TAJUK :
SURATAN DAN KEBETULAN
PENULIS : CUADIEY
Kelas
6 Atas Ekonomi riuh rendah dengan ragam pelajarnya. Terdapat pelajar yang
khusyuk bergosip sesama mereka, ada juga yang menelaah pelajaran walaupun tidak
sekhusyuk mana kerana keadaan kelas yang bising. Di suatu sudut, kelihatan
Iskandar dan Sadrina sedang membincangkan sesuatu. Entahkan berbincang entahkan
bertekak. Mereka diibaratkan seperti anjing dan kucing, pantang bersua pasti
bercakaran. Jarang benar melihat mereka berdamai. Rakan-rakan mahu pun pihak
sekolah sudah sedia maklum dengan hal tersebut.
“Folio
tu dah siap ke belum?” Soal Iskandar kasar
“Dah
nak siap baru nak tanya. Malang betul aku dapat partner macam kau ni.” Ujar Sadrina geram.
“Kau
sepatutnya bersyukur dapat jadi partner
aku. Aku ni yang malang dapat partner
selembap kau. Dah tu, hasil kerja kau ni silap-silap boleh masuk tong sampah
tau.” Ujar Iskandar sambil membelek-belek folio berwarna biru. Dia
menggeleng-gelengkan kepala tanda protes.
“Kalau
tak puas hati dengan hasil kerja aku tu, masih ada masa lagi kalau kau nak
perbaiki tugasan tu.” Ujar Sadrina serius.
“Nak
perbaiki hasil kerja kau yang selayaknya di tong sampah ni? Menyusahkan diri
aku je. Maaflah Cik Sardin Tuna Mayonis.” Iskandar tersenyum sinis
“Oh,
selayaknya di tong sampah ye Nasi kandaq
badan berdaki.” Tutur Sadrina geram. Bibirnya diketap kuat.
Sekelip
mata sahaja folio itu bertukar tangan. Lancar sahaja tangan Sadrina mengoyakkan
folio tersebut hingga menjadi cebisan kertas yang tiada manfaat lagi. Bulat
mata Iskandar melihat tindakan Sadrina yang di luar jangkaan itu. Sadrina
bersikap bersahaja seperti tidak melakukan apa-apa kesalahan. Setelah berpuas
hati, dia memandang Iskandar dengan mata yang buntang.
“So, dengan rasa bangganya aku bagi kau
peluang untuk membuang cebisan-cebisan kertas ini ke dalam tong sampah kerana
memang selayaknya ia berada di sana. Bukan begitu Nasi kandaq badan berdaki?!”
Ujar Sadrina sinis
Iskandar
tergamam. Penumbuknya dikepal-kepal sedari tadi. Jika Sadrina itu lelaki mahu
sahaja dia menghayunkan penumbuknya itu. Sakit hatinya dengan tindakan Sadrina
yang bersahaja itu. Entah apa yang merasuk fikiran perempuan itu sehingga
sanggup bertindak sedemikian rupa tanpa memikirkan akibatnya.
“Apa
yang kau tengok lagi? masih tak puas hati?” Soal Sadrina dengan renungan yang
tajam.
Iskandar
menarik nafas dalam, kemudian menghembuskannya perlahan-lahan. Meja Sadrina
ditolak dan dia terus berlalu. Dia keluar dari kelas tanpa menghiraukan
mata-mata yang sedang memerhatikannya dan juga suara-suara yang melaung
namanya. Manakala di dalam kelas, keadaan senyap seketika apabila melihat
Sadrina menahan sakit. Meja yang ditolak oleh Iskandar tadi mengenai pinggang
kirinya tanpa sempat dielak. Bibirnya diketap, menahan sakit. Dia memperbetulkan
kedudukan mejanya. Kemudian segera bingkas, kerusinya ditolak kasar.
Rakan-rakan sekelasnya hanya mendiamkan diri, kaku tanpa sepatah bicara. Kolam
matanya kian panas. Bergegas dia keluar dari kelas. Mutiara jernih itu jatuh
jua menyembah bumi tanpa mahu ditahan-tahan walaupun dikesat berulang kali.
Hari
itu juga mereka telah dipanggil oleh Cikgu Rahman, guru yang telah memberikan
tugas tersebut dan juga merangkap guru disiplin di sekolah tersebut. Setelah
disoal siasat akhirnya mereka dikenakan tindakan. Hari itu, ketika pelajar lain
berpusu-pusu untuk pulang ke rumah masing-masing, Iskandar dan Sadrina pula
terpaksa berlari di padang sekolah sebanyak 12 pusingan. Larian Sadrina sedikit
terjejas akibat kejadian pagi tadi. Walaupun sakit dia tetap ingin menghabiskan
lariannya. Dia tidak mahu dipandang lemah oleh Iskandar. Lelaki itu menoleh ke
arahnya ketika memintas entah buat kali ke berapa dia sendiri tidak pasti. Mata
bertentangan namun segera Sadrina melarikan pandangannya.
“Kau
okay ke?” Soal Iskandar prihatin.
Namun
soalan itu dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa sebarang jawapan dari Sadrina.
Timbul kebimbangan dan rasa bersalah di hati Iskandar. Semasa kejadian pagi
tadi, selepas Sadrina keluar dari kelas, dia melihat Sadrina menangis dan terus
menghilangkan diri di dalam tandas tanpa sempat menahan gadis yang sering
menjadi mangsanya itu. Semasa dia masuk ke dalam kelas, Affzan telah
menceritakan apa yang telah berlaku ke atas Sadrina sewaktu dia menolak meja
itu. Namun tidak terlintas di fikirannya untuk mencederakan gadis tersebut.
Selepas
Iskandar menamatkan 12 pusingan laraian dendanya, larian Sadrina masih berbaki
4 pusingan lagi. Ternyata gadis itu tidak mudah mengaku kalah. Walaupun
lariannya semakin lama semakin perlahan, dia tetap meneruskan lariannya.
“Kalau
kau sakit, jangan paksa diri.” Jerit Iskandar.
Namun
jeritan itu tidak dihiraukannya. Akhirnya dengan keazaman yang kuat Sadrina
berjaya juga menghabiskan lariannya. Dia segera berjalan ke tepi padang untuk
mengambil begnya dan meminta izin Cikgu Rahman untuk pulang. Iskandar yang
berdiri di sisi Cikgu Rahman tidak dipandang walaupun sekilas. Sejak peristiwa
itu sehinggalah mereka tamat menduduki kertas terakhir STPM mereka tidak lagi
bertegur sapa dan suara mereka berdebat mahu pun bertengkar sesama sendiri
tidak lagi kedengaran.
* * * * * *
“Melamun
jauh nampak?ingat bakal isteri ke?” Usik Affzan
“Kau
nak tengok aku meraung pada majlis pernikahan aku ke? Menangis kerana terpaksa
mengahwini gadis yang aku tak kenali dan bukan pilihan hati tetapi menjadi
pilihan hati nenek. Hish, macam orang dolu-dolu.” Ujar Iskandar panjang
lebar.
“Tapikan
aku rasa pilihan nenek ni yang sesuai dan tepat untuk kau dan menurut firasat
aku juga dia seorang gadis yang baik, mampu menggembirakan dan membahagiakan
kau. Percayalah pada firasat aku.”
“Banyaklah
kau punya firasat.” Iskandar geleng kepala.
“Ha,
Is macam mana? Dah buat keputusan tentang majlis tu?” Soal Hajah Rahmah yang
entah dari mana munculnya.
“Errrrr….Is
setuju dengan pilihan nenek tu tapi dengan syarat.” Ujar Iskandar satu persatu
dan dalam nada yang perlahan.
“Syarat?!
Apa syaratnya?” Soal Hajah Rahmah dengan raut wajah yang sedikit keruh.
“
Saya nak buat majlis nikah dan sanding serentak.” Luah Iskandar perlahan tetapi
tegas.
“Errrrr..tapi…”
Hajah Rahmah mengeluh memikirkan syarat yang baru sahaja dinyatakan oleh
cucunya itu.
“Kalau
pihak perempuan tak setuju dengan syarat yang saya kenakan tu, batalkan sajalah
niat nenek nak menyatukan saya dengan budak tu.” Tutut Iskandar serius.
Hajah
Rahmah berlalu meninggalkan Iskandar dan Affzan begitu sahaja tanpa memberi sebarang
jawapan yang pasti. Hanya keluhan yang terucap di bibir wanita yang berusia
awal 70-an itu. Affzan hanya memerhati gelagat Iskandar yang merenung jauh nun
di tengah halaman.
“Kau
tak nak jumpa bakal isteri kau tu sebelum majlis berlangsung?” Soal Affzan
setelah lama mereka menyepi tanpa sepatah bicara.
“Tak
payahlah.” Jawab Iskandar acuh tak acuh.
“Itulah
masalah kau ni, kau sendiri yang tak nak jumpa dan mengenali dia. Gadis pilihan
nenek dan mungkin juga gadis pilihan kau.” Ujar Affzan.
“Tak
mungkin. Kau pun tahu siapa gadis pilihan aku. So, tak mungkin gadis pilihan nenek menjadi gadis pilihan aku.
“Entahlah,
aku pun tak faham dengan kau ni. Kau belum kenal dia lagi, kau belum selami
hati budi dia lagi. Lagi satu, kau langsung tak nak ambil tahu nama bakal
isteri kau tu.” Bebel Affzan.
“Alah.
Waktu nikah nanti aku tau juga nama dia.”
“Bagus
sangatlah tu. Entah-entah nama bakal isteri kau tu berbelit-belit sampai
tergeliat lidah nak menyebut, dah tu panjang lagi, masa tu baru kau tau langit
tu tinggi atau rendah.”
“Mudah-mudahan
apa yang kau cakap tu tak menjadi kenyataan, amin” Iskandar meraup wajahnya
dengan kedua-dua belah tangan.
“Amin.”
Ucap Affzan sambil menurut tingkah Iskandar.
“Hey,
kau tau aku terserempak dengan Sadrina minggu lepas masa aku window shopping.” Beritahu Iskandar
kepada Affzan.
“Kau
tegur dia?” Soal Affzan penuh minat dengan topik baru itu.
“Mestilah
aku tegur. Lama juga kitorang tak bertegur sapa. Tujuh tahun dan baru sekarang
dia nak berbaik dengan aku. Mungkin juga kerana dah lama tak jumpa aku. Seingat
aku, last aku jumpa dia waktu kita
ambil result STPM.” Ujar Iskandar.
Segera memori itu menerpa kotak fikirannya.
“Siapa
suruh kau cari pasal dengan dia dulu. Eh, tindakan positif tu kalau dia dah
layan kau dengan ramahnya dan mungkin juga petanda baik untuk kau.” Ujar Affzan
memberi semangat.
“Petanda
baik kepala hotak kau. Gadis pilihan aku
tu dah kahwinlah. Aku tengok, dia shopping
sakan hari tu.” Ujar ISkandar sayu mengimbas kembali gelagat Sadrina yang
sedang menjinjit plastik yang berisi pampers, barangn dapur dan lain-lain.
“Dia
dah kahwin? Dengan siapa? Bila? Kau ada jumpa husband dia?” Soal Affzan seperti bertih jagung yang sedang dimasak
“Entahlah.
Aku jumpa dia dan anak dia je.” Bibir Iskandar terjuih sedikit melihat
ketidaksenangannya dengan soalan yang dilontarkan oleh Affzan.
“Mengapa
kau tak tanya dia?”
“Aku
tak berminat dan aku pun tak nak tau semua tu.”
“Ooooo,
sekarang baru aku tau kenapa kau terima gadis pilihan nenek. Kau kecewa dia dah
kahwinkan?!” Teka Affzan.
Iskandar
sekadar mengangguk lemah. Ikut hati ingin sahaja dicabainya mulut sepupunya itu
agar tidak bertanya soalan yang boleh menyeksa jiwanya terutama yang berkaitan
dengan Sadrina, gadis pilihan hatinya. Namun kini dia terpaksa melupakan sahaja
gadis yang telah berjaya mencuri dan bertakhta di hatinya sedari dulu lagi
kerana dia telah menjadi hak orang lain.
Masa
kian, berlalu. Syarat Iskandar telah dipersetujui oleh pihak perempuan tanpa
sebarang masalah. Segala persiapan
majlis perkahwinannya diuruskan oleh Hajah Rahmah dan ibunya, Puan Aznah.
Walaupun dia bersikap bena tak bena dengan majlis tersebut, namun dia tetap
berdebar menantikan siapakah gerangan yang bakal menjadi pasangan hidupnya itu.
Dari cerita yang didengarnya melaluin Affzan , bakal isterinya itu juga
sepertinya hanya mengikut kehendak orang tuanya tanpa mengetahui siapa bakal
suaminya. Elok bagi orang tuanya, eloklah bagi dirinya juga. Menurut Affzan
lagi, dia bertuah kerana bakal isterinya itu juga merupakan seorang yang taat
kepada Allah S.W.T dan juga kepada ibu bapanya. Oleh itu, tidak mustahil bakal
isterinya itu juga merupakan seorang isteri yang taat kepada suami.
Hari
yang dinanti akhirnya tiba juga. Jantung Iskandar berdegup kencang. Sekejap
lagi majlis akad nikah akan dijalankan.
Jurunikah tersenyum kambing melihatnya sambil bersila tenang. Mata
Iskandar tidak lepas dari memerhati dokumen
yang diselak sehelai demi sehelai oleh jurunikah itu. Tiba-tiba
pandangannya mati. Tertumpu pada sebaris nama yang tercatit di atas sehelai
kertas.
“Sadrina
Thuraiya Binti Omar Bakri.” Bergema nama itu di dalam hatinya. Bukan sekali dua
tetapi berulang kali.
Hatinya
berbunga namun dia segera kembali ke alam realiti. Dia tidak mahu terus
berfantasi. Sadrina gadis pilihannya sudah berkahwin dan tak mungkin gadis itu
adalah bakal isterinya. Sedangkan dalam dunia ini pun ada 7 wajah yang serupa
diciptakan oleh Allah S.W.T, inikan pula nama manusia. Nama yang serupa tetapi
orang yang berbeza. Itulah tanggapan
Iskandar tentang sebaris nama yang tercatit di atas kertas tersebut yang juga
merupakan nama bakal isterinya.
Majlis
akad nikah berjalan dengan lancar tanpa sebarang halangan. Dengan sekali lafaz
Sadrina Thuraiya Binti Omar Bakri sah menjadi isterinya. Semasa upacara
membatalkan air sembahyang, Iskandar kelihatan tenang. Namun berlainan pula
dengan ekspresi wajah isterinya yang ternyata sedikit tergamam dan gugup.
“Awak
kata, awak dah kahwin.” Ujar Iskandar memulakan bicara setelah majlis
bersanding selesai. Sedari tadi dia ingin mengetahui hal yang sebenarnya dari
Sadrina.
“Kahwin?”
Sadrina mengerutkan dahinya.
“Yelah,
hari tu awak juga yang cakap awak dah kahwin dan buktinya budak lelaki tu
panggil awak ibu.” Iskandar mengimbas kembali detiknya bertemu dengan Sadrina
di salah sebuah pusat membeli belah tidak lama dahulu.
“Anak?ibu?
tak pernah mengandung tetiba ada anak. Hebat!” Ujar Sadrina tergelak kecil,
lucu memikirkan bila masa dia ada anak dan dipanggil ibu.
“Mustahil.
Bila saya sapa dengan memanggil nama awak, awak terus berpaling ke arah saya.
Ingat tak masa awak beli barangan dapur,
ada beli pampers sekali, kita ada terserempakkan?”
Sadrina yang tadinya tergelak berhenti tergelak dan
otaknya ligat memikirkan sesuatu. Kemudian dia menggeleng-gelengkan kepalanya.
Mata Iskandar tertancap pada wajah di hadapannya yang kini sah bergelar
isterinya. Sungguh canggun dalam persalinan songket berwarna biru terang itu.
Dahinya berkerut seribu namun hatinya bersorak gembira. Jika diikutkan hatinya
ingin sahaja dia melonjak-lonjak girang di saat itu. Dia mahu semua orang tahu
yang dia amat gembira pada hari itu.
“Adik,
tahniah. Kakak doakan adik bahagia hingga ke akhir nyawa.” Tutur seorang
perempuan yang entah dari mana munculnya.
“Ini……”
Iskandar kaget.
“Ini
kakak ipar awak. Nama dia Sadrina Thariya dan saya rasa dia yang awak jumpa
hari tu.” Ujar Sadrina Thuraiya. Sadrina Thariya melemparkan senyuman kepada
Iskandar.
“Tahniah!”
Ucap Sadrina Thariya kepada Iskandar.
“Terima
kasih kak. Muka dekat samalah dengan Sadrina.” UJar Iskandar sambil
membetul-betulkan duduk tanjaknya.
“Memanglah
dah namanya kembar seiras.” Ujar kembar itu serentak.
Kini,
Sadrina Thuraiya gembira dan bahagia di sisi suami tercinta, Iskandar Badrul
Idraki yang suatu ketika dahulu merupakan musuh utamanya. Pelbagai kenangan
manis mereka sewaktu zaman persekolahan dahulu terutamanya panggilan Sardin
tuna mayonis dan Nasi kandaq badan berdaki akan di simpan rapi dalam lipatan
memori dan akan diceritakan kepada generasi mereka yang akan datang.
InsyaALLAH.
Hasil
karya,
Cuadiey
April 17, 2006 3:00PM
kembar rupanya.. hihihi "Sardin tuna mayonis dan Nasi kandaq badan berdaki" lucu nya kak :D
BalasPadamHahaha....cerita lama ni...buat zaman sekolah lg.....
BalasPadam