BAB 22
Nasuha,
Rashidah dan Khayla Irdina duduk di perhentian bas kolej kediaman Cemerlang
Dinamik. Nasuha ketap bibir setelah melirik jam di pergelangan tangannya. Dia
garu kepala yang dibaluti tudung itu. Khayla Irdina mengerling riak rakannya
itu dan kemudian memandang Rashidah yang langsung tidak menunjukkan sebarang
reaksi.
“Aku
rasa luculah.” Ujar Rashidah tiba-tiba.
“Apa
yang lucu tu Ida.” Soal Nasuha sambil mengangkat kening dua kali.
“Lucu
sebab kau dari awal semester hari tu mengelak dari satu kumpulan, satu program
dengan Hafiz. Tup-tup dah nak hujung semester menyertai program di bawah dia
pula. Lucukan?!”
“Kalau
aku tau program ni di bawah dia aku tidak akan ikut tau. Nasib saja dah sahkan
dengan setiausaha tu yang kita akan ikut serta pergi lawatan ni kalau belum
sahkan memang aku akan tarik diri.” Tukas Nasuha.
“Kalau
dah jodoh tu memang macam tu Nasuha oiiii. Kau kena akui tu semua.”
“Eeeee,
tolonglah. Geli OK.”
“Geli
konon.” Rashidah tersenyum sinis melihat reaksi rakannya itu.
“Jomlah
kita jalan kaki. Kalau tunggu bas memang kita lambatlah.” Usul Nasuha.
“Bagi saja alasan tiada bas.” Ujar
Khayla Irdina bersahaja.
“Tapi semalam kakak tu cakap
berkumpul jam 7 pagi dan bila-bila masa boleh bertolak. Nanti kita kena
tinggal” Ujar Rashidah.
“Jomlah kita jalan kaki. Aku rasa
tak best pula kalau kita sampai lewat
di sana.” Ujar Nasuha resah.
“Alaaaa, kau telefonlah Hafiz.
Beritahu dia yang sekarang tiada bas.” Ujar Khayla Irdina.
“Eee, kau ni sikit-sikit suruh
telefon Hafiz Azhar tu. Malaslah aku. Jomlah kita jalan kaki.”
“Jomlah tapi jalan shortcut.” Ujar Khayla Irdina menyatakan
persetujuannya.
“Shortcut?!”
Soal Nasuha dan Rashidah serentak.
“Lalu jalan Canselori dan belakang
DKP tu. Lepas tu kita ikut tangga D’Bayu untuk pergi SPE. Macam?” Khayla Irdina
meminta persetujuan.
“OK.”
“Jom.” Ketiga-tiga gadis itu menapak
laju meninggalkan perhentian bas kolej kediaman itu dan bertekad untuk tiba di
Sekolah Perniagaan Dan Ekonomi sebelum jam 7 pagi.
Hafiz
Azhar sibuk memunggah barang-barang untuk di bawa bersama ke Rumah Warga Tua
Sri Pritchard, Kinarut yang terletak di daerah Papar. Setelah selesai dia
segera duduk di kerusi kosong bersebelahan dengan Izar dan Lea. Dia tergelak
mendengar cerita Lea yang menggertak para peserta rombongan agar tiba di sana
tepat jam 7 pagi. Sedangkan mereka sedia maklum bas UMS hanya beroperasi jam
7.30 pagi pada hari Sabtu dan Ahad.
“Hafiz!
Hafiz!” Jia Hui menjerit-jerit memanggil namanya. Kelihatan gadis berbadan
gempal itu berlari-lari mendapatkannya.
“Kenapa ni Jia Hui?” Soal Hafiz
Azhar sedikit panik dengan keadaan Jia Hui yang tercungap-cungap itu.
“Itu…..saya nampak you punya anak buah jalan kaki ikut
belakang itu Dewan Kuliah Perdana.”
“Bila? Siapa?” Soal Hafiz Azhar
lagi.
“Baru sekejap tadi saya nampak. Tapi
kereta saya penuh dengan peralatan teknikal jadi tidak boleh bawa mereka. Itu
jalan sana sangat bahayakan, sunyi. Kita tidak tau kalau ada orang tidak bagus
mahu mengapa-apakan mereka.”
“Kenal tak siapa?” Soal Hafiz Azhar
pantas.
“Tengok muka saya kenal tapi nama
mereka saya tidak ingat. Ada tiga orang. Err, itu satu orang you selalu sebut itu..hmmm, Taubat.” Adu
Jia Hui.
Hafiz Azhar menarik nafas dalam.
Meninggalkan Jia Hui menghilangkan lelah akibat berlari sebentar tadi. Lima
belas minit kemudian kelihatan Nasuha berjalan beriringan dengan 2 orang lagi
rakannya iaitu Khayla Irdina dan Rashidah sambil rancak bercerita.
“Taubat Nasuha! Kau apasal? Ada aku
suruh kau jalan kaki pergi sini? Jalan yang kau lalu tu bahaya. Jalan tu sunyi.
Kalau ada apa-apa berlaku dengan kau macam mana?!” Jerkah Hafiz Azhar sebaik
sahaja Nasuha benar-benar berada di hadapan matanya. Nasuha, Khayla Irdina dan
Rashidah terkedu mendengar jerkahan Hafiz Azhar itu
“Aku bukan jalan satu orang. Lagi
pun hari dah siang.” Jawab Nasuha cuba mengawal emosi dan suaranya.
“Menjawab lagikan?! Aku cakap bahaya
tu bahayalah. Kalau ada apa-apa berlaku dengan kau macam mana?! Jangan berlagak
beranilah.”
Nasuha
terkesima. Tidak menyangka bakal diherdik sebegitu oleh Hafiz Azhar di hadapan
rakan-rakannya yang lain. Malu dan kesal dengan tindakan Hafiz Azhar terhadap
dirinya ketika itu tidak dapat digambarkan. Malu kerana dimarahi dikhalayak
ramai dan kesal kerana Hafiz Azhar meletakkan kesalahan itu di bahunya sahaja
tanpa melibatkan 2 orang lagi rakannya yang terlibat secara langsung. Namun dia
hanya mampu mendiamkan diri tanpa sebutir penjelasan untuk membela dirinya.
Perasaan benci yang dahulunya hanya sekelumit kini kian merebak dan menggunung
terhadap lelaki itu.
“Kau
okay?” Soal Rashidah teragak-agak.
“Hmmm.
Aku pergi tandas dulu.” Ujar Nasuha seraya berlalu pergi. Cepat sahaja Khayla
Irdina mendekati Rashidah apabila Nasuha berlalu meninggalkan mereka.
“
Nasuha menangiskah?”
“Tengok
tadi belum lagi menangis tapi macam mahu menangislah.”
“Hafiz
pun satu, awal pagi lagi dah tengking Nasuha. Kalau aku pun jadi Nasuha, aku
malu kut. Ramai pula senior tengok tadi. Dah tu yang aku pelik tu dia marah
Nasuha sajakan tapi dia tidak marah kita.” Bebel Khayla Irdina
“Buat
apa dia marah kita. Kita ni bukan penting pun bagi dia.” Ujar Rashidah
bersahaja.
“Jadi
Nasuha tu pentinglah?” Khayla Irdina kerling Rashidah di sebelahnya.
“Kau
ni Khayla cubalah buka mata sikit. Tengok cara si Hafiz tu layan Nasuha pun
boleh tau kan.”
“Biasa
saja aku tengok.” Jawab Khayla Irdina acuh tak acuh.
“Erm,
suka hati kaulah.” Malas benar Rashidah berbicara dengan Khayla Irdina yang
dirasakan mempunyai sedikit perasaan cemburu terhadap rakannya sendiri.
“Taubat
Nasuha mana?” Soal Hafiz Azhar yang baru sahaja muncul di hadapan mereka.
“Tandas.”
Jawab Khayla Irdina cepat.
“Kejap
lagi boleh naik bas tapi sebelum tu boleh ambil sarapan kamu di foyer.” Ujar Hafiz Azhar.
“Erm,
Hafiz.” Seru Khayla Irdina.
“Ada
apa?” Soal Hafiz Azhar mendatar.
“Kau
tidak marah kami kan?! Nasuha tu yang takut datang sini lewat, tu yang dia ajak
kami berdua jalan kaki pergi sini. Penat tau. Sakit kaki ni.” Adu Khayla
Irdina.
“Padan
muka. Siapa suruh jalan kaki.” Jawab Hafiz Azhar separuh mengejek.
“Nasuhalah
yang suruh.” Khayla Irdina buat muncung itiknya.
“Kalau
ya pun nak marah tak payahlah tengking sampai macam tu sekali. Kesian Suha.”
Ujar Rashidah perlahan. Hafiz Azhar pandang sekilas wajah Rashidah dan terus
sahaja berlalu pergi.
“Ishhhh,
kau ni ada pula cakap macam tu dengan Hafiz. Memang patut pun dia marahkan.
Kalau jadi apa-apa dengan kita macam mana. Siapa yang perlu bertanggungjawab?!
Dia jugakan.” Bela Khayla Irdina.
“Diamlah
kau makcik. Membebel saja.” Getus Rashidah geram seraya meninggalkan Khayla
Irdina di situ sendiri.
“Kalau
aku makcik, kau tu nenek.” Gumam Khayla Irdina.
RUMAH WARGA TUA SRI PRITCHARD
KINARUT
Wanita
berusia dalam lingkungan awal 70-an itu menggamit Nasuha agar menghampirinya.
Nasuha yang sedikit terkejut melangkah perlahan menghampiri wanita yang sedang
duduk di katil bujang itu. Nasuha senyum melihat wanita itu walau pun hatinya
menangis melihat dan mendengar wajah tua itu bercerita serba sedikit tentang
dirinya.
“Marilah duduk sini. Muka dia sama
macam muka cucu nenek yang nenek jaga dulu. Mungkin dia pun sudah besar dan
cantik macam ni juga.” Ujar wanita bernama Mariam sementara Nasuha melabuhkan
punggung di katilnya.
“Lama sudah nenek duduk sini?” Soal
Natrah lembut.
“Dekat 10 tahun sudah. Dulu nenek
duduk dengan anak tunggal nenek. Safwan namanya. Anak nenek tu baik tapi bini
dia tu tidak suka nenek. Semua perkara dia saja yang betul, dia saja mahu
menang. Mula-mula tu Safwan masih bela nenek biar pun bini dia tu marah dan
suka salahkan nenek tapi akhirnya Safwan terpaksa beralah juga. Mereka hantar nenek
di sini.”
“Oooooo.” Masing-masing tekun dan
mengangguk faham akan cerita Nenek Mariam itu.
“Mereka ada lawat nenek di sini?”
Soal Lea pula.
“Ada. Tapi itu dulu. Masa mula-mula
mereka hantar nenek di sini.Tiga bulan sahaja mereka datang melawat nenek lepas
tu sampai sekarang mereka tiada datang lagi. Entah masih hidup atau sudah mati
mereka tu. Yang melawat dulu tu pun cuma Safwan dan anaknya si Umairah tu saja
yang datang. Kalau bini si Safwan jangan cakap batang hidung bayang dia pun
tidak pernah nampak. Benci benar dia dengan nenek ni.” Luah Nenek Mariam sedih
namun dia masih menguntum senyum di bibirnya.
“Kenapa menantu nenek layan nenek
macam tu?” Soal Natrah ingin tahu.
“Sebab
nenek tegur dia. Sakit mata nenek ni tengok dia berkemban sambil jemur kain di
ampaian. Rumah pula tepi jalan besar jadi kurang manis pula kalau orang lain
nampak. Lagi pun kenalah jaga kehormatan suamikan. Sebab tu dia marah sangat
dengan nenek. Katanya nenek ni menyibuk urusan rumah tangga mereka dan tidak
tahu diuntung. Banyak kali juga nenek minta maaf dengan bini si Safwan tu tapi
darah muda ni memang susah nak surut barannya.”
“Kan bagus nenek tegur macam tu.
Untuk kebaikkan dia juga.” Ujar Adam yang sedari tadi tekun mendengar cerita
Nenek Mariam itu.
“Kamu bilang bagus tapi bagi dia
tidak. Manusia ni macam-macam jeniskan? Ada yang boleh ditegur, ada yang
langsung tidak boleh ditegur, tidak boleh dinasihatkan, tidak mahu dengar
pendapat orang lain. Macam-macam.” Nenek Mariam geleng kepala sambil menggosok
lembut tangan Nasuha
“Siapa nama?” Soal Nenek Mariam
setelah puas bercerita tentang kisah hidupnya.
“Nasuha.”
“Sedap nama tu.”
“Terima kasih nek.” Jawab Nasuha
manja sambil cuba menahan air matanya.
“Mama sama bapa masih ada?” Tanya
Nenek Mariam.
“Ada nek.”
“Jaga mama sama bapa tu betul-betul.
Jangan kasi abai mereka macam mana anak dan menantu nenek kasi abai nenek.
Kirim salam sama mereka nanti ya cakap nenek di rumah warga tua kirim salam.”
Ujar Nenek Mariam ramah membuatkan air matanya menitis jua. Cepat sahaja Nasuha
menyeka air mata itu. Dia tidak mahu Nenek Mariam melihat air matanya itu.
“Ermmmm.” Hanya itu sahaja yang
mampu terluah di mulut Nasuha. Hatinya sebak melihat tingkah nenek itu.
“Jangan nangis. Nenek tidak apa-apa.
Nenek sudah biasa hidup begini.” Ujar Nenek Mariam sambil mengusap lembut
belakang Nasuha.
“Control Suha.” Ujar Izar dari pintu
bilik tersebut. Nasuha ketap bibir.
“Nek, Suha ada kerja di luar
sekejap. Nanti Suha datang semula di sini ya.” Ucap Nasuha meminta diri. Dia
capai tangan kanan Nenek Mariam, disalam dan dicium seraya itu satu kucupan
hangat hinggap di dahi dan pipi wanita tua itu. Cepat sahaja Nasuha melangkah
keluar dari bilik itu tanpa sempat Nenek Mariam berkata apa-apa.
“Control, control.” Ujar Izar lagi
sebaik Nasuha melewatinya. Nasuha tidak mempedulikan kata-kata Izar itu
sebaliknya terus sahaja berlalu mencari tandas untuk menghamburkan tangisannya
yang ditahan sedari tadi.
‘Mana pula tandas ni.’ Desis hati
Nasuha. Air matanya yang mengalir deras itu begitu sukar dihapuskan olehnya.
“Kau mahu pergi mana?” Soal satu
suara membuat Nasuha terkejut.
“Tandas.” Jawabnya perlahan sambil
berpaling ke arah lain agar lelaki itu tidak dapat melihat air matanya yang
membasahi pipinya.
“Aku tunjukkan.” Ujar Hafiz Azhar
serius sambil berjalan di hadapan untuk menunjukkan kedudukan tandas kepada
gadis yang kononnya cuba menyembunyikan air matanya dari dilihat. Hakikatnya
sejak di bilik Nenek Mariam lagi dia sudah melihat tingkahnya yang serba tidak
kena itu namun dibiarkan sahaja gadis itu dengan naluri yang penuh kelembutan
dan sensitif itu.
“Kau okay ka ni?” Soal Hafiz Azhar
sambil memperlahankan langkahnya
“Okay.”
“Betul ni?”
“Betullah. Mana tandas?” Soal Nasuha
sedikit geram dengan lelaki itu.
“Ni…” Hafiz Azhar berhenti
betul-betul di hadapan pintu masuk tandas tersebut. Tanpa sepatah bicara lagi
Nasuha terus sahaja melangkah masuk ke dalam tandas itu.
Dia menangis semahunya di dalam
tandas itu. Tidak dapat dibayangkan betapa peritnya hati ibu tua itu. Teganya
anaknya itu membuang ibu yang mengandungkan, melahirkan dan bersusah payah
membesarkannya hanya kerana ingin menjaga hati sang isteri yang baru sahaja
dikenali setelah dewasa. Hatinya berdoa dan merintih agar dia dijauhkan dengan
sifat-sifat sedemikian rupa dan anak nenek Mariam sedar akan kesilapannya.
Tok! Tok! Tok!
“Suha kau okay?” Soal Rashidah dari
luar.
“OK.” Nasuha menjawab sambil cuba
menghapuskan air matanya dengan tapak tangan.
“Keluarlah.” Tuturnya lembut. Nasuha
menarik daun pintu dan segera keluar dan menuju ke sinki. Dia mencuci mukanya
untuk menghilangkan kesan tangisannya.
“Lama lagikah kita di sini?” Soal
Nasuha kepada Rashidah.
“Entah. Kenapa? Dah tak larat tengok
penghuni di sini?” Soal Rashidah sambil tersenyum memandang rakannya itu.
“Hati ni yang tak larat. Sedihkan
sebab anak-anak mereka tinggalkan mereka di sini dan langsung tak datang
melawat pun. Harap kita takkan jadi macam tu.” Ujar Nasuha penuh harapan dan
setitik lagi air matanya jatuh di pipi.
“Alololo sensitifnya.” Rashidah mendakap
Nasuha, cuba menenangkan hati rakannya itu. Nasuha menangis lagi.
“Korang buat apa lama-lama di dalam
tu?” Jerit Hafiz Azhar dari luar.
“Ha suara musuh tradisi kau dah
muncul dah. Sebelum dia masuk sini, baik kita keluar. Sudah, jangan menangis
lagi. Cuci muka tu.” Ujar Rashidah lembut sambil menyeka air mata Nasuha dengan
ibu jarinya.
“Korang okaykah tidak?” Jerit Hafiz
Azhar lagi.
“OK. Kejap lagi kami keluar.” Ujar
Rashidah sambil menapak keluar. Dia jengilkan matanya kepada Hafiz Azhar.
“Aku ingat kamu dah pengsan dalam tu
tadi. Dia okay tak?” Soal Hafiz Azhar sambil meninjau ke dalam tandas.
“Jiwa sentimental, sensitif,
penyanyang macam itulah. Pantang terusik sikit hati tu dah hujan lebat.” Ujar
Rashidah separa berbisik.
“Lebat sampai banjir?”
“Kalau kau tidak kawal bukaan
empangan tu memang banjir besar.” Ujar Rashidah diikuti dengan tawa di hujung
bicaranya. Hafiz Azhar sekadar tersenyum geli hati mendengar bicara Rashidah
itu.
“Suha, jom.” Ajak Rashidah dari luar
tandas.
“Kejap.” Nasuha segera menapak
keluar. Sengaja melarikan wajahnya dari di tatap oleh lelaki yang mendapat
jolokan mamat mangkuk olehnya itu.
“Taubat Nasuha, kau okaykah?” Soal
Hafiz Azhar namun tiada jawapan.
“Kau jangan risau Hafiz, Suha okay.
Dia dah cukup menangis di dalam tadi sampai basah baju aku oleh air mata dia.”
Ujar Rashidah nakal membuatkan Nasuha mencubit lembut belakangnya.
“Aku nak hulur tisu, aku ni bukan
mamat tisu, nak hulur sapu tangan pun tiada juga. Kalau kau nak menangis lagi,
ni aku pinjamkan kau bahu aku. Kalau kau sudilah tapi aku tahu memang kau tak
sudikan. Yalah siapalah aku kan?! Kalau nak juga kenalah jadi yang halal dulu.”
Ujar Hafiz Azhar sambil mencuri pandang ke arah Nasuha.
“Ehemmm, hemmmm…hemmmm. Adoiiiiii,
sakit tekak pula tiba-tiba.” Ujar Rashidah sambil mata silih berganti memandang antara Nasuha dan Hafiz
Azhar.
“Jalan cepat sikitlah. Mahu tinggal
sinikah?” Lea menggamit agar mereka bergerak lebih pantas.
“Ini rumah warga tua, kalau rumah
untuk remaja, apa salahnya kan” Jawab Hafiz Azhar bersahaja sambil
mempercepatkan langkahnya.
“Nasuha.” Panggil Nenek Mariam yang
berjalan perlahan menghampiri mereka. Cepat sahaja Nasuha mendapatkan wanita
tua itu.
“Jaga diri elok-elok cu. Ada masa
nanti datanglah lawat kami di sini lagi.” Ujar Nenek Mariam dengan segaris
senyuman.
“Baiklah.” Jawab Nasuha sedikit
sebak.
“Jangan menangis lagi. Nenek dan
kawan-kawan nenek semua gembira tinggal sini.” Ujar Nenek Mariam sambil
mengesat air mata Nasuha.
“Nenek jaga diri elok-elok. In shaa
Allah, umur panjang dan ada masa nanti saya dan kawan-kawan datang sini lagi.”
Ujar Nasuha sambil memeluk erat Nenek Mariam.
Bas UMS berwarna biru tua itu bergerak
perlahan melalui jalan besar Papar-Kota Kinabalu. Hafiz Azhar berdiri dan
mencari kelibat Nasuha. Dia senyum melihat gadis itu masih lagi menyeka air
matanya.
“Pengunguman! Pengunguman! Kepada
penumpang bas, bas ini akan banjir sebentar lagi, sila sediakan sampan, bot
atau yang sewaktu dengannya bagi mengelakkan anda dibawa arus banjir.” Ujar
Hafiz Azhar.
“Banjir?!” Soal Natalie Betsy dengan
dahi yang berkerut.
“Ya, banjir. Kan sekarang ni hujan
lebat.” Jawab Hafiz Azhar bersahaja. Nasuha ketap bibir. Dia tahu dirinya
sedang dipersendakan oleh lelaki itu.
“Saya tengok panas terik.” Natalie Betsy
garu kepala yang tidak gatal. Hafiz Azhar dan beberapa orang rakannya tergelak
melihat memek muka bingung yang dipamerkan oleh Natalie Betsy ketika itu.
“Di luar memang panas terik tapi
dalam bas ni hujan lebat.” Ujar Hafiz Azhar lagi sambil tersenyum melihat
Nasuha yang mengerling tajam.
“Kenapa? Penghawa dingin kamu
rosakkah Hafiz?” Soal Natalie membuat Hafiz Azhar tergelak besar.
“Bukan penghawa dinginlah Natalie.
Taubat Nasuha ni yang hujan lebat di tempat duduk dia.” Terang Hafiz Azhar.
“Ooo. OK saya faham sudah sekarang.”
Ujar Natalie Betsy dengan kepala yang diangguk beberapa kali.
‘Eeeeeee, mamat mangkuk ni, sabar
sajalah. Sudahlah marah orang pagi tadi, ni nak mengejek orang lagi. Tiada
perasaankah apa?! Sudah marah-marah orang tu mintalah maaf. Sejuk juga sikit
hati, ini tidak tambah lagi nak menyakitkan hati orang. Kalaulah membunuh itu
bukan satu kesalahan dan bukan satu dosa, kaulah manusia pertama aku nak
bunuh.’ Nasuha gigit gigi, menahan geram dan amarahnya.
(Y) menarikk...teruskan...
BalasPadamTerima kasih Nurr Bayu.....harap dapat memberi sokongan dan kritikan membina buat diri ini yang menulis tanpa tahu hukum-hakamnya :)
Padamnext episod 23 hehehe...best3x (y)
BalasPadamThanks Dian....sabar ya..nanti updaye ja terus tag dia.
Padam