlaku. Dah buat salah tu pandai-pandailah minta maaf.’ Desis hati Nasuha. Sakit pula hatinya bila melihat tingkah Hafiz Azhar yang seolah-olah tidak ada apa yang berlaku antara mereka sebelum ini.
‘Merajuklah tu. Gurau sikit marah, tegur sikit merajuk, tanya sikit tak nak layan. Taubat Nasuha Taubat Nasuha.’ Hafiz Azhar sengih sendiri mengenang perangai Nasuha yang diumpamakannya seperti jinak-jinak burung merpati itu.

3 ulasan:

  1. Tolong lap liur tu sebelum turun... hahaha hafiz2 ko ne mmg menyakitkan ati betul.. sweet nya hafiz dgn suha hihihi jgn lah c amir shah 2 kaun daun...

    BalasPadam
  2. Hahaha lurus bendul juga Nasuha p lap mulutnya yang konon beliurkan..haha.. Amir Shah?! Jeng jeng

    BalasPadam