“Kenapa angkat sendirian ayam tu.
Cubalah minta tolong dengan lelaki di luar sana.” Sapa Puan Asnah.
“Hmmm.” Cendana berjeda, tidak tahu
apa ayat yang sesuai untuk menjawab sapaan itu. Seketika dia sekadar tersenyum
manis ke arah wanita berusia awal 40-an itu.
“Ibu, kelapa ni letak di mana?” Soal
seorang lelaki yang baru sahaja muncul.
“Letak atas meja tu.” Jawab Puan Asnah.
Lelaki itu meletakkan seraga kelapa yang telah dibelah dua di atas meja yang
dimaksudkan dan terus sahaja berlalu pergi. Puan Atiqah meneruskan langkahnya
untuk masuk ke dalam rumah yang tergendala sebentar tadi apabila melihat
Cendana.
‘Manalah anak dara yang lain ni. Mahu
patah pinggang ni kalau cuci seorang diri. Nasib kaulah Cendana. Kau buat saja
selagi mampu.’ Desis hatinya sambil tangannya lincah melakukan kerja-kerja yang
sepatutnya.
“Eee, penyengat ni, aku sibuk basuh
ayam kau pun sibuk juga nak datang sini. Jangan sengat aku penyegat. Eh, makin
berani pula kau ni.” Tiga ekor penyengat semakin mara kepadanya. Tanpa disedari tangan yang sedang memegang besen
berisi sedikit lemak ayam di hayun ke arah penyegat itu.
“Haaaa!” Lelaki yang berdiri tidak
jauh dari Cendana sedikit tergamam. Bulat matanya memandang Cendana. Manakala
Cendana pula terlopong dengan kejadian yang begitu pantas berlaku. Kemudian dia
ketap bibirnya.
“Sorry.” Ucap Cendana lambat dan
perlahan.
“Kau buat apa ni perempuan. Eeee.”
Lelaki itu merengus kasar sambil tangannya melarikan lemak ayam yang melekat di
bajunya.
“Sorry. Errr, sa…sa...saya tidak
sengaja.” Cendana sedikit gagap melihat reaksi lelaki itu. Dia teguk liur
pahit.
‘Mampus!’ Cendana tunduk sambil
matanya mencuri pandang ke arah lelaki itu.
“Apa yang kau pandang?! Tolonglah
bersihkan baju aku.” Jerkah lelaki itu membuat Cendana sedikit terkejut.
“Ermmm, macam mana nak bersihkan.”
‘Eh gilalah lelaki ni. Ada pula suruh
aku bersihkan baju dia. Kalau ya pun nak suruh aku bersihkan baju dia, bukalah
baju tu boleh juga aku tolong basuh. Ni takkan aku nak ambil lemak-lemak ayam
tu dari dada dia. Eeeee, tak boleh, tak boleh. Bahaya tu, silap pegang nanti,
naya pula.’ Bicara hatinya.
“kau tanya aku macam mana nak
bersihkan?! Kau ambil tangan kau ni, ambil lemak ayam ni dan buang pergi mana
kau suka.” Ujar lelaki itu sambil menarik kasar tangan cendana. Gadis itu
membuntangkan matanya melihat perilaku lelaki itu terhadapnya.
‘Suka-suka hati dia saja nak pegang
tangan aku. Buta hukum atau buat-buat buta hukum ni. Pantang betul aku lelaki
macam ni.’ Desis hatinya seraya menarik kasar tangannya.
“Assalamualaikum bro. Apa hak kau
pegang-pegang tangan aku ni?! Agak-agak sikit ya.”
“Waalaikumussalam. Kenapa? Aku tiada
hak ke nak pegang tangan kau?”
“Memanglah tiada hak melainkan…..”
Cendana diam. Tidak tahu sama ada patut atau tidak meneruskan kata-katanya.
“Melainkan aku ni suami kau kan?”
Tebak lelaki di hadapannya bersahaja. Perlahan-lahan Cendana menganggukkan
kepalanya. Lelaki itu membuka bajunya dan menghulurkannya kepada Cendana yang
sudah pun berpaling ke belakang apabila melihat tingkahnya sebentar tadi.
‘Huh, kalau nak tengok, tengok
sajalah. Tak luak pun badan aku ni kalau kau nak tengok perempuan.’
‘Aishhhhh, lelaki ni suka hati dia
saja buka baju depan aku. Jaga pandangan mata Cendana. Tutup mata kau tu. Nanti
tertengok, pengsan pula.’ Cendana menarik nafas dalam namun dia merasakan ada
sesuatu menghampirinya. Hembusan nafas lembut terasa benar-benar hampir
dengannya. Cendana buka mata perlahan, wajah lelaki itu sememangnya hampir
dengan wajahnya.
“Kau jangan menjerit. Kau jerit aku
cium kau.” Ugut lelaki itu. Cendana teguk liur lagi. Kakinya melangkah setapak
demi setapak ke belakang namun lelaki itu turut mara mengekori langkahnya
sehingga dia tersandar di dinding.
“Kita kahwin.” Ujar lelaki itu sambil
meletakkan kedua-dua tangannya di dinding, mengunci Cendana dari terus
bergerak.
“Kau gila.” Ujar Cendana sedikit terkejut
dengan kata-kata lelaki itu.
“Apa kau cakap? Aku gila? Ya, memang
aku gila, aku gilakan kau. Sekali lagi kau cakap aku gila, aku akan cium kau
sampai kau lemas.”
“Aishhhhh.” Cendana cuba menolak tubuh
tidak berbaju lelaki itu agar menjauhinya.
“Check mate! Kau perempuan pertama yang sentuh kulit badan
aku. Sila bertanggungjawab atas apa yang telah kau lakukan ke atas diri aku.”
“Eeeeeeeeeeeeeeeeeeee.”
“Nah cuci sekali baju aku yang telah
kau kotorkan ni.” Lelaki itu meletakkan baju t-shirt berwarna ungu itu di bahu
Cendana dan terus sahaja berlalu pergi. Cendana tarik nafas lega setelah
kelibat lelaki itu hilang dari pandangan mata.
* * * * *
“Mulai hari ni Azam akan hantar dan ambil
Cendana pulang dari pejabat.” Ujar Pak Tam sebaik sahaja melabuhkan punggung di
kerusi yang terdapat di meja makan.
“Azam?” Cendana kerut dahi.
“Azam anak saudara Mak Tam.” Jawab Pak
Tam sambil menyuakan sudu ke mulutnya.
“Jangan ikut orang lain selain dia.
Kalau dia lambat tunggu saja di pejabat tu. Jangan pandai-pandai ikut bas pula.
Ada apa-apa telefon Pak Tam.” Pesan Pak Tam. Risau pula kejadian yang menimpa
anak saudaranya 2 minggu lalu berulang kembali.
“Baik Pak Tam.” Cendana angguk.
“Ingat pesan Pak Tam tu. Jangan angguk
saja tapi buatnya lain.”
“Iya, Cendana tunggu budak Azam tu.
Pak Tam janganlah risau.” Cendana cuba meyakinkan Pak Tamnya.
Pin! Pin!
“Ha, tu pun Azam.” Ujar Pak Tam seraya
bangkit dan berjalan beriringan dengan Cendana.
“Saya jalan dulu Pak Tam.”
“Baiklah. Azam ingat pesan Pak Tam.”
Ujar Pak Tam cuba mengingatkan Azam tentang amanatnya.
“Ingat Pak Tam. Hai Cendana.” Ujar
Azam ramah membuatkan Cendana terlopong. Azam yang dimaksudkan Pak Tamnya
adalah lelaki yang ditemuinya beberapa hari yang lalu.
“Cendana.” Tegur Pak Tam apabila
melihat anak saudaranya seolah membatu di situ.
“Dia ni ke Azam?” Soal Cendana.
“Ni la Azam. Balik nanti tunggu dia.”
“Cepatlah masuk, lewat dah ni.” Ujar
Azam seraya mengenyit mata nakal ke arah Cendana. Cendana membuka pintu
belakang dan duduk.
‘Amboi, duduk belakang macam mak
datin.’ Azam mencebik.
Cendana tidak senang duduk apabila Azam asyik
memerhatinya dari cermin. Melihat telatah tidak keruan Cendana itu membuatkan
Azam tersenyum geli hati. Cendana melirik sekilas wajah Azam melalui cermin
yang sama. Dia ketap bibir geram.
‘Dia pandang aku ke? Kalau aku marah
dia, nanti dia kata aku perasan pula. Hmmm, cool Cendana.’ Bicara hati Cendana
sambil berpura-pura membuang pandang ke luar tingkap.
“Apa nama penuh kau ya?”
“Kenapa tanya?”
“Saja mahu tahu. Tidak salahkan?”
“Cendana.”
“Cendana saja?!”
“Ya. Ada masalah?” Cendana pandang
Azam melalui cermin.
“Tiada. Senang untuk lafaz masa akad
nikah nanti.” Ujar Azam bersahaja membuatkan Cendana menjuihkan bibirnya ke
hadapan.
“Berapa umur kau?” Soal Cendana
setelah beberapa minit menyepi.
“23 tahun. Kau?”
“Haha tolong hormat aku ya. Panggil
aku kakak.”
“Berapa umur kau?” Azam mengulangi
soalannya.
“Dua puluh enam.”
“Beza 3 tahun saja pun.”
“Tapi tetap tua dari kau kan. Panggil
aku Kakak Cendana.” Usul Cendana sambil mengukir senyum.
“Apa kelas nak panggil kau kakak.”
“Kelas tak kelas. Yang pastinya kau tu
pangkat adik-adik jadi kenalah panggil aku kakak.”
“Tak mau aku panggil kau kakak.”
“Apasal pula?”
“Kalau aku panggil kakak seolah aku ni
mengurangkan kelayakan aku untuk mendekati kau dengan lebih dekat lagi rapat.”
“Eeeeee, sudahlah kau dik. Kau tu muda
lagi tau.”
“Kenapa? Kau ingat lelaki muda tak
layak kahwin dengan perempuan yang lebih tua dari dia ke?”
“Ermmmm, bukan macam tu tapi…” Cendana
hilang kata.
“Kalau bukan macam tu macam mana?!
Umur tu sekadar nombor saja tau. Kalau dah jodoh lelaki muda dengan perempuan
yang lebih tua kira okay apa. Rasulullah pun muda dari Siti Khadijah kan?!
Hujah Azam lantang.
“Hmmmm.” Gumam Cendana, tidak tahu apa
lagi yang perlu dikatakan pada saat itu.
“Contoh macam kita, kalau jodoh aku
dengan kau aku terima saja. Lagi pun setakat tua 3 tahun tu apalah sangat. Dan
lagi satu kau kena ingat tau, kau tu kena bertanggungjawab atas apa yang telah
kau buat pada aku.”
“Hish kau ni cakap tu elok-elok sikit
ya.”
“Eloklah ni. Oooo kalau perempuan kena
sentuh sikit kena cakaplah lelaki ni meraba bagai. Sampai family datang rumah
suruh bertanggungjawab tapi kalau perempuan sentuh lelaki, tak apa-apa pula.
Kau kena ingat ya, kau tu dah pernah sentuh badan aku tau, sampai sekarang ni
aku terbayang-bayang dan terasa lagi macam mana kau sentuh kulit dada aku ni.”
“Tu……erm…. siapa suruh kau cari pasal
dengan aku.” Cendana cuba membela diri.
“Dah tu kau ingat perempuan yang kena
pegang-pegang dan raba sebelum ni mereka tak cari pasal dengan lelaki. Sebab
apa lelaki sentuh mereka?! Sebab mereka dedahkan tubuh mereka, tunjuk lurah
mereka siap jalan mendada lagi. Dan kau pun buat perkara yang sama macam lelaki
lain buat. Apabila aku jalan mendada dan mendekati kau, kau tanpa rasa segan
terus sahaja sentuh aku kan. Tu kira mencabul juga tu. Jangan ingat lelaki
sahaja perlu bertanggungjawab selepas meraba perempuan.” Ujar Azam panjang
lebar.
“Itu….. arghhh, malaslah kakak cakap
dengan kau.”
“Malas cakap, diam-diamlah yang
penting kau jangan lupa bertanggungjawab selepas meraba aku hari tu.”
‘Menyakitkan hati sungguh lelaki ni.’
Desis hati Cendana.
“Eeeeeeeeeeeeeee.” Tiba-tiba jeritan
batinnya terluah di bibirnya.
“Hoi, kau kenapa?! Buat terkejut orang
saja.” Marah Azam yang terkejut mendengar jeritan Cendana.
“Aku geram dengan kau!”
“Hahahaha, kau geram dengan aku?! Aku
taulah aku comel sebab tu kau raba aku hari tu.”
“Tolong sikit ya. Kau bercakap tu
elok-elok sikit. Kalau orang lain dengar, apa orang lain fikir.” Marah Cendana.
“Mereka akan fikir kau perempuan yang
tidak bertanggungjawab setelah meraba seorang teruna suci dan comel macam aku.”
“Arghhhh!.” Cendana merengus kasar.
Geram pula mendengar bait bicara lelaki yang sedang memandu itu.
“Okay sudah sampai.” Ujar Azam seraya
mencari tempat yang sesuai untuk
memberhentikan keretanya.
“Terima kasih.” Ucap Cendana sebaik
turun dari kereta.
“Sama-sama sayang.” Jawab Azam nakal.
“Gatal.”
“Ehemm, sekali diraba, aku akan ingat
sampai bila-bila dan akan setia tau.” Ujar Azam dengan senyuman sengetnya.
Cendena mengerling Azam dan terus sahaja melangkah pantas menuju ke pejabat
milik Pak Tam.
Hari itu apa sahaja yang dilakukan
Cendana seolah tidak kena. Dia ketap bibir geram. Dia menyandar di kerusinya
dan memejam mata cuba menghilangkan kekusutan dan sakit hati yang melanda diri
sejak bertemu lelaki bernama Azam itu. Wajah Azam yang tersenyum senget sewaktu
menghantarnya tadi bermain-main di matanya.
“Aku ni dah kenapa? Kenapa asyik fikir
dia saja? Aduiiiiiiii tolonglah otak, tolonglah hati. Tolong bekerjasama dengan
tuan kamu ni.” Gumamnya perlahan sambil memicit kepala yang sedikit pening.
“Kau dah kenapa makcik? Dari tadi aku
tengok membebel sorang-sorang?” Sapa
Zaki seraya duduk di kerusi bertentangan Cendana
“Aku mengalami gangguan emosi di awal
pagi.”
“Kenapa?”
“Driver Pak Tam tu lah, sakit hati aku
dengan dia. Dahlah muda dari aku, boleh pula dia beraku-berkau saja dengan aku.
Aku suruh dia panggil aku kakak dia tak nak.”
“Dia tak nak panggil kau kakak?! Tu
tandanya dia nak usha kau la tu.” Ujar Zaki mengutarakan pendapatnya.
“Eeee ada pula. Aku ni pangkat kakak
tau. Dia tu pangkat adik-adik aku.”
“Tapi nak usha seseorang tiada
syaratkan? Sama ada dia tua atau muda tetap boleh usha, janji berkenan di hati.
Lagi pun ramai juga lelaki yang dapat jodoh perempuan yang lebih tua dan
ternyata kebahagian itu bukan terletak pada jarak usia pasangan tetapi
bagaimana cara pasangan tersebut mengendalikan rumah tangga yang mereka bina.”
‘Aik budak ni tetiba pula cakap pasal
rumah tangga. Aku cakap pasal panggilan kakak saja kut.’
“Ki, ceramah rumah tangga nampak.”
Ujar Cendana sambil mengherotkan bibirnya.
“Sekali-sekala ceramah rumah tangga
itu perlu. Lebih-lebih kau yang aku macam dah nampak sikit aura nak menamatkan
zaman bujang tu.”
“Aishhhhh, celah mana pula aku nak
tamatkan zaman bujang aku tu. Kau pun tahu kan aku ni tak fikir lagi semua tu.”
“Oiiii makcik, orang lain umur baya
kau anak dah berderet 6,7 orang tau. Hmmmm, kau jangan pula sampai ovum dan
hormon kau tak berfungsi baru terhegeh-hegeh nak kahwin.”
“Kau ni Zaki, mulut tu, haishhhhhh.”
“Dah tu asyik tak fikir lagi nak
kahwin, tak fikir lagi nak kahwin. Kau nak tunggu sampai bila baru nak fikir
pasal kahwin? Tunggu putera kayangan melamar kau?”
“Sudahlah. Malas aku nak layan kau.”
“Okay. Selamat berfikir tentang rumah
tangga. Selamat berbahagia bersama lelaki muda. Hahaha, kau tak nak suami muda
kan kau tengok nanti Allah bagi kau lelaki muda dari kau. Entah-entah driver
tu.”
“Eeee kau ni mulut. Dah aku gerak
dulu. Baik sembahyang dari layan kau.”
“Alhamdulillah. Berdoalah moga
dipercepatkan jodoh.” Ujar Zaki separuh menjerit kerana Cendana telah pun
melangkah beberapa tapak meninggalkannya.
* * * * *
Hampir 2 bulan lelaki bernama Azam itu
setia mengambilnya di rumah Pak Tam dan menghantarnya ke pejabat dan begitu
juga waktu pulang dari pejabat. Dan setiap kali bersua lelaki itu juga mereka
sering sahaja berbahas. Ada sahaja yang tak kena dek mata dan fikiran
masing-masing.
Hari itu hari
sabtu tetapi Cendana perlu juga turun ke pejabat untuk membayar gaji para
pekerja binaan secara tunai seperti yang diamanatkan oleh pak Tam. Hatinya
merasakan sesuatu yang tidak enak sedari semalam namun diabaikan sahaja rasa
yang berkelana di hatinya. Apatah lagi demamnya kian bertambah kerana tidak
mempunyai rehat yang cukup sejak Pak Tamnya pergi ke Jakarta untuk menguruskan
hal perniagaannya di sana.
“Tengah hari nanti aku datang ambil
kau.”
“Okay.”
“Jangan pergi mana-mana pula. Kau tu
sudahlah demam.” Ujar Azam cuba mengingatkan Cendana.
“Ya dik. Akak tunggu di sini. Kalau
lambat tunggu akak tau.” Ujar Cendana yang masih lagi membahasakan dirinya
sebagai kakak.
“Aku tunggu kau tempat biasa.” Ujar
Azam sebelum memecut laju keretanya meninggalkan perkarangan pejabat itu.
“Kau..kau..kau. Susah sangatkah nak
panggil aku kakak. Bikin panas pula budak ni.” Bebel Cendana.
Selesai sahaja tugas-tugas membayar
gaji pekerja binaan itu, cepat sahaja Cendana mengemas barang-barangnya. Niat
di hati hendak pergi ke kedai runcit yang terdapat di bahagian belakang
bangunan itu. Niat di hati ingin membeli tuala wanita yang sangat-sangat
diperlukannya sekarang dan juga bahan-bahan untuk membuat kek chocolate moist
yang diidamkannya. Sejak dia demam, anak
tekaknya teringin benar makan kek chocolate moist yang dibuatnya sendiri namun
dia masih belum punya masa yang sesuai untuk membuatnya.
Setelah
memastikan semua suis dimatikan dia melangkah keluar dan mengunci pintu pejabat
itu. Dia membuat pemeriksaan sekali lagi untuk memastikan pintu pejabat itu
benar-benar telah terkunci. Setelah berpuas hati cepat sahaja dia melangkah
menuruni anak tangga yang tedapat di sana.
Gedebuk!
“Adoiiiiii.” Cendana memegang
kepalanya yang sedikit pening. Dia
seperti bermimpi. Rasanya baru sahaja dia melangkah 3 anak tangga tapi
sekelip mata sahaja dia sudah pun berada di anak tangga terakhir. Dia cuba
menggerakkan kakinya namun dia merasa ngilu dan sakit. Hendak meminta tolong
dia tidak tahu pada siapa. Tambahan pula hari Sabtu begitu memang jarang orang
lalu di kawasan pejabat mereka yang agak terpencil itu. Tanpa rasa putus asa
dia tetap juga mencuba untuk berdiri namun tidak berjaya. Denyutan di kakinya
itu membuatkan air mata yang bertakung sedari tadi mengalir jua membasahi pipi.
Cendana merasa ada satu getaran di
dalam tas tangannya. Perlahan-lahan dia mencapai tas tangan yang berada tidak
jauh darinya. Baru dia perasan bahawa tangan kanannya juga terseliuh. Belum
sempat dia menjawab panggilan itu, ia telah dimatikan oleh si pemanggil dan
tidak lama kemudian ia bergetar semula menandakan terdapat panggilan masuk.
Nama Azam tertera di skrin telefon.
“Oi makcik berpuluh kali aku telefon
kau, baru nak jawab. Aku di bawah ni, cepat turun.”
“Sorry, tolong jumpa aku di tangga
pejabat.”
“Kau menangis? Kau kenapa?!” Soal Azam
tidak keruan mendengar suara Cendana di hujung talian.
Segera
dia membuka pintu kereta dan berlari ke arah tangga untuk naik ke pejabat
Cendana. Risau juga jika sesuatu yang buruk menimpa Cendana. Sudahlah Pak Tam
sekeluarga berada di luar negara. Dia terkesima sebaik melihat Cendana yang
duduk di tangga pejabat dengan tudung yang sedikit senget dan kotor.
“Astaghfirullah al’azim.” Azam
beristighfar panjang melihat keadaan Cendana ketika itu.
“Kau parking di mana?” Soal Cendana.
“Tempat biasa. Kau jatuh?”
“Ha’a.”
“Jatuh dari mana?”
“Jatuh dari ataslah. Ada ke orang
jatuh dari bawah?!” Ujar Cendana geram namun ada lelucon pada bait bicara itu.
“Memanglah dari atas tapi atas mana?”
Soal Azam juga geram apabila mendengar jawapan loyar buruk Cendana itu.
“Tangga ketiga dari atas.”
“Sampai bawah ni?” Soal Azam terkejut.
Cendana
sekadar mengangguk lemah. Azam teguk liur pahit. Dia pandang ke atas, melihat
keadaan tangga yang curam dan tinggi itu. Hati kecilnya mengucapkan syukur
kerana jika dilihat dari keadaan tangga itu, dia merasakan sesiapa yang jatuh
di sana pasti tidak akan sedarkan diri atau paling tidak pun koma minimum
selama 3 hari.
“Boleh
jalan?” Soal Azam.
“Try.”
Jawab Cendana dengan semangat yang cekal. Biar pun dia tahu kakinya itu tidak
dapat bergerak.
“Aku
angkat kau.” Usul Azam sambil mencapai tas tangan Cendana.
“Eeeee.”
“Apa yang
eeeee?” Buntang mata Azam memandangnya.
“Takkan
kau nak angkat aku, malulah.”
“Dah tu
kau nak suruh aku buat apa? Pergi hospital ambil kerusi roda untuk kau? Atau
kau nak bermalam di sini?”
“Ermmmm.”
Cendana hilang kata.
“Kalau
kau tak nak aku angkat kau, kau jalanlah sendiri.” Ujar Azam seraya menapak 5
langkah meninggalkan Cendana.
“Azam!”
Jerit Cendana. Azam tersenyum nakal apabila Cendana memanggilnya.
“Ada
apa?” Soa Azam dengan wajah serius.
“Tolonglah.”
Ujarnya perlahan. Azam menapak semula menghampiri Cendana. Perlahan-lahan dia
tunduk dan terus sahaja mencempung tubuh gadis itu. Cendana tutup muka dengan
tangan kirinya manakala Azam yang perasan akan tingkah gadis itu hanya
tersenyum geli hati.
‘Ya Allah
ampunkan segala dosa hamba-MU yang lemah ini.’ Pinta Azam di dalam hati.
“Kita pergi hospital.” Ujar Azam
sebaik duduk di tempat pemandu. Cepat sahaja Cendana menggeleng kepalanya.
“Erm, sebenarnya kakak nak beli barang
di kedai runcit belakang ni tapi tidak kesampaian. Boleh kita pergi sana
sekejap.” Pinta Cendana.
“Aku malas nak masuk jalan belakang
tu. Kau nak beli apa? Kau cakap saja, aku tolong belikan.” Ujar Azam.
“Erm.” Cendana menggaru kepala yang
masih lagi lengkap bertudung.
“Kenapa buat muka macam tu?” Soal
Azam.
“Err, mahu beli barang keperluan
wanita sebenarnya.” Ujar Cendana lambat dan perlahan. Segan pula ingin meminta
lelaki itu membelikan untuknya.
“Apa? Pad? Jenama apa?” Soal Azam
bersahaja.
‘Cakap atau tidak. Cakap atau tidak.
Huhu lelaki ni nampak sangat selalu mendera hati wanita aku.’
“Hoi, cepatlah. Lagi lambat kaki kau
tu dirawat lagi teruk tau. Aku okay saja. Tapi kalau urat kaki kau tu sampai
bengkak, memang…” Sengaja Azam meleretkan bicaranya sambil menggeleng-gelengkan
kepalanya.
“Erm, kotex, overnight. Erm, lepas tu
tolong beli bahan-bahan dalam senarai ni. Boleh?” Cendana menyerahkan kertas
kecil kepada Azam.
“Okay. Jangan lupa kunci pintu.” Pesan
Azam.
“Duit.” Cendana menghulurkan not RM50
kepada Azam namun hanya disambut dengan senyuman senget lelaki itu sebelum
lelaki itu meninggalkan Cendana di dalam kereta itu sendirian.
‘Berpuluh kali dah malu dengan budak
ni. Aduiiii, kaki ni pun satu hal. Kalaulah kau boleh jalan tadi, tidaklah aku
malu dengan dia. Tengok tak pasal-pasal dah ada adegan angkat-angkat. Malunya.
Kalau dia jadi suami aku, okaylah tapi kalau bukan dia, huissshh ruginya suami
aku nanti. Tapi takkan kut aku nak kahwin dengan budak Azam ni. Ishhh, apa aku
fikir ni.’ Bicara Cendana sendirian sambil tangan kirinya memegang tangan
kanannya yang terseliuh itu.
* * * *
“Kenapa ni Azam?” Ujar Puan Asnah
sedikit terkejut melihat Azam mencempung tubuh Cendana, anak sauadara iparnya.
“Cendana ni main kejar-kejar dengan
kucing di pejabat tadi. Tu yang sampai jatuh tangga. Tergolek dari tangga atas
terus ke tangga paling bawah.” Ujar Azam bersahaja.
“Main kejar-kejar dengan kucing?”
“Mana ada makcik. Saya pening sikit
saja tadi tapi tak sangka pula boleh jatuh sampai macam tu sekali.” Terang
Cendana.
“Pening. Bahaya tu. Kenapa turun pergi
kerja juga? Ni dah bawa pergi hospital?” Soal Puan Asnah sedikit resah bersulam
simpati.
“Hari ni kena bayar gaji pekerja
binaan tu makcik. Amanat Pak Tam. Gaji mereka tu kan lain sikit, tidak sama
dengan pekerja lain.”
“Soal hospital kau tak jawab lagi.”
Celah Azam dengan senyuman sengetnya. Cendana mengerling lelaki itu. Dia ketap
bibir geram.
“Saya tak mahu pergi hospital.”
Beritahu Cendana lemah. Melihat senyuman senget Azam itu dia tahu pasti Azam
sedang mentertawakan dirinya yang menangis ketika tiba di hospital tadi.
“Dah sampai hospital pun tadi tapi
orang tu belum masuk lagi dah menangis sakan tak mau masuk jadi paksalah balik
macam tu saja. Cakap biar detail sikit. Nanti orang lain ingat aku ni pula tak
pandai jaga bakal isteri.” Ujar Azam lagi membuatkan Cendana membuntangkan matanya.
“Azam, merah muka Cendana tu. Cuba
jangan sakat orang sedang sakit ni.” Tegur Puan Asnah.
“Hahaha, muka macam udang kena bakar.
Azam letak minyak ibu di sini. Selamat berurut Cendana sayang. Abang keluar
dulu. Selamat menjerit-jerit.” Ujar Azam nakal seraya keluar meninggalkan
Cendana dan ibunya di ruang tamu itu.
“Azam memang macam tu nakal sikit tapi
dia memang serius sukakan Cendana. Harap Cendana tidak kecewakan dia.” Luah
Puan Asnah jujur membuatkan Cendana kelu tidak terkata.
‘Nasib baik kaki ni sakit kalau tak
pasti aku dah lari keliling satu Malaysia. Malu, malu, malu. Tak tau nak sorok
muka di mana. Huhuhuhu.’
Sepanjang proses mengurut entah berapa
ratus kali Cendana menjerit kesakitan. Urat-uratnya yang bersimpul dan mulai
membengkak itu begitu sakit apabila diurut sehingga dia merasakan ingin
menendang wanita di hadapannya itu.
“Sudah Cendana. Nanti kita sambung
urut lagi. Tak tahan makcik dengar kamu menjerit-jerit ni.” Ujar Puan Asnah
dengan segaris senyuman.
“Sakit sangat.” Luah Cendana sambil
mengesat air matanya.
“Memanglah sakit tambah pula urat-urat
tu dah membengkak.” Beritahu Puan Asnah dan Cendana sekadar mengangguk faham.
“Ibu okay?” Soal Azam yang baru sahaja
muncul dari ruangan dapur.
“Okay. Cendana ni yang tak okay.”
“Kalau dengar suara jeritan yang
nyaring lagi membingitkan telinga tu memang nampak sangat tak okay. Nah, air
untuk kau.” Azam serahkan segelas air suam kepada Cendana.
“Air saja?”
“Sepatutnya bagi kau air masa first
time jumpa kau jatuh tu tapi aku lupa. Ni baru ingat.” Ujar Azam seraya duduk
di sofa dan mencapai alat kawalan jauh ASTRO.
Azam mengerling Cendana yang masih
lagi duduk di lantai bersama ibunya. Puan Asnah bangkit dan berlalu ke dapur.
Azam mengetuk-ngetuk meja di hadapannya. Cuba mencari kekuatan dan ayat yang sesuai
untuk berbicara dengan gadis di hadapannya.
“Nah.” Azam menghulurkan sesuatu
kepada Cendana.
“Apa ni?”
“Cincin. Aku melamar kau jadi isteri
aku.”
“Errrr.”
“Aku harap kau setuju sebab kau harus
bertanggungjawab lepas meraba aku hari tu dan aku nak bertanggungjawab lepas
aku dah angkat kau tadi.”
‘Suka hati dia saja kata aku ni meraba
dia. Tolong sikit!’
“Erm aku…..”
“Kau tak payahlah nak fikir sangat
jarak umur kita tu. Umur tu sekadar angka saja okay. Aku dah solat istikharah
dan dah 4kali aku dapat petunjuk yang sama. Aku harap lepas ni kau pun buat
solat istikharah. Dan jika aku adalah orangnya, bagilah keputusan secepat
mungkin.” Ujar Azam serius dan terus sahaja berlalu meninggalkannya
terpinga-pinga di ruang tamu rumah itu.
* * * * *
Pin! Pin!
“Azam dah sampai.” Ujar Pak Tam.
“Pak Tam saya jalan dulu.” Cendana
meminta diri seraya bersalam dengan Pak Tam. Azam yang baru sahaja balik dari
menghantar adik-adiknya ke sekolah hanya tersenyum melihat Cendana.
“Oi, duduk mana tu?” Tegur Azam
apabila melihat Cendana ingin membuka pintu kereta di bahagian belakang.
“Lupa.” Cendana sengih.
“Masa bujang lain ceritalah. Sekarang
dah kahwin wajib duduk di sisi.” Ujar Azam dengan senyuman di bibir. Cendana
sekadar mencebik dan beralih ke pintu di sebelah pemandu.
“Baik-baik jalan tu. Pak Tam tak risau
dah sebab kamu bertanggungjawab penuh ke atas isteri kamu sekarang.” Ujar Pak
Tam sambil menepuk bahu Azam.
“Terima kasih Pak Tam.” Ujar Azam
sambil meneruskan pemanduannya.
“Bang.” Seru Cendana.
“Ya Kak.” Jawab Azam sambil mengerling
sekilas wajah isterinya itu.
“Eeee dulu orang suruh panggil kakak
tidak mau. Sekarang baru nak panggil kakak.”
“Gurau sajalah. Kenapa sayang?”
“Erm, malam nanti kita makan seafood. Teringinlah. Boleh?” Cendana sudah memegang
lehernya.
“Boleh. Untuk sayang dan baby dalam ni
mestilah boleh asalkan permintaan tu tidak melampaui batas dan abang mampu
tunaikannya.” Ujar Azam sambil tangan kirinya memegang perut isterinya.
“Lagi satu….” Cendana berjeda lama.
“Apa?”
“Abang kerja di pejabat abang tu
jangan nakal-nakal tau. Ingat abang dah ada saya dan baby.”
“Hahahaha, luculah sayang ni. Mestilah
abang ingat. Sayang jangan risau okay, nanti baby pun risau sama. Abang nak
sayang tahu dalam hidup abang, abang hanya ada seorang isteri sahaja iaitu
sayang.”
Azam memakir keretanya. Cepat sahaja
dia menyaingi langkah dan menggenggam erat tangan isterinya. Menapak tangga
demi tangga sehingga tiba di pintu pejabat. Zaki berdehem melihat pasangan itu
masuk di kawasan pejabat.
“Ehem, amboi bukan main lagi korang
ni. Pergi pejabat dihantar sampai dalam pejabat, balik nanti diambil depan
pintu pejabat. Kalah anak raja tau.” Perli Zaki.
“Nak pastikan dia selamat saja Ki.”
Balas Azam. Gerun pula bila diingat kembali peristiwa Cendana jatuh tangga
tidak lama dahulu.
“Bertuahlah badan kau Cendana. Itulah
aku kata, kebahagian itu bukan terletak pada jarak usia pasangan tetapi
bagaimana cara pasangan tersebut mengendalikan rumah tangga yang mereka bina.”
Ujar Zaki sambil mengerdipkan matanya beberapa kali.
“Aku setuju sangat dengan kata-kata
kau tu Ki.” Ujar Azam dengan senyuman meleret.
“Sukalah tu.” Cendana mencubit manja
lengan suaminya.
“Memanglah. Okay abang gerak dulu.
Balik nanti tunggu sini sampai abang datang tau.” Pesan Azam.
“Baiklah.” Cendana salam dan cium
tangan suaminya. Seketika kemudian kelihatan Azam mengucup perlahan dahi
isterinya sebelum berlalu pergi.
“Aduhhhhhh, awal pagi lagi kau orang
dah bikin drama dekat sini ya. Apa pun aku doakan semoga kau sentiasa bahagia hingga
ke syurga bersama adik a.k.a suami kau. Aaaamiin” Doa Zaki seraya meraup
wajahnya.
“Aaamiin Ya Rabb.” Cendana juga turut
meraup wajahnya setelah mengaminkan doa Zaki sebentar tadi.
Hasil
Nukilan,
Cuadiey
Cuadiey
20 Nov 2013
2.38 petang
(Cuaca: Hujan mencurah-curah membasahi bumi)
ooo, how sweet...sweet sangat kak.. melting...hahaha akhirnya jatuh cinta pada azam.muehehehhehe
BalasPadamHahaha...tak pasal2 kena cop meraba lelaki..haha
BalasPadamfuyoooooo azam getekkk mcm perangai HA :P hmpr termelting lah hahaha :P sambung lg plisssssss mama <3
BalasPadamDian x sambungan..just cerpen pendek..Hehe
BalasPadam