BAB 21
Kistiza
memerhati Nasuha yang sibuk menyuapkan nasi goreng ke dalam mulutnya. Nasuha
angkat kening apabila perasan Kistiza sedang memerhatikannya. Teman sebiliknya
selama 2 tahun itu sekadar tersenyum. Khayla Irdina yang menumpang di bilik mereka
selama seminggu masih lagi terpacak di hadapan cermin.
“Ila, cukuplah bercermin tu. Dari
tadi kamu menghadap cermin tu, tak lama lagi mesti pecah.” Usik Kistiza.
“Rasa macam ada kuranglah Kak Za.”
Ujar Khayla Irdina tidak puas hati.
“Nak pergi program bakti siswa pun
kena pakai bulu mata juga ke?” Senda Nasuha.
“Ada kurang benda lain ni tapi tak
tau apa. Cuba tengok muka aku, lain kan?”
“Betullah lain.”
“Tu aku cakap macam ada yang kurang.
Kau pun tengok lainkan?”
“Ha’a lain macam terlebih bedak kut
hari ni.” Usik Nasuha.
“Suha, seriuslah sikit.”
“Biasa sajalah Ila. Bezanya hari ni
kau make-up lebih dari selalu. Kau ni
kenapa?”
“Kak Ila tak siap lagi?” Dickziene
terpekik apabila melihat Khayla Irdina belum mengenakan bajunya.
“Yan, tolonglah tengok Kak Ila ni
dia kata make-up dia tu ada kurang
tapi dia sendiri tak tahu apa yang kurang.”
“Saya rasa kak Ila pucat sikit sebab
kak Ila belum makan nasi goreng yang Kak Suha masak tadi.” Ujar Dickziene
dengan wajah serius.
“Semua tak boleh harap.” Marah
Khayla Irdina apabila masing-masing tidak serius membincangkan permasalahannya.
“Nizah, sudah makan?” Soal Nasuha
walaupun tidak melihat kelibat Aznizah ketika itu.
“Saya sedang makan. Ila tu yang tak
makan lagi.”
“Yan sudah makan?”
“Mestilah sudah. Thanks Kak Suha sanggup masak awal
pagi.”
“Kita nak jalan jauh, mestilah alas
perutkan. Nanti perut kosong, masuk angin pula. Ila, ni bahagian kau, jangan
tak makan pula.” Pesan Nasuha.
“Helloooooo everyone. Mana nasi aku?” Soal Rashidah yang baru sahaja tiba di
bilik itu.
“Eeeee tak malulah kau ni Ida.
Datang bilik orang terus minta nasi.”
“Suka hati akulah. Kau tu lagi tak
tahu malu, sudahlah menumpang bilik orang, nasi pun tuan bilik yang sediakan.”
“Chup! Cukup setakat ini. Ni untuk
kau. Makanlah dulu. Kau duduk di sini.” Pelawa Nasuha kepada Rashidah. Rashidah
senyum bangga dilayan baik oleh rakannya itu. Manakala Khayla Irdina sekadar
mencebik melihat senyuman di bibir Rashidah itu. Tiba-tiba lagu aishiteru
berkumandang memenuhi ruang bilik.
“Kak Suha cik abang telefon.” Ujar
Dickziene yang berada tidak jauh dari telefon bimbit Nasuha.
“Cik abang?!” Nasuha berasa pelik
namun begitu pantas menghampiri telefon bimbitnya.
‘Hmmm mamat mangkuk rupanya.’ Desis
hatinya. Nasuha menjawab panggilan tersebut. Setelah berbicara sebentar, Nasuha
mematikan talian telefon.
“Jom, gerak. Kejap lagi mamat mangkuk
tu tolong angkat barang.”
“Ehemmmm, baiknya dia dengan kak
Suha.”
“Dia tak nak baik pun kena baik
juga. Letak semua barang di tangga. Nanti dia datang tolong angkat.
“Bagi dia angkat beg pakaian
sekali.” Ujar Khayla Irdina.
“Beg pakaian angkat sendiri. Dia
angkat barang program saja.” Beritahu Nasuha. Ada nada tegas pada bicaranya.
Tidak mahu rakan-rakannya mengambil kesempatan atas pertolongan yang
dihulurkan.
“Taubat Nasuha!” Pekik Hafiz Azhar
dari tingkat bawah.
“Argh, gila betul mamat ni.
Suka-suka hati dia je nak menjerit.” Gumam Nasuha geram seraya berlari keluar.
“Kejap. Tunggu sana.” Ujar Nasuha
seraya masuk semula untuk mengambil kotak yang berisi fail untuk pelajar
sekolah. Seketika kemudian dia keluar bersama kotak tersebut. Menolak pintu
blok tersebut agar memudahkannya menarik kotak tersebut.
“Ha?! Kenapa kau naik sini. Ni blok
perempuanlah.” Nasuha terjerit kecil, terkejut apabila melihat Hafiz Azhar
telah pun berdiri di depan pintu blok yang berada di tingkat dua.
“Aku bukan buat apa pun. Aku tolong
angkat barang. Lagi pun aku di luar blok bukan dalam blok.” Tukas Hafiz Azhar
bersahaja.
“Memanglah tapi tak maniskan.”
“Bukan kita berdua. Budak bilik kau
saja dah 2 orang, dah tu ada Khayla, Ida. Kiralah dah berapa orang.”
“Baiklah. Angkatlah barang ni.” Ujar
Nasuha, malas mahu bersoal jawab lebih dengan lelaki itu.
“Ini saja?”
“Ada 3 kotak lagi tapi yang lain biar
kami angkat.” Beritahu Nasuha. Hafiz Azhar terus sahaja berlalu, menuruni anak
tangga Blok F dan seterusnya menuruni tangga Kampung C yang terdapat 100 anak
tangga itu.
“Kak Suha yang ni bawa juga?” Soal
Dickziene.
“Bawa. Kotak ikat tali tu pun bawa
juga.” Beritahu Nasuha kepada Dickziene dan Aznizah.
“Kertas mahjong tu biar aku yang
bawa.” Ujar Khayla Irdina seraya mengambil kertas mahjong yang berada di atas
kotak pencetak.
“Suha aku angkat yang ni.” Ujar
Rashidah seraya menjinjing kotak pencetak jenama HP yang telah diikat kemas
itu. Nasuha sekadar mengangguk.
“Ila, cepatlah sikit. Nanti bas
datanglah.” Gesa Nasuha.
“Sekejaplah. Aku nak juga
bercantik-cantik. Kau nampak maskara aku tak?” Soal Khayla Irdina sambil
membongkar beg sederhana besar bewarna ungu itu.
“Maskara?! Oh, maskara yang macam
pensil tu?” Soal Nasuha lagi.
“Yang macam pensil tu eye-liner. Maskaralah beb.”
“Maskara….hmmm.” Nasuha garu kepala
yang tidak gatal.
“Maskaralah beb.”
“Ooooo, yang macam berus tu kan?
Yang pakai untuk bulu mata?” Soal Nasuha sambil menjenguk seketika ke dalam
bilik.
“Betullah tu. Kau ada nampak?” Soal
Khayla Irdina.
“Entah. Banyak sangat barang make-up kau beb. Bukan semua kau letak
dalam beg make-up warna purple tu ke?”
“Memanglah. Masalahnya sekarang,
maskara tu hilang.”
“Tak payah pakai maskara sangatlah
beb. Nanti kita lewat ni.” Gesa Nasuha tidak keruan.
“Kau bolehlah tak pakai apa-apa. Aku
ni kalau tak pakai, lagilah tak kena pandang.” Ujar Khayla Irdina sedikit geram
dengan Nasuha yang asyik menggesanya sedari tadi.
‘Aduiiii Ila. Tolonglah cepat.
Betapa aku benci akan kelewatan.’ Bicara hati Nasuha.
“Ha, jumpa pun. Okay 15 minit lagi
siap.” Ujar Khayla Irdina.
“Aku bagi masa 5 minit ja.”
“10 minit beb.”
“Cepat!”
“Aik, makcik ni tak siap lagi?” Soal
Rashidah.
“Makcik tu lupa jampi pemanis wajah
dia, tu yang tak siap-siap lagi tu.” Nasuha membuat lelucon walau pun hatinya
geram dan gundah ketika itu.
“Okay, siap.” Jerit Khayla Irdina
seraya menarik begnya keluar dari bilik.
Sepuluh
minit berlalu barulah Nasuha dan Khayla Irdina melangkah keluar dari bilik
menuju ke perhentian bas. Nasuha ketap bibir geram. Geram atas kelewatan mereka
untuk menepati masa yang telah dijanjikan dan geram atas ragam Khayla Irdina
pada hari itu.
“Kak Za, Suha gerak dulu. Doakan
kami selamat sampai dan program berjalan dengan lancar.” Nasuha berjabat tangan
dan tunduk mencium tangan kistiza.
“InsyaAllah, Kak Za sentiasa berdoa
apa yang terbaik untuk kalian.”
“Amin.”
“Maksud Kak Za apa yang terbaik
untuk Suha dan yang dok tercegat di bawah tu.” Usik Kistiza apabila melihat
Hafiz Azhar setia menunggu sedari tadi.
“Eee Kak Za ni, nakal tau.” Nasuha
mencubit lembut tangan Kistiza.
“Kak Za jangan lupa cuci pinggan
bekas nasi goreng saya tadi.”
“Hey, ada pula suruh Kak Za yang
cuci. Pergi masuk semula, pergi cuci.”
“Penatlah nak daki semula tangga tu.
Biarlah Kak Za saja yang basuh. Kak Za kan free
pagi ni.” Khayla Irdina tersengih sambil menunjukkan simbol kedamaian
kepada Nasuha dan Kistiza.
“Melampau betul minah satu ni.”
Gumam Nasuha yang hanya mampu didengari oleh Kistiza. Nasuha ingin melangkah
masuk semula ke dalam bilik mereka tetapi dihalang oleh Kistiza.
“Kak Za okay sajalah beb. Kau tu ja
yang tak okay. Bolehkan Kak Za?!” Soal Khayla Irdina dengan nada manjanya
sambil badan terliuk lentuk ke arah Hafiz Azhar. Kistiza sekadar tersenyum
tawar dan mengangguk secara paksaan. Tidak mahu semangat Nasuha yang tadinya
berkobar-kobar padam begitu sahaja.
“Pergilah Suha. Nanti bertambah
lewat.” Pujuk Kistiza.
“Sorry
Kak Za.” Ucap Nasuha seraya memeluk Kistiza. Kistiza sekadar mengusap lembut
belakangnya, tahu betapa sensitif teman sebilik yang dianggap seperti adiknya
itu.
“Jom gerak. Hafiz, tolonglah angkat
beg ni, beratlah.”
“Angkatlah sendiri.” Ujar Hafiz
Azhar seraya berjalan menemui Nasuha yang baru sahaja melangkah turun. Tanpa
dipinta Hafiz Azhar segera mencapai beg pakaian Nasuha.
“Erm, biar aku angkat sendiri.”
“It’s
okay. Aku tolong.”
“Hafiz! Aku minta tolong dengan kau
angkat beg ni. Yang kau tolong Suha tu kenapa?”
“Suka hati akulah nak tolong siapa
aku suka. Kau tu badan besar, mampu nak angkat beg tu sendiri.”
“Kenapa cakap macam tu.” Tegur
Nasuha, tidak selesa Hafiz Azhar memperkatakan tentang fizikal Khayla Irdina.
Hafiz Azhar sekadar membisu.
“Dia pun mampu angkat beg tu
sendirilah.” Ujar Khayla Irdina geram.
“Bisinglah kau makcik.” Marah
Rashidah.
“Memanglah tapi layak dibantu. Kau
tengoklah badan dia dengan beg ni, besar beg dari tuan.”
“Amboi mengutuk nampak.” Ujar Nasuha
perlahan.
“Aku bercakap berdasarkan fakta.”
Balas Hafiz Azhar.
“Hoi, bisinglah!” Jerit satu suara
dari Blok D membuatkan mereka tersentak.
“Kan dah kena sound. Kecoh betul makcik ni.” Ujar Rashidah menyalahkan Khayla
Irdina.
“Kau tu nenek.” Balas Khayla Irdina
sambil menjelir ke arah Rashidah
“Okay stop. Better turun tanpa cakap apa-apa.” Ujar Nasuha tegas. Khayla Irdina
dan Rashidah hanya menurut kata, menuruni anak tangga besi tersebut tanpa
sepatah bicara. Hafiz Azhar senyum dan menunjukkan ibu jarinya kepada Nasuha.
“Dia datang dengan
lenggang-lenggoknya.” Izar dan Khairi menyanyikan lagu tersebut khas buat
Khayla Irdina
“Bas kecil?!” Nasuha separuh
menjerit apabila melihat bas yang berada di depan matanya kala ini.
‘Adui boleh pitam kalau macam ni.’
Desis hatinya seraya berjalan melihat sekeliling bas.
“Kau nak pergi mana tu? Pintu bas
sini, sebelah sana tiada pintu. Sesat memanjang.” Ujar Hafiz Azhar sengaja
mengenakan Nasuha.
Nasuha ketap bibir apabila
tindakannya itu membuatkan Hafiz Azhar membuat spekulasi dirinya tidak tahu di
mana terletaknya pintu bas. Hafiz Azhar segera meletakkan beg pakaian di
bahagian depan berhampiran pemandu.
“Persoalan saya, kenapa bas kecil?”
Soal Nasuha ingin tahu butiran lebih lanjut.
“Saya rasa cukup.” Jawab Khairi
kepada persoalan tersebut.
“Kamu rasa cukup?! Bilangan kerusi
dan bilangan AJK yang turut serta adakah sama? Atau kerusi dalam bas ni lebih
dari bilangan AJK?” Soal Nasuha dengan mata yang terus tertancap pada wajah Khairi.
“Saya rasa kerusi ni lebih.”
“Kamu rasalah. Kamu kira atau tidak
kerusi dalam bas ni? Kamu cek tak senarai nama AJK yang akan menyertai program
ni?” Soal Nasuha bersahaja tetapi ada nada tegas pada lantunan suara tersebut.
“Erm, saya rasa bas ni comel dan
muat untuk semua AJK.”
“Okay, jika comel boleh menjamin
keselesaan kita, teruskan sahaja.”
“Okay.” Khairi menjawab bangga
seperti apa yang dilakukan itu menjadi satu kebanggan dan kejayaan buat
dirinya.
“Taubat Nasuha, tiada barang
urusetia yang tinggal lagi?” Soal Hafiz Azhar sekadar mengingatkan Nasuha.
“Erm,
rakan-rakan sebilik yang disayangi, semua barang urusetia dah bawa tadi?” Soal
Nasuha.
“Sudah.”
“Ila?”
“Sudah,
jangan risaulah.”
“Ida,
printer tadi dah masuk dalam bas
kan?” Rashidah sekadar mengangguk bagi menjawab persoalan tersebut.
“Semua
okay.”
“Betul
tiada yang tinggal, cek betul-betul.” Ujar Hafiz Azhar.
“Betul.”
Jawab Nasuha yakin.
“Bang, dah boleh gerak sekarang.”
Beritahu Hafiz Azhar kepada pemandu bas tersebut.
Pemandu
bas berusia awal 30-an tersebut terus sahaja memandu keluar dari Kolej Kediaman
Cemerlang Dinamik menuju ke Kolej Kediaman Anugerah Bestari. Setiba di sana
para peserta program telah pun menanti di perhentian bas bersama barang-barang
mereka. Masing-masing masuk ke dalam perut bas dan keadaan tiba-tiba bertukar
kecoh apabila 3 orang dari peserta terbabit tidak mempunyai tempat duduk.
“Erm,
satu orang boleh duduk di sini.” Ujar Nasuha sambil berdiri dari kerusinya. Dia
memandang kerusi bahagian belakang berharap masih ada kerusi yang kosong.
“Ada
yang sukarela duduk atas bumbung?” Ujar Faezah sekadar bergurau.
“Khayla
ni bagi naik atas bumbung, so, 2
orang tu boleh ambil kerusi dia.” Cadang Izar lancang.
“Kaulah
duduk atas bumbung.” Lantang sahaja suara Khayla Irdina membalas kata-kata Izar sebentar tadi.
“Maaf,
di larang bergaduh di dalam bas ini.” Faezah cuba memberi peringatan.
“Dia
ni yang cari pasal dengan aku.” Adu Khayla Irdina kepada Faezah. Faezah sekadar
menggeleng kepala, tidak tahu apa yang harus diperkatakan saat itu.
“Suha.”
Faezah angkat kening melihat Nasuha yang masih berdiri di tangga bas biar pun
bas mulai bergerak meninggalkan perkarangan Kolej Kediaman Anugerah Bestari.
“Kau duduklah sini, muat lagi ni.”
Pelawa Faezah, memberi sedikit ruang agar Nasuha boleh duduk di kerusinya.
“It’s
okay. Nanti aku duduk sana.” Ujar Nasuha seraya melabuhkan punggung di
tangga bas tersebut.
Hampir satu setengah jam perjalanan namun
mereka belum juga tiba ke destinasi di tuju. Nasuha yang sedari tadi memicit
kepalanya, mencalit sedikit minyak angin cap kapak di hidungnya. Perjalanan
yang berbukit-bukau seperti itu memang tidak disukai olehnya tapi apakan daya
demi mendidik adik-adik yang berada di pedalaman, dia sanggup menempuhinya.
“Kau okay?” Soal Faezah.
“Okay. Kau?” Soal Nasuha pula.
“Aku lapar.”
“Nizah, nasi goreng tadi letak
mana?” Soal Nasuha kepada Aznizah yang duduk bersebelahan dengan Faezah.
“Tempat Yan.”
“Saya dengar nama saya disebut.”
Ujar Dickziene yang sedari tadi khusyuk menyaksikan keindahan alam.
“Yan, bagi nasi goreng tadi dengan
Kak Fa.” Dickzeine segera mencapai bekas lutsinar berisi nasi goreng tersebut
kepada Faezah.
“Wah, bau sungguh menggoda. Aku
makan ya.” Ujar Faezah.
“Makanlah, aku yang masak pagi
tadi.” Ujar Khayla Irdina.
“Excuse
me Kak Ila, jangan nak perasan okay. Orang lain sibuk masak, Kak Ila tu
sibuk lagi berdengkur.” Ujar Dickziene sedikit meluat dengan perangai Khayla
Irdina.
“Sedap.” Ujar Faezah sepatah dengan
mulut yang penuh. Begitu lahap dia makan kerana sedari semalam dia tidak makan
walau sebutir nasi gara-gara sibuk mengurus program tersebut.
“Tengoklah siapa masak.” Ujar Aznizah.
“Kau masak?” Teka Faezah seraya
menoleh ke arah Aznizah.
“Yang duduk di tangga ala pelarian
tu la yang masak.” Beritahu Aznizah sambil tersenyum manis.
“Suha thanks. Kalau tak mesti aku mati kebulur sebelum sampai Sepulut.”
Ujar Faezah nakal.
“Ada pula macam tu. Ada-ada sajalah
kau ni Fa.”
“Bau satu bas, takkanlah makan
seorang saja.” Sindir Izar.
“Sorry
Zar, aku pun minta makanan Suha dan sekutunya.” Ujar Faezah dengan perasaan
serba salah.
“Sebenarnya nasi goreng tu ada
lagi.” Ujar Dickziene dengan senyuman lebar.
“Mana?” Soal separuh daripada
peserta yang sedari tadi menahan lapar dan dahaga akibat tidak sempat
bersarapan pagi.
“Kak Nizah di mana tu?” Dickziene
cuit belakang Aznizah.
“Entah.” Jawab Aznizah lalu
memandang Nasuha.
“Dalam beg kelabu.” Jawab Nasuha
perlahan.
“Mana beg kelabu tu?” Soal Aznizah
dan Dickziene serentak.
“Tu tempat Hafiz Azhar.” Beritahu
Nasuha apabila melihat Hafiz Azhar memangku beg tersebut.
“Ehem.” Faezah berdehem seraya
tersengih melihat Nasuha. Nasuha ketap bibir, faham akan maksud sengihan
tersebut.
“Bagi beg tu.” Pinta Nasuha. Hafiz
Azhar segera menghulur beg tersebut kepada Nasuha. Seketika kemudian Nasuha
mengeluarkan bekas berisi nasi goreng yang dimasaknya selepas solat subuh tadi.
“Siapa ada pinggan?” Soal Izar
cepat, tidak sabar untuk mengisi perut yang kosong itu.
“AJK makanan sila jawab pertanyaan
tersebut.”
“Nah,ambil ni.” Wan Fifi menyerahkan
pinggan kertas tersebut kepada Izar. Masing-masing berusaha untuk mendapatkan
nasi goreng tersebut biar pun hanya sedikit seorang.
“Nasib baik AJK makanan sediakan
sarapan pagi. Terima kasih Natrah.” Ucap Ronald gembira.
“Inilah yang dinamakan lembu punya
susu, sapi dapat nama.” Ujar Izar dan disambut dengan gelak tawa rakan-rakan
yang lain. Ronald mencebik, tidak tahu kenapa seperti mereka mentertawakannya.
“Kenapa?” Soalnya bingung.
“Urusetia yang masak kau kata AJK
makanan yang masak.” Ujar Tuah ringkas.
“Owh, sediakan sarapan pagi peranan
urusetia juga ke?” Soal Ronald bersahaja.
“Sarapan pagi adalah atas tanggungan
sendiri dan tidak dipertanggungjawabkan kepada mana-mana bahagian. Sekian.”
Ujar Natrah sedar apabila merasakan dirinya hampir dipersendakan.
“Jadi nasi goreng tadi?”
“Sponsered
by Nasuha.”
“Oh, terima kasih Nasuha. Sedap nasi
goreng kau.” Ucap Ronald sambil menjengket melihat Nasuha yang masih lagi duduk
di tangga bas.
“Saya tahu sudah.” Ujar Medius yang
baru sahaja menghabiskan nasi gorengnya.
“Apa yang kau tahu?” Soal Ronald
cepat.
“Saya tahu dalam bilik Nasuha ada
periuk nasi. Boleh report sama Jakmas
ni.” Beritahu Medius berterus terang dengan loghat Kadazan yang pekat.
“Inilah namanya diberi susu dibalas
tuba.” Ujar Izar sambil menggaru kepala yang tidak gatal.
“Saya gurau sajalah. Terima kasih ya
Nasuha.” Ucap Medius dengan senyuman manis terukir di bibir.
“Tukang masak tak makan?” Soal Hafiz
Azhar yang sedari tadi membisu.
“Tukang masak dah mabuk jalan.”
Beritahu Faezah. Seketika kemudian Hafiz Azhar berdiri dan berjalan menghampiri
Nasuha. Dia menghulurkan sesuatu.
“Oi, cik kak.”
“Hmmm.” Nasuha membuka matanya
perlahan.
“Nah.” Hafiz Azhar menghulurkan beg
plastik kepada Nasuha.
“Untuk apa?” Soal Nasuha dengan dahi
yang berkerut seribu.
“Untuk sambut muntah kaulah Taubat
Nasuha.”
“Eh, ada yang muntah?! Medic! Medic!” Jerit Tuah nakal.
“Siapa sakit?” Soal Maria yang baru
sahaja terjaga dari lenanya.
“Nasuha.” Jawab Tuah sambil menahan
gelaknya. Cepat sahaja Maria mencapai kotak kecemasan yang disimpan rapi di
dalam begnya.
“Maria, saya okay.” Ujar Nasuha
lemah.
“Ha?! Bukan kamu sakit ke?”
“Tuah kenakan kamu saja tadi tu.
Saya okay, kamu duduk ya.” Beritahu Nasuha jujur.
“Tak apa Maria selagi saya disamping
Nasuha dia akan sentiasa sihat.” Gurau Hafiz Azhar. Nasuha sekadar mencebik
mendengar kata-kata lelaki itu.
“Perhatian,
sekarang kita telah
sampai di Pekan Keningau. Kita hanya akan berhenti selama 2 jam di pekan
ini
dan berkumpul semula selepas satu jam untuk meneruskan perjalanan ke
SMK. Sepulut. Diharap semua peserta memberi kerjasama yang baik.” Umum
Faezah
satu-persatu agar kesemua anak buahnya mendengar dengan jelas mengenai
arahan
yang diberikan sebentar tadi.
“Jumpa di mana?” Soal Khairi yang
sepanjang perjalan asyik mendiamkan diri akibat rasa bersalah dengan
rakan-rakan lain.
“Di mana kita turun di situlah kita
akan jumpa semula. Jelas?”
“Jelas.”
Seketika
kemudian, bas mini Universiti Malaysia Sabah berhenti di bawah sepohon pokok
yang rendang dan berhampiran dengan sebuah masjid. Para peserta berebut-rebut
keluar dari bas tersebut untuk mendapatkan udara yang lebih segar berbanding di
dalam bas yang sesak itu. Masing-masing berkumpul berhampiran dengan bas
tersebut untuk mendengar pesanan ringkas pengarah program.
“Okay,
jam saya sekarang
menunujukkan pukul 11 pagi maknanya kita akan berkumpul semula pada
pukul 1 petang. Lagi satu pesanan saya, kalau boleh jalan berkumpulan.
Jangan
jalan sendirian, nanti tiada seorang pun tahu sekiranya terjadi sesuatu
ke atas
diri kamu.” Pesan Faezah lagi.
“Pesanan khas untuk Taubat Nasuha,
jangan sesat.” Celah Hafiz Azhar nakal. Nasuha mengerling tajam wajah lelaki
yang sedang tersenyum lebar itu. Ikut hati yang sakit ingin sahaja dia menumbuk
lelaki itu.
‘Sabar Nasuha. Orang macam tu kau
tak perlu layan.’ Bisiknya cuba memberi motivasi kepada dirinya sendiri.
“Kak Suha kenapa naik bas kecil,
sempitlah. Sakit kaki Risya tau.” Omel gadis bernama Risya itu.
“Alolo ciannya dia. Macam ni barulah
ada cabaran untuk menabur bakti kepada adik-adik yang duduk di pedalaman.” Ujar
Nasuha cuba berdiplomasi dengan pelajar tahun 1 yang juga merupakan anak kepada
salah seorang ahli korporat terkenal di Malaysia.
“Bukan UMS banyak bas besar ke?
Kenapa kita guna bas kecil saja?” Omelnya lagi dengan bibir yang muncung
sedepa.
“Risya, ini bukan program eksklusif
tau. Ni program bakti siswa. Naik bas kecil ke besar ke sama saja. Apa yang
penting, nawaitu kita dalam membuat sesuatu.”
‘Apa sajalah yang kau merapu ni
Nasuha oi. Haha, biarkanlah, kalau dia faham, fahamlah. Kalau tak faham apa
boleh buat. Hehe.’ Nasuha gelak geli hati setelah berbicara sendiri. Namun
begitu gadis comel itu, angguk dan senyum setelah mendengar bicara Nasuha
tersebut.
“Apa pun terima kasih Kak Suha beri
peluang seperti ni kepada Risya.” Ucap Risya dengan senyuman manis.
“Sama-sama.”
“Lagi satu, sedap nasi goreng Kak
Suha, dah boleh jadi isteri orang.” Usik Risya.
“Alahai dik, takkan setakat masak
nasi goreng dah boleh jadi isteri orang.”
“Yalah sebab Kak Suha masak sedap
biar pun hanya masak dalam periuk nasi.”
“Haha, yang tu kena take note tau. Nanti nak hantar resume
kat bakal laki, kena letak dalam resume mempunyai kelebihan iaitu pandai masak nasi goreng
dalam periuk nasi. Hehe.” Ujar Nasuha melawak membuatkan semua yang mendengar
tergelak.
“Kak Suha ni lawaklah.” Ujar Risya.
“Dahlah pandai masak dalam periuk
nasi, pandai melawak pula tu. Mesti ramai lelaki minat.” Celah Fifi pula
yang sedari tadi hanya mendengar perbualan mereka.
“Yang tu sudah semestinya Kak Fifi
tapi orang tu buat tak tahu saja.” Ujar Dickziene pula memecahkan tembelangnya.
“Oleh kerana cerita kita ni dah
melalut entah ke mana apa kata kita cari restoran untuk makan.” Saran Nasuha
cuba untuk mengalihkan topik perbualan.
“Nak mengelaklah tu.”
“Dah cepat cari makanan.” Ujar
Nasuha. Masing-masing bersurai dan mulai menapak mencari restoran yang terdapat
di Pekan Keningau tersebut.
Satu jam lima belas minit kemudian,
Hafiz Azhar telah pun berada berhampiran bas tersebut. Dari jauh kelihatan
sekumpulan pelajar perempuan berjalan kaki menuju ke arah mereka. Nasuha resah
seperti ada sesuatu yang tidak kena. Setiba di tempat parkir bas tersebut
Nasuha terus sahaja duduk di atas kerusi kayu yang tersedia di situ.
“Mengelamun” Tegur Hafiz Azhar yang
sedari tadi memerhati tingkah Nasuha.
“Hmmm.” Nasuha sekadar memandang
seimbas lalu lelaki tersebut dan kemudian sibuk memikirkan sesuatu.
“Kau kenapa?” Soal Hafiz Azhar
seraya duduk di sebelah Nasuha.
“Aku rasa macam ada yang kuranglah.”
Adunya.
“Apa?”
“Entah tapi hati aku rasa lain. Masa
dalam perjalanan tadi dah rasa macam ni. Dah sampai sini lagi rasa lain.” Luah
Nasuha.
“Ada barang tinggal? Fail? Alat
tulis? Kertas?” Hafiz Azhar cuba menyebut satu persatu barang yang berkaitan
dengan urusetia. Nasuha sekadar menggeleng.
“Aku rasa……hah, matilah aku!” Nasuha
teringat sesuatu seraya bingkas dari kerusi tersebut. Dia berlari menaiki bas
mini tersebut dan menggeledah barang-barang yang terdapat di situ.
“Apa?” Soal Hafiz Azhar yang telah
pun berdiri di belakangnya.
“Kertas mahjong. Kau ada bawa turun
tadi?” Soal Nasuha. Hafiz Azhar geleng. Dia mengamati wajah keruh Nasuha.
“Cuba cek betul-betul.” Hafiz Azhar
terus sahaja membantu Nasuha mencari kertas mahjong tersebut. Tidak lama
kemudian mereka saling berpandangan, Hafiz Azhar menggelengkan kepalanya.
“Aduiiii.”
“Itulah aku kata tadi, cek
betul-betul.”
“Di tempat beg tu kamu tiada simpan
barang lain?” Soal Nasuha lemah.
“Sana semua beg.” Jawab Hafiz Azhar.
Nasuha hampa dan terus sahaja turun dari bas tersebut dan bertemu dengan Faezah
selaku pengarah program. Mereka berbincang seketika dan tidak lama kemudian
Nasuha menarik tangan Aznizah agar mengikutnya.
Sepuluh minit kemudian, Nasuha dan
Aznizah muncul semula dengan segulung kertas mahjong. Kedua mereka
termengah-mengah setiba di dalam bas. Nasuha mengesat peluh dengan sapu
tangannya manakala Aznizah menarik nafas dalam dan menghembusnya perlahan.
“Macam kena kejar anjing.”
“Ni bukan kena kejar anjing tapi.”
Jawapan Aznizah tergantung begitu sahaja.
“Syyy! Erm, kalau tiada yang tinggal
lagi, boleh jalan sekarang.” Beritahu Nasuha seraya mengisyaratkan sesuatu
kepada Aznizah.
“Bang, dah boleh gerak sekarang.”
Ujar Faezah kepada pemandu bas tersebut.
“Ada orang tu bila ditanya dia cakap
semua sudah tapi sampai sini tinggal pula.” Perli Hafiz Azhar.
“Macam mana kau tak ingat kertas
mahjong tu. Itukan benda penting.” Ujar Khayla Irdina.
“Eh, bukan kau ke yang nak bawa
kertas mahjong tu tadi.” Ujar Rashidah, meluat melihat gaya gedik Khayla
Irdina.
“Memanglah tapi dia kan ketua
Urusetia, dia mesti tahu apa yang tiada. Aku ni tolong bawa saja.”
“Kalau kau tolong bawa, mana kertas
mahjong tu? Kau tinggalkan dalam bilikkan?” Tebak Rashidah.
“Jadi kau nak salahkan aku?” Soal
Khayla Irdina berang.
“Cukuplah tu. Kertas mahjong ni pun
dah ada kan.” Ujar Nasuha dengan mata yang berkaca, terasa dengan kata-kata
Khayla Irdina sebentar tadi. Namun dia tidak mahu berfikiran negatif terhadap
sahabatnya itu.
“Suha pun tak bising kau saja yang
kecoh.” Tempelak Khayla Irdina.
“Suha tu malas nak bising, ikut hati
dia, dia nak saja campak kau dari Banjaran Crocker tau.”
“Itulah, aku suruh cek betul-betul
tadi cakap semua okay, tengok apa dah jadi.” Ujar Hafiz Azhar yang baru sahaja
menghampiri Nasuha.
“Kau diamlah.” Ujar Nasuha.
“Yelah, saya diamlah ni.” Ujar Hafiz
Azhar sambil tangannya bermain dengan patung spongebob. Nasuha segera menoleh
ke arah Hafiz Azhar, mengamati setiap inci patung spongebob yang berada di
tangan Hafiz Azhar.
“Ni…”
“Taubat Nasuha saya diamlah ni.”
Ujar Hafiz Azhar sambil menutup mulut spongebob tersebut dengan tangan anak
patung itu sendiri.
“Hafiz Azhar!”
“Ya saya.”
“Patung aku kan?” Soal Nasuha inginkan
kepastian biar pun nalurinya benar-benar mengatakan itu adalah patung miliknya.
“Ya betul. Erm, awak macam nak
nangis je, janganlah nangis, nanti saya tak boleh kacau awak lagi.” Ujar Hafiz
Azhar cuba meniru suara watak Spongebob Squarepants.
“Eeeee, sini. Suka hati kau
sajakan.”
“Alaaaa, aku tolong masukkan bekas
nasi goreng tu tadi tapi dia ni menjerit-jerit suruh aku selamatkan dia dari
kekejaman kau. Jadi aku tolonglah.” Tutur Hafiz Azhar membuatkan Nasuha
tersenyum sambil menggeleng kepalanya.
“Sudahlah kau. Mengarut je lebih.”
Nasuha menarik patung spongebob kesayangannya dari tangan Hafiz Azhar.
“Macam tulah, jangan sedih-sedih
lagi.” Ujar Hafiz Azhar seraya bangun dan duduk di bahagian hadapan sambil
berbual rancak dengan pemandu bas tersebut.
Satu jam perjalanan dari Pekan
Keningau barulah mereka tiba di SMK. Sepulut. Masing-masing melafaz rasa syukur
kerana tiba ke destinasi yang dituju tanpa sebarang masalah. Setiba mereka di
sana, mereka disambut dengan pukulan gong yang dimainkan oleh pelajar sekolah
tersebut. Pelajar-pelajar dari Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu begitu
gembira dengan sambutan yang diberikan oleh sekolah terbabit. Segala penat
mereka sepanjang perjalan ke sekolah itu seperti tidak terasa kini.
Setelah menjamu selera yang
disediakan oleh pihak sekolah terbabit, masing-masing memunggah barang-barang
keluar dari perut bas. Cepat sahaja Nasuha mengarahkan anak-anak buahnya untuk
menjalankan tugas tanpa perlu mengikut rentak AJK yang lain.
“Okay,
tugas Yan sekarang susun meja
untuk pendaftaran. Aznizah pun sama. Lepas tu nanti susun fail seperti
yang
telah kita rancang semalam. Jangan silap tau.” Ujar Nasuha seraya
mencari Cikgu Micheal yang menjadi tunjang dalam program tersebut
terlaksana.
Setelah selesai berbincang, Nasuha
kemudian kembali mendapatkan Dickziene dan Aznizah di bahagian depan dewan. Dia
turut sama menyusun fail seperti yang telah mereka rancangkan semalam. Dia
tidak mahu strategi yang telah mereka aturkan untuk pembahagian kumpulan itu
gagal.
Setelah selesai urusan pendaftaran
yang terdapat 10 kumpulan semuanya dan terdiri dari 10 hingga 12 orang ahli,
program tersebut terus sahaja dilanjutkan ke aktiviti dalam kumpulan iaitu aktiviti
ice breaking yang dikendalikan oleh
fasilitator yang terdapat di dalam kumpulan tersebut.
“Suha, join group saya.” Ujar Aznizah sebelum berlalu menuju kumpulannya.
“Okay.” Jawab Nasuha bersahaja
sambil membahagikan kertas mahjong kepada setiap kumpulan.
“Urusetia yang tidak mempunyai
kumpulan boleh masuk dalam mana-mana kumpulan yang kamu suka.” Ujar Syazwan
lantang selaku ketua fasilitator.
“Taubat Nasuha, masuk group aku.” Ajak Hafiz Azhar.
“Huh, tak nak aku masuk kumpulan
kau.”
“Masuklah kumpulan aku.”
“Tak naklah. Kau kan selalu jahat
dengan aku. Nanti kau buli aku kalau kita satu kumpulan.”
“Bila masa pula aku buli kau ni. Aku
kan budak baik.”
“Hmmmm, baiklah sangat. Dalam mimpi
bolehlah kau tu baik.”
“Sah, kau pernah mimpi aku kan?!”
“Eeeee, perasan.”
“Cik abang dan cik kak, jangan nak
bertengkar depan budak-budak sekolah.” Tegur Syazwan apabila melihat dua orang
rakannya itu hampir perang mulut.
“Okay boss.” Jawab Nasuha sambil
menjelir ke arah Hafiz Azhar.
“Nasuha, ingat, sekarang ni bahagian
urusetia kamu sahaja yang tinggal dan kamu yang akan kendalikan semuanya sebab
anak-anak buah kamu yang lain akan jadi fasilitator tetap dalam kumpulan
masing-masing. Erm, kamu kena sentiasa ingatkan saya masa yang kita peruntukan
tu. Tidak boleh lebih dari yang kita rancang. Sekiranya, tiada kerja-kerja
urusetia yang perlu dilaksanakan kamu boleh masuk kumpulan yang kamu pilih.
Sekarang kamu pilih kumpulan mana?”
“Okay. Erm, saya join group Aznizah.” Ujar Nasuha yakin.
“Good.
So, kalau tiada kerja urusetia kamu masuk kumpulan Aznizah. Clear?”
“Clean
and clear.” Ujar Nasuha nakal.
“Ehem.” Hafiz Azhar berdehem.
“Apa ehem-ehem?” Ujar Nasuha dengan
mata yang sengaja dibesarkan.
"Kumpulan Aznizah tu maksudnya kumpulan akulah tu." Ujar Hafiz Azhar dengan senyuman mekar di bibir.
"Ha?! Ya Allah kenapalah kau satu kumpulan dengan Aznizah. Eeeeeee." Ujar Nasuha geram.
“Ha, bergaduh, bergaduh. Ni, kalau
bergaduh lagi kali ni, aku panggil tok kadi, nikahkan kamu di sini.” Ujar
Syazwan
“Eeeeeeeeeeeeeeeeeee, suka hati kau
sajakan.” Nasuha menarik muncung panjang.
“Kalau dah muncung panjang macam tu,
memang sah pengantin perempuan setuju.” Senda Syazwan
“Kau nampak ni?!” Nasuha tunjuk
penumbuknya depan Syazwan.
“Ceh, sikit-sikit tunjuk penumbuk.
Macamlah penumbuk dia tu besar sangat.” Ujar Hafiz Azhar sambil tergelak
bersama Syazwan.
“Huh, dari layan kamu berdua ni
lebih baik layan budak sekolah. Daaaaaa!” Ujar Nasuha seraya berlalu meninggalkan
Hafiz Azhar dan Syazwan dengan gelak yang masih bersisa.
Setelah mengadakan program selama
tiga hari dua malam di SMK. Sepulut, kini tiba masa untuk mahasiswa Universiti
Malaysia Sabah melangkah pergi untuk kembali ke kampus di Kota Kinabalu. Oleh
kerana hubungan yang terjalin sepanjang tiga hari tersebut sangat erat di
antara pelajar sekolah dan juga fasilitator yang terlibat membuatkan majlis
penutupan tersebut menjadi sayu dan hiba apabila terdengar esak tangis dari
mereka.
“Suha, kalau kau nak nangis, ni
nangis di bahu Hafiz Azhar, rakan seperjuangan dalam satu kumpulan.” Usik
Syazwan. Nasuha sekadar mencebik.
“Kau tengok jual mahal tu, nanti
macam hari tu, konon tak nak satu kumpulan dengan aku, alih-alih satu kumpulan
juga.” Perli Hafiz Azhar.
“Kamu ni kalau tak sakitkan hati aku
tak boleh?”
“Uishhh, Taubat Nasuha tahu sakit
hatikah?”
“Kak Suha nak tandatangan.” Ujar
seorang pelajar kepada Nasuha sambil menyerahkan pen dan sebuah buku.
“Okay.” Nasuha mengambil pen dan buku tersebut. Dia mencoretkan sesuatu di salah satu lembaran sebelum
menurunkan tanda tangan ringkasnya.
“Macam artis.” Usik Syazwan seraya
meninggalkan Nasuha dan Hafiz Azhar untuk bertemu dengan Cikgu Michael.
“Nasuha, Hafiz senyummmmm. Satu,
dua, tiga. Okay!” Ujar Aznizah yang tiba-tiba sahaja muncul membuatkan Nasuha
dan Hafiz Azhar hanya menurut kata-kata Aznizah itu.
“Jahatlah Nizah ni.”
“Sorry
Suha tapi gambar ni cantik.” Puji Aznizah jujur. Nasuha sekadar mencebik.
“Mari aku ambil gambar kamu berdua
pula.” Ujar Hafiz Azhar yang telah bersiap sedia untuk mengambil gambar Nasuha
dan Aznizah menggunakan kamera Nikkon milik Faezah.
“Nak juga.” Dickziene yang berdiri
tidak jauh dari mereka terus sahaja berdiri rapat dengan Nasuha sambil memberi
senyuman manisnya.
“Sweet!”
“Dah ambil? Lain kali kiralah dulu.”
Omel Aznizah.
“Okay satu kali lagi. Satu, dua,
klik!”
“Macam tulah kalau nak ambil gambar.
Barulah semua orang bersedia.” Ujar Aznizah
sambil tersenyum apabila melihat Hafiz Azhar tekun mengambil gambar
Nasuha secara curi. Hafiz Azhar meletakkan jari telunjuk di bibirnya agar
Aznizah tidak memberitahu Nasuha akan tingkahnya saat itu.
“Okay kita terpaksa bergerak
sekarang sebab semakin lambat kita bertolak, semakin lambat kita akan sampai ke
kampus.” Ujar Syazwan memberi arahan. Para mahasiswa Universiti Malaysia Sabah
mula memenuhi perut bas mini tersebut.
“Kak Nasuha.” Panggil salah seorang
pelajar perempuan membuatkan Nasuha tidak jadi untuk meneruskan langkahnya.
“Erm, ni untuk Kak Nasuha.” Pelajar
perempuan itu menghulurkan seutas gelang tangan yang diperbuat dari
tumbuh-tumbuhan.
“Terima kasih Nelly.” Ucap Nasuha.
“Sama-sama kak. Gelang ni sebagai
tanda ingatan saya kepada kakak yang banyak tolong saya dan sedarkan saya
tentang kesilapan saya selama ini.” Ucap Nelly seraya memeluk Nasuha erat. Esak
tangisnya yang mulai kedengaran membuatkan Nasuha terasa sebak dan menangis
bersama. Hafiz Azhar pula sedari tadi umpama seorang jurukamera professional
yang asyik menekan punat kamera bagi mendapatkan hasil gambar yang terbaik.
“Okay Nelly, kakak kena pergi
sekarang, kamu jaga diri elok-elok, belajar sungguh-sungguh, dengar kata mummy,
jangan cakap kasar dengan mereka, sentiasa minta restu dengan mereka. Ingat apa
yang kakak telah pesan dengan kamu malam tu.”
“Terima kasih kak. Saya akan ingat
semua tu. Saya akan jadi adik terbaik untuk kakak dan anak terbaik untuk mummy
saya.”
“Good
girl.” Ucap Nasuha seraya mengusap lembut kepala pelajar perempuan
tersebut. Nelly kemudiannya mencium kedua belah pipi Nasuha sebelum Nasuha
masuk ke dalam perut bas.
Berapa minit kemudian bas mini
Universiti Malaysia Sabah, berwarna biru itu bergerak meninggalkan perkarangan
sekolah tersebut. Masing-masing berbalas lambaian. Nasuha melambai dengan
linangan air mata yang sukar dihapuskan olehnya. Hafiz Azhar masih lagi
memainkan peranannya sebagai jurugambar yang entah bertauliah atau pun tidak.
“Perhatian, nanti kita akan berhenti
di pekan Keningau untuk makan malam dan setelah itu kita akan terus sahaja balik
ke UMS tercinta. Kepada sesiapa yang belum mendapat surat pelepasan kuliah,
nanti boleh berhubung terus dengan saya.” Beritahu Faezah.
“Ada soalan.” Izar yang duduk di
kerusi paling belakang bersuara.
“Ya, sila ajukan.”
“Erm, makan malam ni ditaja atau
tanggung sendiri?” Soal Izar.
“Oh, yang tu nanti saya bagi jawapan
setelah selesai perbincangan tertutup.” Ujar Faezah.
“Kami semua berharap biarlah
jawapannya nanti ditaja.” Tutur Izar mengharap dan yang lainnya bertepuk
tangan tanda bersetuju dengan kata-katanya.
“Kita tunggu nanti.” Jawab Faezah
kemudian duduk bersama Asyikin selaku bendahari program bakti siswa tersebut.
“Suha, belum habis menangis lagi?”
Soal Syazwan nakal. Buntang mata Aznizah melihat Syazwan.
“Taubat Nasuha cepat senyum, satu
dua, klik!” Ujar Hafiz Azhar pula sambil mengambil gambar Nasuha dari jarak
jauh. Nasuha menutup wajahnya dengan tuala berwaran merah jambu yang sederhana
besar itu.
“Suha.” Panggil Syazwan sekadar
ingin mengusik.
“Suha, sekali lagi. Satu.”
“Janganlah ambil gambar.” Ujar
Nasuha sedikit geram dengan Hafiz Azhar dan Syazwan.
Klik! Klik! Klik!
“Hafiz Azhar!” Jerit Nasuha geram
dengan tingkah lelaki yang tidak makan saman itu.
“Nice
Taubat Nasuha.” Puji Hafiz Azhar.
“Asyik ambil gambar Suha, gambar akulah
lagi.” Ujar Khayla Irdina.
“Oh, boleh.” Hafiz Azhar bersiap
sedia ingin mengambil gambar Khayla Irdina yang sedari tadi telah bersedia
dengan senyuman dan gaya ala seorang model.
Klik!
“Okay”
“Satu kali lagi.” Pinta Khayla
Irdina
“Eh cukuplah, nanti habis filem.”
Jawab Hafiz Azhar dan disambut dengan gelak ketawa oleh rakan-rakan yang lain.
“Kamera tu kan guna memori, kau
buanglah gambar yang tak okay. Tak pun kau buang gambar yang tak penting, yang
banyak menyemak dalam kamera tu. Buat apa nak simpan gambar orang yang sama ja,
buat penuh memori.” Usul Khayla Irdina, geram apabila Hafiz Azhar seperti mahu
tidak mahu sahaja mengambil gambarnya.
“Masa di pekan keningau nanti aku
ambil gambar kau.” Tutur Hafiz Azhar memberi harapan kepada Khayla Irdina.
“Baik, kau jangan mengelak pula
nanti.”
“Promise.”
Janji Hafiz Azhar seolah acuh tak acuh membuatkan Khayla Irdina mengetap bibir
geram.
“Hello, hello.” Hafiz Azhar memetik
jarinya di hadapan Nasuha yang telah pun terlelap akibat keletihan.
“Hafiz, tak payahlah kacau Nasuha
tu. Kesian dia.” Marah Rashidah.
“Okay, aku tak kacau.” Hafiz Azhar
beralah dan terus duduk di tangga bas bersama Izar dan Syazwan.
“Perhatian, makan malam pada malam
ini ditaja. Jadi kita akan makan malam di satu restoran yang sama. Sekiranya
ada yang mahu makan di restoran lain, silakan tapi itu atas tanggungan sendiri.
Jelas?” Soal Faezah setelah membuat pengunguman yang menggembirakan hati
anak-anak buahnya.
“Jelas.” Masing-masing tersenyum dan
berpuas hati dengan kenyataan yang baru sahaja diumumkan oleh Faezah sebentar
tadi.
Empat puluh minit kemudian, mereka
tiba di Pekan Keningau. Kesemua mereka keluar dari dalam perut bas dan pemandu
bas akan kembali mengambil mereka di tempat itu satu jam kemudian. Hafiz Azhar
sengih melihat Nasuha seperti ada sesuatu yang ingin dikatakan olehnya. Nasuha
mengecilkan anak matanya cuba meneka apa yang ada dibenak lelaki itu.
“Cepat, baik mengaku, kau buat apa
dengan aku?”
“Buat apa? Tiba-tiba suruh mengaku.”
Dalih Hafiz Azhar.
“Kau sengih macam tu pun aku sudah
taulah mesti kau ada buat sesuatu.”
“Eh, mana ada.” Nafi Hafiz Azhar
dengan sengihan yang masih setia menghiasi bibirnya. Nasuha pandang Hafiz Azhar
tanpa berkedip.
“Fullamak, cantiklah gambar korang macam tu, macam gambar orang
kahwin.” Ujar Izar yang sempat mengambil gambar Nasuha dan Hafiz Azhar
sebentar tadi.
“Tengok.” Rashidah, Khayla Irdina,
Aznizah dan Dickziene masing-masing menghampiri Izar untuk melihat gambar
tersebut.
“Cantik!” Jerit mereka serentak.
“Hmm, macam pinang dibelah dualah
kak Suha dan abang Hafiz ni.” Ujar Dickziene membuatkan sengihan Hafiz Azhar
semakin menjadi.
“Kalau dah macam pinang dibelah dua,
kira secocoklah tu kan?” Soal Hafiz Azhar meminta kepastian.
“Kalau untuk abang Hafiz dan kak
Suha, bukan setakat secocok tapi lebih dari secocok.”
“Sebab Yan kata lebih dari secocok,
tengok, kami ada baby nama
Spongebob.” Hafiz Azhar mengeluarkan patung spongebob squarepants milik Nasuha
dari belakangnya.
‘Huh, aku dah agak dah mamat ni
mesti ada buat something. Hadoi!’
“Spongebob peganglah tangan mama.”
Ujar Hafiz Azhar nakal membuatkan mereka yang berada berhampiran tergelak
mendengarnya.
“Hafiz Azhar! Kau buat apa ni?!”
Soal Nasuha. Dia cuba untuk bersabar.
“Bawa spongebob jalan-jalan tengok
pekan Keningaulah.” Jawab Hafiz Azhar bersahaja.
“Hafiz Azhar, aku cuma bawa turun
beg dompet sahaja okay. Kau nak letak mana spongebob ni?”
“Letak mana pula, peganglah bawa
jalan.”
“Kau bawalah.”
“Buat apa nak bawa, bukan patung aku
pun. Patung kau kan?! So, kaulah yang
bawa. Nah!” Patung spongebob squarepants itu dihulurkan kepada Nasuha.
“Tapi kau yang bawa turun dari bas,
jadi kaulah bawa.”
“Kalau kau tak nak bawa, tinggal
sajalah si spongebob ni dekat sini.” Ujar Hafiz Azhar seraya tunduk ingin
meletakkan patung tersebut di kaki lima deretan kedai di situ. Belum pun sempat
Hafiz Azhar meletakkannya, Nasuha terlebih dahulu bertempik nyaring membuatkan
semua yang berada di sana memandang ke arah mereka.
“Kau ni kan suka sangat cari pasal.”
Ujar Nasuha sambil merampas kasar patung spongebob itu dari tangan Hafiz Azhar
dan terus sahaja berjalan laju ke hadapan. Faezah geleng kepala dengan karenah
dua orang anak buahnya itu.
“Kau ni Hafiz, orang mood baik dah
jadi tak baik.” Ujar Faezah lemah. Kadang-kala dia bersimpati dengan nasib
Nasuha yang sering diusik oleh Hafiz Azhar dan rakan-rakannya tapi kadang-kala
dia merasakan usikan itu perlu untuk membibitkan kemesraan antara mereka apatah
lagi dengan gadis seperti Nasuha.
Setelah beberapa minit melangkah,
akhirnya mereka masuk juga ke dalam sebuah restoran iaitu Restoran Sri Keningau
yang terletak di belakang Bank Simpanan Nasional. Hampir separuh daripada meja
di dalam restoran tersebut digabungkan, khas untuk mereka. Nasuha awal-awal
lagi telah memilih tempat duduknya. Hafiz Azhar yang datang kemudian terus
sahaja duduk di hadapan Nasuha dengan senyuman yang tak lekang dari bibirnya.
Nasuha menjeling sebaik terlihat kelibat Hafiz Azhar.
“Eh lupa.” Hafiz Azhar tepuk dahi seraya
bangkit semula dari kerusinya. Seketika kemudian dia kembali semula bersama
sebuah kerusi dan diletakkan bersebelahan dengan Nasuha.
“Kenapa?” Soal Rashidah hairan
melihat Hafiz Azhar meletakkan kerusi tersebut berhampiran Nasuha.
“Kan orang tu ada baby. Macam budak-budak.” Ujar Hafiz
Azhar sambil memandang Nasuha dengan senyumannya.
‘Betul-betul mangkuklah mamat ni.
Errrrrrr, sabarlah Nasuha, sabar. Ya Allah, geramnya aku. Ya Allah sekiranya
manusia yang ada di hadapan aku ini merupakan hambaMU yang akan merosakkan
segala hati dan jantungku, jauhkanlah dia dari hidupku, hambaMU yang lemah ini.
Amin.’ Doa Nasuha di dalam hati sambil menadah tangan dan meraub wajahnya
setelah selesai berdoa.
“Aik, makanan tak sampai lagi dah
baca doa. Ni lapar ke kebulur ni?” Tegur Hafiz Azhar.
“Hafiz, cukup-cukuplah tu. Sampai
bila kau nak usik Nasuha tu?” Bebel Rashidah yang duduk bersebelahan dengan
Hafiz Azhar.
“Sampai Taubat Nasuha menangis.”
Nasuha mengerling sekilas apabila mendengar bicaranya itu.
‘Huh, sorrylah Hafiz Azhar, dah kau cakap macam tu, confirm aku tak akan menangis.’ Tekad Nasuha di dalam hati.
“Order
makan dik.” Bicara seorang pelayan lelaki yang berusia dalam lingkungan lewat
30-an.
“Ada nasi goreng pattaya?” Soal
Syazwan.
“Ada.”
“Belakang sana pesan apa tadi?” Soal
Syazwan ingin tahu.
“Kumpulan kami semua makan nasi
goreng seafood.” Jawab Ronald wakil bagi kumpulannnya.
“Kumpulan di tengah?”
“Nasi goreng kampung pedas dan yang
lain nasi goreng lalap.”
“Korang
nak order apa?” Soal Syazwan
pula.
“Nasi goreng pattaya.” Jawab Faezah
cepat.
“Yang lain?”
“Bagi sama sajalah semua.” Ujar
Rashidah. Masing-masing mengangguk tanda setuju kecuali Nasuha.
“Bagi 6 pinggan nasi goreng
pattaya.” Beritahu Syazwan kepada pelayan tersebut.
“Erm, 5 nasi goreng pattaya dan 1
nasi kosong.” Beritahu Nasuha pula.
“Eh, kau nak makan nasi campur ke
beb?” Soal Khayla Irdina yang duduk di sebelahnya. Nasuha sekadar menggeleng.
“Lauk?” Soal pelayan itu.
“Tak perlu lauk. Nasi kosong dan sup
saja.”
“Sup daging?ayam?sayur?” Soal lelaki
itu
“Sup kosong sahaja.”
“Hah?!” Lelaki itu menggelengkan
kepalanya beberapa kali. Setelah habis mengambil semua pesanan mereka, cepat
sahaja lelaki itu berlalu.
“Kau kenapa Taubat Nasuha?” Soal
Hafiz Azhar sambil memandang Nasuha.
“Kenapa?” Soal Nasuha semula.
“Makan nasi tak ada lauk. Kau nak
telur goreng?” Soal Hafiz Azhar prihatin. Risau pula jika Nasuha begitu
disebabkan olehnya. Nasuha sekadar menggeleng.
“Tahu takut.” Ujar Rashidah
perlahan. Hafiz Azhar sekadar tersenyum mendengarnya.
“Dari penelitian aku, Taubat Nasuha
ni macam nak demam.” Ujar Hafiz Azhar sambil memandang Nasuha. Cepat sahaja
Khayla Irdina meletakkan belakang tapak tangannya di dahi Nasuha.
“Yalah beb, panasnya.” Ujar Khayla
Irdina.
“Huh, tengok mata dia pun boleh tau
tahap kesihatan dia.”
“Nampak sangatlah kau ni perhati
mata Suha.” Tutur Faezah membuatkan Hafiz Azhar tesenyum nakal. Setelah makanan
dan minuman mereka tiba masing-masing makan tanpa menghiraukan lagi orang di sekeliling
mereka. Hafiz Azhar dan Syazwan mulai rancak berborak setelah nasi goreng
pattaya tersebut selamat masuk ke dalam perut mereka.
“Aku kesian betullah dengan Taubat
Nasuha ni.” Ujar Hafiz Azhar apabila sedari tadi matanya tidak henti memerhati
tingkah Nasuha.
“Apa yang kau nak kesian?” Soal
Khayla Irdina.
“Tu, sekadar makan nasi kosong.
Taubat Nasuha, kau okay tak ni?” Soal Hafiz Azhar.
“Okay. Aku biasalah makan nasi
kosong ni. Kalau tiada sup ni pun aku masih boleh telan lagilah nasi ni.” Ujar Nasuha
memberikan penjelasan.
“Kau janganlah risau duit program
habis. Kau makan saja apa kau nak makan.” Ujar Syazwan.
“Meja hujung yang kecoh, Kak Suha tu
di bilik pun makan macam tu. Kadang makan tanpa sup lagi.” Celah Dickziene yang
sedari tadi sekadar memerhati dan memasang telinga. Hafiz Azhar, Syazwan dan
beberapa yang lain sekadar ternganga mendengar kata-kata Dickziene tadi.
“Makan nasi kosong macam ni?!” Ujar Izar. Dickziene angguk.
“Suha, kau ada borang kosong lagi.
Kalau ada aku nak isi.” Ujar Syazwan nakal.
“Amboi Syazwan laju je nak isi
borang kosong.” Faezah geleng kepala.
“Ni la calon-calon isteri jimat
belanja.”
“Suha, saya masih single lagi.” Ujar Ronald dari jauh.
Nasuha sekadar menggeleng kepala dan tersenyum tawar.
Sebaik sahaja selesai makan malam,
masing-masing berjalan menuju ke tempat yang mereka janjikan sebentar tadi.
Namun bas belum juga kelihatan. Mereka sekadar berdiri di kaki lima kedai
sambil berborak sesama sendiri. Hafiz Azhar dan Syazwan menghampiri Nasuha yang
berdiri lesu di tepi dinding sebuah kedai.
“Kau okay tak ni?” Soal Hafiz Azhar.
Nasuha senyap. Malas ingin melayan dan menjawab pertanyaan lelaki itu. Aznizah
mengangkat jari telunjuknya dan digerak-gerakkannya ke hadapan dan ke belakang
kepada Hafiz Azhar. Lelaki itu angkat kening dan mencebik.
Sebaik bas tiba, masing-masing
melangkah pantas memasuki perut bas tersebut. Hafiz Azhar berhenti dari
meneruskan langkahnya menaiki bas tersebut apabila bertembung dengan Nasuha.
Dia senyum namun tiada tindak balas positif dari gadis itu.
“Taubat Nasuha silakan naik.”
Jemputnya.
“Awas, Nasuha dah marah.” Ujar
Rashidah memberi peringatan kepada Hafiz Azhar namun lelaki itu sekadar
tersengih tanpa sepatah bicara.