Rabu, 17 Julai 2013

Suratan Di Aidilfitri Bab 14

TAJUK                   : SURATAN DI AIDILFITRI (14)
PENULIS               : CUADIEY

                Nazri memandang Hafiz Azhar tidak berkelip. Hafiz Azhar meraup wajahnya. Kepalanya terasa berat. Nazri menghampirinya.
                “Abang Har okay?” Soalnya.
                “Kakak macam mana?” Tanpa menghiraukan soalan yang diajukan oleh Nazri, Hafiz Azhar turut mengajukan soalan.
                “Dah kubur.” Tiba-tiba ada mutiara jernih membasahi pipi anak kecil itu. Hafiz Azhar yang baru sahaja sedar menyeka air mata Nazri dengan hujung jarinya. Dia menarik Nazri ke dalam pelukkannya, cuba menenangkan.
                “Kesian pula aku tengok kau macam ni.” Ujar satu suara. Hafiz Azhar dengan pantas menoleh dari mana suara itu datang. Sepi. Dia pengsan lagi.
                “Kak Aini, saya rasa patut bawa Hafiz pergi hospital lagilah. Risau pula tengok keadaan dia macam ni.” Luah Puan Syuhada.
                “Doktor kata dia okay.”
                “Kenapa dengan abang Har? Abang Har sakit ke?” Tanya Nazri yang sudah menjauh sedikit dari Hafiz Azhar.
                “Abang Har kurang sihat, sayang.”
                “ Ri tak nak abang Har jadi macam Kaka.” Rengeknya.
                “Mestilah tak. Abang Har kan kuat. Dia tak akan tinggalkan kita.”
                “Betul ni?”
                “Betul.” Ubun-ubun Nazri dikucup lembut.
                Pak Long Aji menghampiri Hafiz Azhar. Merenjis air di wajah Hafiz Azhar dengan air dari dalam mangkuk yang dibawanya. Tidak lama kemudian, Hafiz Azhar sedar lagi. Perlahan-lahan membuka matanya. Memandang di segenap inci rumah itu.
                “Kenapa dengan abang Har?” Soal Nazri separuh merengek.
                “Kakak mana?” Hafiz Azhar mengajukan soalan yang sama.
                “Dah kubur tadi, tak sempat nak tunggu abang Har bangun.” Beritahu Nazri. Hafiz Azhar menarik nafas dalam cuba mencari sisa-sisa kekuatan yang masih tinggal selepas mendengar pemergian Nasuha sebentar tadi.
                “Abang Har nak jumpa dia.” Rintih Hafiz Azhar perlahan.
Air yang bertakung di tubir matanya mula menitis satu persatu. Banyak mata yang memandangnya saat itu namun tiada sedikit pun perasaan malu yang menyelinap di dalam hatinya. Air matanya terlalu murah jika dibandingkan dengan pemergian Nasuha. Semakin lama tangisannya semakin menjadi. Puan Noraini segera menghampiri dan merangkul Hafiz Azhar ke dalam pelukan, cuba menenteramkan hati anaknya di kala itu.  
                 “Ummi.” Rintih Hafiz Azhar lagi sambil memeluk erat Puan Noraini.
                 “Har.” Puan Noraini membalas dengan menggosok lembut belakang Hafiz Azhar dengan harapan anaknya itu tenang.
                 “Har nak jumpa dia, ummi.” Rintih Hafiz Azhar dalam esak tangisnya yang tiada kesudahan.
                 “Har….” Seru Puan Noraini.
                 “Har nak jumpa dengan dia! Har nak jumpa dia! Bawa Har pergi kubur dia!” Hafiz Azhar bertempik hebat, tidak mampu mengawal emosinya lagi.
                  “Har, sabar nak.” Wajah Puan Noraini mulai keruh.
                  “Ummi, tolong Har.” Rintihnya dengan kawalan suara yang rendah.
                  “Abang Har.” Seru Nazri yang mendekati Hafiz Azhar.
                  “Ri, bawa abang Har pergi kubur kakak. Tolong abang Har, Ri.” Rayunya pada Nazri.
                 “Abang Har jangan macam ni. Ri, tak suka tengok abang Har macam ni.” Nazri meletakkan kedua-dua belah tangannya di pipi Hafiz Azhar dan menyeka air mata yang tumpah itu dengan ibu jari kecil miliknya.
                 “Tolong bawa abang pergi kubur kakak.” Pinta Hafiz Azhar lagi. Nazri menarik tangan Hafiz Azhar agar mengikutinya. Hafiz Azhar menuntun Nazri tanpa sepatah bicara.
                 “Har.” Panggil Puan Noraini namun tidak dipedulikan oleh Hafiz Azhar.
Mereka menyarung salah satu selipar yang banyak terdapat di anak tangga terakhir itu. Sama-sama melangkah menuju ke destinasi yang dibawa oleh Nazri. Hafiz Azhar sekadar mengikut langkah anak kecil itu. Tidak lama kemudian Nazri memberhentikan langkahnya. Hafiz Azhar juga melakukan perkara yang sama.
                 “Abang Har.” Ujar Nazri sambil menuding  dengan ibu jarinya pada kubur yang masih merah itu.
Hafiz Azhar perlahan-lahan duduk melutut di hadapan kubur itu. Seketika kemudian dia memandang Nazri yang berada di sisinya. Nazri angguk seolah-olah faham akan pendangan Hafiz Azhar itu. Kini, air mata Nazri turut menyembah bumi namun tangisannya tidak sehebat siang tadi.
                   “Hafiz Azhar, kau okay ke?” Soal satu suara. Hafiz Azhar berpaling ke arah suara itu.
“Taubat Nasuha?!” Hafiz Azhar memandang empunya suara tanpa berkedip. Seketika kemudian dia meletakkan kepalanya di tanah. Melihat kaki empunya suara tadi menerusi celah kangkangnya. Kaki tersebut mencecah tanah. Sah dia manusia nyata dan bukan ilusi semata.
                “Haha. Kenapa kau tengok aku macam tu?”
                “Kau Taubat Nasuha?”
                “Dah tu kau tengok aku siapa? Hantu?” Nasuha senyum. Hafiz Azhar menggosok-gosok matanya bagi memastikan matanya tidak tersalah pandang.
                “Siapa yang dikubur tadi?” Soal Hafiz Azhar perlahan.
                “Kucing Nazri si Kaka lah yang di kubur tadi. Kenapa?” Jawab Nasuha sambil meraih Nazri yang menangis akibat terkenangkan Kaka, kucing kesayangannya yang dilanggar motor siang tadi. Hafiz Azhar garu kepala yang tidak gatal.
                ‘Kakak versus Kaka. Sebutan yang hampir sama tapi aku  lupa Nazri tak panggil Taubat Nasuha kakak. Dia panggil Achik. Aduh ni bukan setakat masak ni terlebih masak dah. Siap pengsan lagi. Malu. Malu. Malu.’ Bicara hati Hafiz Azhar.
                “Taubat Nasuha!” Hafiz Azhar menjerit kecil
                “Upsssss, stop!” Nasuha berundur beberapa tapak ke belakang. Mengelak dari terus diterpa oleh Hafiz Azhar lagak seperti ingin memeluknya.
                “Sorry.” Ucap Hafiz Azhar. Malu akan perbuatannya. Nasuha mengangkat tangan kirinya. Melihatkan cincin yang tersarung kemas di jari manisnya.
                “Tapi ini bukan tiket untuk buat sesuka hati tau.” Nasuha memberi amaran.
Hafiz Azhar tersenyum atas suratan di aidilfitri buat dirinya pada tahun ini. Tidak menjangka itu yang bakal terjadi. Dia bersyukur ke hadrat Illahi kerana memperkenankan doanya dan berharap biarlah bahagia itu milik mereka bersama hingga ke hembusan nafas yang terakhir.

BERSAMBUNG.........

p/s: Kepada sesiapa yang pernah mengikuti cerpen berepisod ini suatu ketika dahulu (Ramadhan 2011) ini adalah bab akhir yang kalian baca dan beberapa hari saja lagi saya akan menyiarkan sambungan cerpen ini. Terima kasih yang tidak terhingga buat kalian yang sentiasa memberi sokongan dan galakkan dan terima kasih juga kepada pembaca-pembaca yang sudi membaca hasil karya yang seadanya. Harap segala kekurangan dapat dimaafkan dan ditegur dengan cara yang baik. TERIMA KASIH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan