Khamis, 16 Januari 2014

Cintamu Limited Edition (24)

BAB 24


        Nasuha menatap lama Nazim yang sedang menatarias rambutnya di depan cermin yang terdapat di ruang tamu. Nazim angkat kening apabila menyedari dirinya diperhatikan sedemikian rupa. Akhirnya dia berpaling menghadap Nasuha, satu-satunya adik perempuan yang dia ada di muka bumi ini.
            “Achik kenapa?” Soalnya kepada Nasuha yang lebih mesra dipanggil Achik dikalangan keluarganya.
            “Tiada apalah.”
            “Jadi kenapa tengok Along macam tu?” Soal Nazim yang lebih selesa membahasakan dirinya sebagai Along di hadapan ahli keluarganya.
            “Hmmm, Along jangan balik lewat sangat pula. Along tahukan adik Along yang seorang ni teramat berani tinggal seorang diri dalam rumah.” Pesan Nasuha.
            “Kalau rasa takut tinggal dalam rumah, tinggallah luar rumah.” Jawab Nazim bersahaja.
            “Along!”
            “Guraulah. Along pergi kerja nanti jangan lupa kunci pintu semua. Telefon bawa pergi mana saja. Nanti mak telefon, Along telefon jawab cepat. Jangan buat orang lain susah hati.” Ujar Nazim.
            “Baiklah.” Nasuha sekadar mengangguk lemah.
            “Angguk tapi nanti Achik di mana, telefon tu entah ke mana. Untuk makan malam nanti masak lebih sikit. Malam ni Abang datang nak makan di sini.” Pesan Nazim yang hampir terlupa untuk memberitahu Nasuha tentang perkara itu.
            “Abang datang malam ni?! Yessss! Nak minta dia belikan Chicky Meal la.” Cepat sahaja otaknya membuat percaturan kala itu.
            “Bukan Achik makan pun.”
            “Makanlah.”
            “Makan konon walhal nak mainan saja. Macam budak-budak!” Ujar Nazim sambil menghirup nescafe O yang telah terhidang di atas meja.
            “Biarlah. Nanti kalau Pak Abu ada jual sayur, Achik keluar pergi beli ya.”Beritahu Nasuha pula cuba mengalihkan topik sebentar tadi.
            “Guna duit yang Along bagi semalam.”
            “Okay. Along makanlah cepat.  Sekarang jam 6.45 pagi tau, nanti lewatlah sampai sekolah.”
            “Baru jam 6.45 pagi. Along biasa gerak dekat jam7 tau.”
            “Kan masuk jam 7.30 pagi. Kenalah datang awal pergi sekolah supaya tidak kelam-kabut, supaya sempat tarik nafas lega, berehat.”
            “Aduiiii mak nenek dah membebel. Along jalan dululah. Tengah hari Along tak balik tau. Along ada latihan ragbi di sekolah.”
            “Baik cikgu. Bagi latihan secukupnya dengan anak murid tu. Jangan lewat balik, jangan melepak di kedai kopi. Ingat orang di rumah ni.” Pesan Nasuha  ketika berdiri di muka pintu.
            “Tutup pagar tu.” Pesan Nazim sebelum memecut laju keretanya.
            ‘Mentang-mentang aku ada di rumah dia, manja bukan main lagi. Pintu pagar pun aku juga yang kena tutup. Nasib kaulah Nasuha.’ Desis hatinya.
Selepas menutup pintu pagar rumah tersebut dia melangkah semula untuk masuk ke dalam rumah. Seorang lelaki memerhati langkahnya. Nasuha sekadar mengangguk dan tersenyum kepada lelaki itu.
            “Isteri baru diakah?” Soal Rozairen perlahan.
            ‘Amboi mata tu. Pandang tak berkelip. Aku taulah aku ni asing di sini tapi aku bukan makhluk asing kau nak pandang macam tu. Aku cucuk mata kau dengan garfu dah jadi geng Kassim Selamat.’ Bicara hatinya seraya melangkah masuk ke dalam rumah dan menguncinya.
           
            “Achik, Kak Ain pergi sana.” Ujar Ain kepada adik iparnya.
            “Baik kak. Hati-hati. Along pergi dengan akak kan?” Soal Nasuha kepada kakak iparnya pula.
            “Ya, tu Along dengan Hariz dan Hamizah.” Ain menunjukkan suami dan anak-anaknya yang telah menapak jauh mendahuluinya.
            “Okay kak. Jangan jauh sangat jalan tu.”
            “Okay. Baca novel tu jangan sampai tak ingat orang sekeliling.” Pesan Ain sebelum meninggalkan Nasuha di bawah sepohon pokok yang rendang.
            “Ya.” Itu sahaja jawapan ringkas Nasuha sambil memerhati langkah Ain mendapatkan Nazim dan sepasang anak mereka.
            Tiga puluh minit kemudian, Nasuha bingkas bangun menghampiri gigi air sambil mengutip kulit siput yang menarik perhatiannya. Sekali-sekala dia melompat apabila ombak kecil menghampirinya. Dia berhenti seketika apabila terdengar jeritan Hariz memanggilnya agar turut serta berenang di laut.
            “Achik! Jomlah.” Jerit Hariz lagi.
            “Tak mahulah. Achik tiada bawa baju ganti.” Jerit Nasuha pula berharap agar suaranya di dengari oleh mereka. Hariz yang tidak berpuas hati segera berenang ke tepi mendapatkan Nasuha.
            “Jomlah Achik.” Pujuk Hariz lagi.
            “Achik tiada bawa baju ganti. Kalau Achik mandi, baju Achik basah, Achik tak boleh naik kereta. Nanti terpaksa Achik tinggal sini.” Terang Nasuha satu-persatu.
            “Mesti Achik menyesal tak nak ikut kami mandi laut.” Ujar Hariz sambil mencebikkan bibirnya di hadapan Nasuha dan berpaling ingin kembali bersama ayah, ibu dan adik perempuannya.
            “Hati-hati Hariz.” Pesan Nasuha sambil memandang setiap langkah Hariz.
            “Eh, lupa pula. Achik sinilah.” Hariz yang berpatah semula menyuruh Nasuha duduk.
            “Apa.”
            “Sinilah. Nak sayang Achik Hariz yang takut air ni.” Ujarnya seraya mengucup kedua-dua belah pipi Nasuha. “Achik takut air macam kambing.” Sambungnya nakal dan terus sahaja berlari masuk ke dalam air mendapatkan ayahnya.
            “Aduiiii, budak kecil ni.” Nasuha tersenyum dengan telatah anak saudaranya itu.
            Tiba-tiba sahaja angin bertiup kencang dan kelihatan ombak besar menghempas pesisir pantai beberapa kali. Cepat sahaja Nasuha mencari kelibat Hariz. Dia lihat ombak tinggi itu menenggelamkan Hariz. Dia terkesima seketika apabila sedar dia cuba mencari susuk tubuh Hariz namun tidak seorang pun yang dilihatnya di tengah-tengah laut itu. Saat itu badannya menggigil dan hatinya berdegup kencang.
            “Hariz! Hariz! Hariz! Along! Along! Alongggg!” Jerit Nasuha dari pantai.
            “Kenapa?” Soal seorang lelaki berusia awal 50-an kepada Nasuha.
            “Abang saya, tadi mandi di sana.” Beritahu Nasuha masih lagi membendung air matanya.
            “Astaghfirullah al’aziiim.” Lelaki itu beristighfar panjang.
            Satu jam selepas peristiwa itu, Nazim ditemui di kawasan berhampiran oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat dalam keadaan separuh sedar. Manakala usaha mencari Ain, Hariz dan Hamizah masih lagi diteruskan dan berlarutan hingga ke malam. Nasuha bersama anggota keluarga yang lain bersama-sama berdoa agar ketiga-tiga mangsa yang masih hilang ditemui segera. Selepas lebih 5 jam barulah mayat Ain dan Hamizah ditemui 800 meter dari tempat mereka mandi-manda tadi. Manakala mayat Hariz hanya ditemui pada pagi keesokkan harinya. Nasuha yang berada di tempat kejadian menggigil melihat sekujur tubuh itu dengan kulit pucat kebiruan milik Hariz. Dia merasakan seperti baru sesaat tadi Hariz mengucup pipinya.
            “Hariz.” Luah Nasuha dengan linangan air mata yang sedari tadi membasahi pipinya. “Achik rindu korang. Kak Ain, Hamizah, Hariz semoga kalian damai di sana. Al-Fatihah.” Nasuha menadah tangannya dan membaca surah Al-Fatihah dengan bacaan tajwid yang betul untuk disedekahkan kepada arwah kakak ipar dan anak saudaranya.
            Nasuha menyeka air matanya. Gambar Hariz yang digantung rapi di ruang tamu rumah itu dipegang dan dibelai perlahan. Hampir 2 tahun kejadian itu berlaku namun ia masih segar lagi diingatan Nasuha. Terasa baru semalam perkara itu berlaku dalam hidupnya. Masih lagi terbayang di matanya bagaimana ombak besar itu melenyapkan Hariz bukan sahaja pada ketika itu tetapi buat selama-lamanya.
            Telefon bimbit Nasuha berbunyi nyaring. Cepat sahaja Nasuha mencapainya dan menjawab panggilan tersebut. Suara ibu di hujung talian segera membubarkan kenangan lalu yang hanya mampu dikenang tanpa mampu diulang kembali oleh mereka. Sekali lagi air mata yang tadinya bergenang jatuh membasahi pipi dan cepat sahaja Nasuha menyekanya dan berharap ibunya tidak perasan akan perubahan suaranya itu.

Ahad, 5 Januari 2014

Cintamu Limited Edition (23)



 BAB 23

            Perhentian bas Kolej Kediaman CD hujung minggu itu begitu sesak. Nasuha, Khayla Irdina dan Rashidah adalah antara mereka yang menunggu di sana. Nasuha sudah mula duduk mencangkung di bawah sepohon pokok yang rendang. Tidak memedulikan mata-mata yang memandang sinis kepadanya.
            “Nasuha, agak-agaklah kalau duduk tu.” Tegur Rashidah.
            “Kenapa?”
            “Aku penatlah. Macam nak tercabut dah kaki ni. Dah 3 buah bas datang asyik penuh saja.” Rungut Nasuha.
            “Sekejap lagi mesti ada bas. Kau jangan risaulah.” Ujar Rashidah memberi jaminan.
            “Idrus pun sudah lama tunggu di KK tu. Tidak sabarnya mahu jumpa dia.” Ujar Khayla Irdina teruja.
            “Semangatnya dia.” Rashidah jungkit kening.
            “Mestilah semangat. Dah 2 minggu tidak jumpa tau.” Khayla Irdina menjeling Rashidah yang berada tidak jauh darinya.
            “Bas.” Ucap Nasuha sepatah dan segera bangkit dan menapak ke hadapan. Rashidah dan Khayla Irdina juga turut bertindak sedemikian rupa dengan harapan mereka berjaya menaikki bas tersebut.
            “Alhamdulillah syukur.” Ucap Nasuha sebaik mereka selamat berada di dalam bas.
            “Tapi kena berdirilah pula. Nasib badan.” Ujar Rashidah sambil menjuihkan bibir bawahnya ke hadapan.
            “Janji sampai KK.” Khayla Irdina sengih. Gembira kerana tidak lama  lagi dia akan bertemu dengan buah hatinya, Idrus.
            Bas yang mereka naikki bergerak pula ke Kolej Kediaman E. Mereka beranjak ke belakang sedikit apabila penumpang di Kolej Kediaman tersebut menaikki bas. Nasuha mula memasang kuda-kudanya agar tidak terjatuh di dalam bas tersebut jika pemandu bas memberhentikan bas secara mengejut.
            “Taubat Nasuha! Taubat Nasuha!” Panggil satu suara. Nasuha kerut dahi. Dengan kepala yang masih statik namun matanya liar mencari empunya suara.
            ‘Aik, dia ada dalam bas ni ke? Aduiiii parah, parah. Sakit hati okay.’
            “Taubat Nasuha!” Panggil suara itu lantang memaksa Nasuha menoleh ke belakang. Hafiz Azhar senyum dan menggamit ke arahnya. Nasuha kecilkan bukaan anak mata dan menggeleng.
            ‘Degil betul Taubat Nasuha ni.’ Desis hati Hafiz  Azhar. Dia mencapai tali beg Nasuha dan menarik agar bergerak ke arahnya.
            “Hishhhh, apa ni?” Soal Nasuha kasar.
            “Duduk sinilah.” Ujar Hafiz Azhar sambil keluar sedikit dari tempat duduknya dan memberi laluan kepada Nasuha untuk duduk.
            “Suka hati kau sajakan.” Ujar Nasuha geram sambil mendongak memandang Hafiz Azhar yang sedang berdiri. Manakala dia pula duduk di kerusi yang tadinya diduduki oleh Hafiz Azhar.
            “Bagi kerusi pun bising. Duduk diam-diam sudahlah.” Ujar Hafiz Azhar sambil membuang pandang ke luar bas. Nasuha ketap bibir geram. Cuba menenangkan hati dan berfikir secara waras lagi rasional.
            Setiba di Bandar Kota Kinabalu, masing-masing turun dari bas tersebut. Kelihatan Faezah, Rozana, Syazwan dan Izar menanti mereka di perhentian bas. Nasuha mengecilkan matanya melihat rakan-rakannya. Dia pelik melihat Syazwan dan Izar berada bersama Faezah dan Rozana.
            ‘Jangan cakap kita akan berkolabrasi suka ria dengan mereka ni. Hmmmm.’
            “Kenapa kau pandang macam tu?” Soal Faezah.
            “Tiadalah. Assalamualaikum.” Ucap Nasuha sambil melemparkan senyuman kurang ikhlasnya kepada 2 jejaka yang berada di depannya.
            “Waalaikumussalam.” Jawab mereka serentak kecuali Rozana.
            “Hai Rozana. Saya rindu dengan kamu.” Sapa Nasuha kepada Rozana yang sedari tadi hanya memerhati dirinya.
            “Rindu kamu juga.” Ucap Rozana seraya bersalaman dengan Nasuha.
            “Kau tak rindu aku?” Syazwan senyum lebar di hadapannya.
            “Hmm, buat apa nak rindu kau.” Nasuha mencebik.
            “Yalah siapalah aku ni kan.” Syazwan buat muka sedih di hadapan Nasuha. Nasuha sekadar menjeling sekilas ke arah lelaki itu.
            “Punyalah sesak dalam bas tu. Lambat betul nak keluar.” Adu Khayla Irdina yang baru sahaja tiba.
            “Macam nak patah kaki aku. Kita minum dulu ya.” Usul Rashidah.
            “Aik, Nasuha rileks saja. Korang ni mengeluh bukan main.” Komen Izar.
            “Nasuha tu beruntung, ada orang sediakan dia kerusi. Macam kami ni dari UMS hingga tiba di bandaraya KK ni berdiri sajalah jawabnya.” Jawab Rashidah dengan senyuman perlinya.
            “Cakap nak minum. Jomlah gerak.” Ujar Nasuha cuba mengelak dari terus disakat rakan-rakannya.
            “Ubah topik si kawan.” Ujar Rozana tersenyum seraya mencuit bahu Nasuha.
            “Mana ada. Eh, kau orang….erm, jalan dengan kami sekali ke?” Tanya Nasuha perlahan.
            “Eh, yalah kan memang dah janji.” Jawab Syazwan cepat.
            “Oooooo.”
            ‘OK. Mereka sengaja nak perangkap aku ke apa ni? Kata kita-kita saja tapi kenapa ada Syazwan dan Izar sekali. Ke Rozana dah couple dengan Syazwan? Mungkin jugakan. Izar pula? Erm, temankan Syazwanlah kut. Tup-tup boleh mengorat Faezah. Logik juga. Eh, tapi mamat mangkuk tu jalan dengan siapa. Aku fikir pasal dia buat apa?! Lagi bagus kalau dia bawa haluan dia sendiri, selamat hati aku yang dah banyak dia calarkan ni.’ Fikir Nasuha sendirian.
            “Hoi!” Terdengar satu sergahan dari belakang dan seraya itu juga tali begnya direntap kasar ke belakang.
            “Mak!” Nasuha terjerit kecil akibat terkejut.
            “Senang kena ragut.” Hafiz Azhar tersengih melihat wajah cuak Nasuha.
            “Kau ni kannnnnnnnn. Eeeeeeee.” Nasuha tarik muka empat belas.
            Sorry. Aku gurau sajalah Taubat Nasuha. Nasib baik aku tau, kalau peragut sebenar tadi, macam mana?!” Lelaki itu angkat kening 2 kali.
            ‘Oh, tidakkkkkkkkkkkkkkkkkk. Kenapa harus ada mamat mangkuk ni. Help me! Help me! Sabar Nasuha sabar. Tarik nafas hembus. Tarik nafas hembus. Bencinya. Suka hati dia saja bila nak baik dengan aku, bila nak marah aku, bila nak kutuk aku. Tak reti pun nak minta maaf pasal dia marah-marah aku hari tu. Tiada hati dan perasaan betullah mamat mangkuk ni. Eeee geramnya.’
            “Oi, makcik mengelamun jauh nampak.” Tegur Hafiz Azhar membuatkan Nasuha tersentak. Dia kerling lelaki yang tidak lekang dengan senyuman itu.
            “Suka hati akulah.”
            ‘Eh, mana dah kawan-kawan yang lain ni?!’ Nasuha menoleh ke kiri dan ke kanan.
            “Tak payah nak pusing-pusing cari mereka. Tu tengok di depan sana. Orang dah 2 kali lintas jalan, kau pula keras macam batu di sini.” Ceramah Hafiz Azhar.
            “Suka hati akulah. Sibuk saja.”
            “Dah tu kau tercegat apa lagi? Lintaslah cepat.” Arah Hafiz Azhar. Nasuha hanya membatu, malas ingin melintas jalan bersama lelaki itu. Hafiz Azhar menarik tali beg yang terdapat di belakangnya agar sama-sama melangkah untuk melintas jalan.
            “Kau orang tengok Hafiz dan Suha tu. Comel pula aku tengok.” Luah Rashidah.
            “Kalau aku lagi comel.” Gumam Khayla Irdina perlahan.
            “Apa kau cakap tadi Khayla?” Soal Faezah meminta kepastian.
            “Tiada apa. Kenapa? Kau dengar aku cakap sesuatukah?”
            “Ya macam kau ada cakap sesuatu tapi kurang jelas.” Faezah jungkit kening kanannya. Khayla Irdina sekadar senyum dan menggeleng.
            ‘Buat malu betul mamat mangkuk ni. Boleh pula pegang tali beg masa nak melintas jalan. Dia ingat aku budak kecilkah?! Hish, tapi okaylah dari pegang tangankan. Kalau pegang tangan aduiii, tambah lagi timbangan dosa.’ Nasuha mengeluh sendiri.
            Selepas selesai makan tengah hari di sebuah restoran yang terdapat di dalam bangunan Centre Point dan menunaikan solat zohor yang terletak di tingkat 3, mereka berjalan menyusuri kedai-kedai yang terdapat di sana. Dari satu kedai ke satu kedai, dari satu tingkat ke satu tingkat mereka jelajahi. Kelihatan Faezah, Rozana dan Hafiz Azhar berbincang sesuatu. Manakala Nasuha pula sibuk membelek baju yang tergantung di luar sebuah kedai sambil matanya mencuri pandang ke arah 3 susuk tubuh yang sedang asyik berbicara itu.
            “Jom tengok wayang. Masuk jam 3.30 petang nanti.” Beritahu Rozana.
            “Erm, kamu tengoklah. Aku nak balik kampung. Kalau lewat gerak dari sini, nanti aku lewat sampai kampung.” Ujar Nasuha menolak berserta alasan.
            “Alaaa Suha, sekejap sajalah. Habis tengok wayang nanti kau baliklah.” Pujuk Rashidah.
            “Maaf. Erm, 4.30 petang tu lewat sudah tau. Tunggu bas penuh lagi, jalan sesak lagi, nanti aku sampai lewat di rumah. Kau orang tengoklah.”
            “Please Suha.”
            Sorry, tak dapat.”
            “Suhaaaaa.” Rengek Rashidah.
            “Memang tidak dapat. Nanti aku sampai lewat di rumahlah.”
            “Kenapa?” Soal Syazwan.
            “Suha mahu balik kampung sekarang.” Jawab Rozana.
            “Taubat Nasuha tu sengaja bagi alasan. Padahal dia takut mahu masuk panggung wayang.” Ujar Hafiz Azhar membuatkan semua mata tertumpu kepadanya. “Maklumlah panggungkan gelap. Nanti dia keluar pergi tandas dia tidak tahu pula jalan nak balik tempat duduk dia. Siang hari yang cerah pun boleh sesat apa lagi dalam panggung yang gelap tu kan?! Mesti nanti dia menjerit minta tolong sebab sesat tidak tahu mana kerusi dia.” Giat Hafiz Azhar gembira dan rakan-rakan yang ada tergelak mendengar bayangan Hafiz Azhar itu.
            “Eeeeeee kau ni kan, aku betullah nak balik kampung.”
            “Mengaku sajalah Taubat Nasuha yang kau takut sesat dalam panggung yang gelap tu kan? Kau jangan risau, kami ada dengan kau jadi kau tidak akan sesat.” Hafiz Azhar kenyit mata nakal ke arah gadis yang sudah mula mengetap bibir geram.
            ‘Menyampah betul aku dengan mamat mangkuk ni. Sabarrrrrrrrr Nasuha. Ikut hati aku nak tendang-tendang mamat ni. Ya Allah, Engau sabarkanlah hatiku ini.’ Doa Nasuha di dalam hati sambil kakinya melangkah menuruni tangga bergerak itu.
            “Kau ni Hafiz kalau satu hari tidak kacau Nasuha tu tidak sahkan.” Marah Rozana.
            “Memang pun.”
            “Entah sampai bilalah kau mahu kacau Nasuha ni.” Keluh Rozana.
            “Sampai Taubat Nasuha menangis.” Tutur Hafiz Azhar sambil melemparkan senyuman nakalnya kepada Nasuha yang berada di belakangnya.
            “Sampai aku menangis?! Huh, sorrylah aku mahu menangis.”
            “Betul kau tidak akan menangis?”
            “Betullah. Tambah lagi aku tahu memang itu matlamat kau kan. Lagilah aku tidak akan menangis.”
            “Kita tengok nanti. Lepas ni kalau aku nampak kau dari jauh lagi aku akan jerit Taubat Nasuha sesat! Taubat Nasuha sesat! Dan pastikan kau tidak menangis kalau aku buat macam tu depan orang ramai. Sebab aku memang mahu tengok kau menangis sebab aku.” Hafiz Azhar angkat kening kepada gadis itu
            “Dan aku bertekad cemerlang tidak akan terjumpa kau lagi lepas ni.”
            “Hahaha UMS tu kecil sajalah Taubat Nasuha. Di mana pun kita boleh jumpa dan terjumpa.”
            “Tidak akan!”
            “Kau tengok sajalah nanti.” Hafiz Azhar senyum meleret kerana begitu yakin mereka pasti akan bertemu lagi selepas ini.
            “Eeeeeeeeeeeeeeeeeee.” Nasuha menghayun sekuat hati penumbuknya dan tepat mengenai belakang bahu Hafiz Azhar. Lelaki itu menoleh dan memandang tepat ke arahnya.
            ‘Ok, dia pandang aku?! Kau pandang dia balik Nasuha. Kau jangan takut.’ Gadis itu memberi kata semangat pada dirinya. Dia mendada dan mendongak cuba membalas pandangan lelaki di hadapannya. ‘Ni kalau dia balas tumbukan aku, sah lelaki ni dayus.’ Bisik hatinya.
            ‘Boleh tahan juga tumbukan Taubat Nasuha ni.’ Hafiz Azhar sekadar tersenyum senget melihat tingkah Nasuha kala itu seraya berpaling tidak mahu terus menatap mata dan wajah gadis genit itu.
            “Kau serius tidak mahu ikut kami tengok wayang?” Soal Faezah meminta kepastian.
            “Betullah. Lagi pun aku memang dah plan nak balik kampung minggu ni.”
            “Alasanlah tu.”
            “Aku memang nak balik kampunglah pakcik!”
            “Kau balik kampung naik bas?” Soal Rashidah. Nasuha angkat kening dua kali bagi menjawab pertanyaan Rashidah itu.
            “Serius? Kau balik satu orang ja?” Soal Hafiz Azhar pula.
            “Seriuslah.”
            “Kau tahukah pintu keluar ni?”
            “Tahulah.”
            “Kau tahu perhentian bas kau untuk balik kampung?”
            “Mestilah.”
            “Erk? Ke temberang saja lebih ni? Malu mahu mengaku kau tidak tahukan?!”
            “Tahulah. Dah berapa kali aku balik kampung naik bas.”
            “Betul?!”
            “Betullah.”
            “Hati-hati, nanti si sesat terus sesat. Mahu balik Papar tapi naik bas Penampang. Hahaha” Sakat Hafiz Azhar seraya rakan-rakan lain turut tergelak mendengarnya. Cepat sahaja kaki Nasuha menendang kaki lelaki yang menyakitkan hatinya itu.
            ‘Amboi dah mula mengganas minah ni. Ni betul-betul dah hangin ni. Nasib baik kau nak balik Taubat Nasuha, kalau tidak mesti hari ni kau menangis dah oleh aku. Bagi kau peluang kali ni. Lain kali pasti kau menangis punya.’ Tekad Hafiz Azhar.
            Sepanjang perjalan pulang ke kampungnya, Nasuha leka membaca novel biarlah YM bicara karya Hani Ramsul yang telah lama dibelinya tetapi baru dapat membacanya bermula semalam. Tiba-tiba telefonnya berbunyi menandakan ada pesanan ringkas masuk. Tertera nama Rozana di skrin telefonnya. Dia segera membuka pesanan ringkas dari Rozana itu.
            Suha sudah sampai mana?
            ‘Caringnya kau Rozana. Hmmm ke ada barang aku yang tertinggal.’ Cepat sahaja Nasuha membalas mesej tersebut.
            Jambatan papar. Kenapa?
            Tiada. Hafiz tanya, dia takut kau sesat naik bas Penampang.
            ‘Hampeh betullah. Sabar Nasuha sabar. Ya Allah bantulah aku dalam menabahkan dan menguatkan hatiku dari terus disakiti oleh mamat mangkuk bernama Hafiz Azhar.’ Doa Nasuha di dalam hati seraya memasukkan telefon bimbitnya di dalam saku begnya.
           

Khamis, 2 Januari 2014

Cintamu Limited Edition (22)


BAB 22
Nasuha, Rashidah dan Khayla Irdina duduk di perhentian bas kolej kediaman Cemerlang Dinamik. Nasuha ketap bibir setelah melirik jam di pergelangan tangannya. Dia garu kepala yang dibaluti tudung itu. Khayla Irdina mengerling riak rakannya itu dan kemudian memandang Rashidah yang langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi.
“Aku rasa luculah.” Ujar Rashidah tiba-tiba.
“Apa yang lucu tu Ida.” Soal Nasuha sambil mengangkat kening dua kali.
“Lucu sebab kau dari awal semester hari tu mengelak dari satu kumpulan, satu program dengan Hafiz. Tup-tup dah nak hujung semester menyertai program di bawah dia pula. Lucukan?!”
“Kalau aku tau program ni di bawah dia aku tidak akan ikut tau. Nasib saja dah sahkan dengan setiausaha tu yang kita akan ikut serta pergi lawatan ni kalau belum sahkan memang aku akan tarik diri.” Tukas Nasuha.
“Kalau dah jodoh tu memang macam tu Nasuha oiiii. Kau kena akui tu semua.”
“Eeeee, tolonglah. Geli OK.”
“Geli konon.” Rashidah tersenyum sinis melihat reaksi rakannya itu.
“Jomlah kita jalan kaki. Kalau tunggu bas memang kita lambatlah.” Usul Nasuha.
            “Bagi saja alasan tiada bas.” Ujar Khayla Irdina bersahaja.
            “Tapi semalam kakak tu cakap berkumpul jam 7 pagi dan bila-bila masa boleh bertolak. Nanti kita kena tinggal” Ujar Rashidah.
            “Jomlah kita jalan kaki. Aku rasa tak best pula kalau kita sampai lewat di sana.” Ujar Nasuha resah.
            “Alaaaa, kau telefonlah Hafiz. Beritahu dia yang sekarang tiada bas.” Ujar Khayla Irdina.
            “Eee, kau ni sikit-sikit suruh telefon Hafiz Azhar tu. Malaslah aku. Jomlah kita jalan kaki.”
            “Jomlah tapi jalan shortcut.” Ujar Khayla Irdina menyatakan persetujuannya.
            Shortcut?!” Soal Nasuha dan Rashidah serentak.
            “Lalu jalan Canselori dan belakang DKP tu. Lepas tu kita ikut tangga D’Bayu untuk pergi SPE. Macam?” Khayla Irdina meminta persetujuan.
            “OK.”
            “Jom.” Ketiga-tiga gadis itu menapak laju meninggalkan perhentian bas kolej kediaman itu dan bertekad untuk tiba di Sekolah Perniagaan Dan Ekonomi sebelum jam 7 pagi.
Hafiz Azhar sibuk memunggah barang-barang untuk di bawa bersama ke Rumah Warga Tua Sri Pritchard, Kinarut yang terletak di daerah Papar. Setelah selesai dia segera duduk di kerusi kosong bersebelahan dengan Izar dan Lea. Dia tergelak mendengar cerita Lea yang menggertak para peserta rombongan agar tiba di sana tepat jam 7 pagi. Sedangkan mereka sedia maklum bas UMS hanya beroperasi jam 7.30 pagi pada hari Sabtu dan Ahad.
“Hafiz! Hafiz!” Jia Hui menjerit-jerit memanggil namanya. Kelihatan gadis berbadan gempal itu berlari-lari mendapatkannya.
            “Kenapa ni Jia Hui?” Soal Hafiz Azhar sedikit panik dengan keadaan Jia Hui yang tercungap-cungap itu.
            “Itu…..saya nampak you punya anak buah jalan kaki ikut belakang itu Dewan Kuliah Perdana.”
            “Bila? Siapa?” Soal Hafiz Azhar lagi.
            “Baru sekejap tadi saya nampak. Tapi kereta saya penuh dengan peralatan teknikal jadi tidak boleh bawa mereka. Itu jalan sana sangat bahayakan, sunyi. Kita tidak tau kalau ada orang tidak bagus mahu mengapa-apakan mereka.”
            “Kenal tak siapa?” Soal Hafiz Azhar pantas.
            “Tengok muka saya kenal tapi nama mereka saya tidak ingat. Ada tiga orang. Err, itu satu orang you selalu sebut itu..hmmm, Taubat.” Adu Jia Hui.
            Hafiz Azhar menarik nafas dalam. Meninggalkan Jia Hui menghilangkan lelah akibat berlari sebentar tadi. Lima belas minit kemudian kelihatan Nasuha berjalan beriringan dengan 2 orang lagi rakannya iaitu Khayla Irdina dan Rashidah sambil rancak bercerita.
            “Taubat Nasuha! Kau apasal? Ada aku suruh kau jalan kaki pergi sini? Jalan yang kau lalu tu bahaya. Jalan tu sunyi. Kalau ada apa-apa berlaku dengan kau macam mana?!” Jerkah Hafiz Azhar sebaik sahaja Nasuha benar-benar berada di hadapan matanya. Nasuha, Khayla Irdina dan Rashidah terkedu mendengar jerkahan Hafiz Azhar itu
            “Aku bukan jalan satu orang. Lagi pun hari dah siang.” Jawab Nasuha cuba mengawal emosi dan suaranya.
            “Menjawab lagikan?! Aku cakap bahaya tu bahayalah. Kalau ada apa-apa berlaku dengan kau macam mana?! Jangan berlagak beranilah.”
Nasuha terkesima. Tidak menyangka bakal diherdik sebegitu oleh Hafiz Azhar di hadapan rakan-rakannya yang lain. Malu dan kesal dengan tindakan Hafiz Azhar terhadap dirinya ketika itu tidak dapat digambarkan. Malu kerana dimarahi dikhalayak ramai dan kesal kerana Hafiz Azhar meletakkan kesalahan itu di bahunya sahaja tanpa melibatkan 2 orang lagi rakannya yang terlibat secara langsung. Namun dia hanya mampu mendiamkan diri tanpa sebutir penjelasan untuk membela dirinya. Perasaan benci yang dahulunya hanya sekelumit kini kian merebak dan menggunung terhadap lelaki itu.
“Kau okay?” Soal Rashidah teragak-agak.
“Hmmm. Aku pergi tandas dulu.” Ujar Nasuha seraya berlalu pergi. Cepat sahaja Khayla Irdina mendekati Rashidah apabila Nasuha berlalu meninggalkan mereka.
“ Nasuha menangiskah?”
“Tengok tadi belum lagi menangis tapi macam mahu menangislah.”
“Hafiz pun satu, awal pagi lagi dah tengking Nasuha. Kalau aku pun jadi Nasuha, aku malu kut. Ramai pula senior tengok tadi. Dah tu yang aku pelik tu dia marah Nasuha sajakan tapi dia tidak marah kita.” Bebel Khayla Irdina
“Buat apa dia marah kita. Kita ni bukan penting pun bagi dia.” Ujar Rashidah bersahaja.
“Jadi Nasuha tu pentinglah?” Khayla Irdina kerling Rashidah di sebelahnya.
“Kau ni Khayla cubalah buka mata sikit. Tengok cara si Hafiz tu layan Nasuha pun boleh tau kan.”
“Biasa saja aku tengok.” Jawab Khayla Irdina acuh tak acuh.
“Erm, suka hati kaulah.” Malas benar Rashidah berbicara dengan Khayla Irdina yang dirasakan mempunyai sedikit perasaan cemburu terhadap rakannya sendiri.
“Taubat Nasuha mana?” Soal Hafiz Azhar yang baru sahaja muncul di hadapan mereka.
“Tandas.” Jawab Khayla Irdina cepat.
“Kejap lagi boleh naik bas tapi sebelum tu boleh ambil sarapan kamu di foyer.” Ujar Hafiz Azhar.
“Erm, Hafiz.” Seru Khayla Irdina.
“Ada apa?” Soal Hafiz Azhar mendatar.
“Kau tidak marah kami kan?! Nasuha tu yang takut datang sini lewat, tu yang dia ajak kami berdua jalan kaki pergi sini. Penat tau. Sakit kaki ni.” Adu Khayla Irdina.
“Padan muka. Siapa suruh jalan kaki.” Jawab Hafiz Azhar separuh mengejek.
“Nasuhalah yang suruh.” Khayla Irdina buat muncung itiknya.
“Kalau ya pun nak marah tak payahlah tengking sampai macam tu sekali. Kesian Suha.” Ujar Rashidah perlahan. Hafiz Azhar pandang sekilas wajah Rashidah dan terus sahaja berlalu pergi.
“Ishhhh, kau ni ada pula cakap macam tu dengan Hafiz. Memang patut pun dia marahkan. Kalau jadi apa-apa dengan kita macam mana. Siapa yang perlu bertanggungjawab?! Dia jugakan.” Bela Khayla Irdina.
“Diamlah kau makcik. Membebel saja.” Getus Rashidah geram seraya meninggalkan Khayla Irdina di situ sendiri.
“Kalau aku makcik, kau tu nenek.” Gumam Khayla Irdina.


RUMAH WARGA TUA SRI PRITCHARD KINARUT
            Wanita berusia dalam lingkungan awal 70-an itu menggamit Nasuha agar menghampirinya. Nasuha yang sedikit terkejut melangkah perlahan menghampiri wanita yang sedang duduk di katil bujang itu. Nasuha senyum melihat wanita itu walau pun hatinya menangis melihat dan mendengar wajah tua itu bercerita serba sedikit tentang dirinya.
            “Marilah duduk sini. Muka dia sama macam muka cucu nenek yang nenek jaga dulu. Mungkin dia pun sudah besar dan cantik macam ni juga.” Ujar wanita bernama Mariam sementara Nasuha melabuhkan punggung di katilnya.
            “Lama sudah nenek duduk sini?” Soal Natrah lembut.
            “Dekat 10 tahun sudah. Dulu nenek duduk dengan anak tunggal nenek. Safwan namanya. Anak nenek tu baik tapi bini dia tu tidak suka nenek. Semua perkara dia saja yang betul, dia saja mahu menang. Mula-mula tu Safwan masih bela nenek biar pun bini dia tu marah dan suka salahkan nenek tapi akhirnya Safwan terpaksa beralah juga. Mereka hantar nenek di sini.”
            “Oooooo.” Masing-masing tekun dan mengangguk faham akan cerita Nenek Mariam itu.
            “Mereka ada lawat nenek di sini?” Soal Lea pula.
            “Ada. Tapi itu dulu. Masa mula-mula mereka hantar nenek di sini.Tiga bulan sahaja mereka datang melawat nenek lepas tu sampai sekarang mereka tiada datang lagi. Entah masih hidup atau sudah mati mereka tu. Yang melawat dulu tu pun cuma Safwan dan anaknya si Umairah tu saja yang datang. Kalau bini si Safwan jangan cakap batang hidung bayang dia pun tidak pernah nampak. Benci benar dia dengan nenek ni.” Luah Nenek Mariam sedih namun dia masih menguntum senyum di bibirnya.
            “Kenapa menantu nenek layan nenek macam tu?” Soal Natrah ingin tahu.
“Sebab nenek tegur dia. Sakit mata nenek ni tengok dia berkemban sambil jemur kain di ampaian. Rumah pula tepi jalan besar jadi kurang manis pula kalau orang lain nampak. Lagi pun kenalah jaga kehormatan suamikan. Sebab tu dia marah sangat dengan nenek. Katanya nenek ni menyibuk urusan rumah tangga mereka dan tidak tahu diuntung. Banyak kali juga nenek minta maaf dengan bini si Safwan tu tapi darah muda ni memang susah nak surut barannya.”
            “Kan bagus nenek tegur macam tu. Untuk kebaikkan dia juga.” Ujar Adam yang sedari tadi tekun mendengar cerita Nenek Mariam itu.
            “Kamu bilang bagus tapi bagi dia tidak. Manusia ni macam-macam jeniskan? Ada yang boleh ditegur, ada yang langsung tidak boleh ditegur, tidak boleh dinasihatkan, tidak mahu dengar pendapat orang lain. Macam-macam.” Nenek Mariam geleng kepala sambil menggosok lembut tangan Nasuha
            “Siapa nama?” Soal Nenek Mariam setelah puas bercerita tentang kisah hidupnya.
            “Nasuha.”
            “Sedap nama tu.”
            “Terima kasih nek.” Jawab Nasuha manja sambil cuba menahan air matanya.
            “Mama sama bapa masih ada?” Tanya Nenek Mariam.
            “Ada nek.”
            “Jaga mama sama bapa tu betul-betul. Jangan kasi abai mereka macam mana anak dan menantu nenek kasi abai nenek. Kirim salam sama mereka nanti ya cakap nenek di rumah warga tua kirim salam.” Ujar Nenek Mariam ramah membuatkan air matanya menitis jua. Cepat sahaja Nasuha menyeka air mata itu. Dia tidak mahu Nenek Mariam melihat air matanya itu.
            “Ermmmm.” Hanya itu sahaja yang mampu terluah di mulut Nasuha. Hatinya sebak melihat tingkah nenek itu.
            “Jangan nangis. Nenek tidak apa-apa. Nenek sudah biasa hidup begini.” Ujar Nenek Mariam sambil mengusap lembut belakang Nasuha.
            “Control Suha.” Ujar Izar dari pintu bilik tersebut. Nasuha ketap bibir.
            “Nek, Suha ada kerja di luar sekejap. Nanti Suha datang semula di sini ya.” Ucap Nasuha meminta diri. Dia capai tangan kanan Nenek Mariam, disalam dan dicium seraya itu satu kucupan hangat hinggap di dahi dan pipi wanita tua itu. Cepat sahaja Nasuha melangkah keluar dari bilik itu tanpa sempat Nenek Mariam berkata apa-apa.
            “Control, control.” Ujar Izar lagi sebaik Nasuha melewatinya. Nasuha tidak mempedulikan kata-kata Izar itu sebaliknya terus sahaja berlalu mencari tandas untuk menghamburkan tangisannya yang ditahan sedari tadi.
            ‘Mana pula tandas ni.’ Desis hati Nasuha. Air matanya yang mengalir deras itu begitu sukar dihapuskan olehnya.
            “Kau mahu pergi mana?” Soal satu suara membuat Nasuha terkejut.
            “Tandas.” Jawabnya perlahan sambil berpaling ke arah lain agar lelaki itu tidak dapat melihat air matanya yang membasahi pipinya.
            “Aku tunjukkan.” Ujar Hafiz Azhar serius sambil berjalan di hadapan untuk menunjukkan kedudukan tandas kepada gadis yang kononnya cuba menyembunyikan air matanya dari dilihat. Hakikatnya sejak di bilik Nenek Mariam lagi dia sudah melihat tingkahnya yang serba tidak kena itu namun dibiarkan sahaja gadis itu dengan naluri yang penuh kelembutan dan sensitif itu.
            “Kau okay ka ni?” Soal Hafiz Azhar sambil memperlahankan langkahnya
            “Okay.”
            “Betul ni?”
            “Betullah. Mana tandas?” Soal Nasuha sedikit geram dengan lelaki itu.
            “Ni…” Hafiz Azhar berhenti betul-betul di hadapan pintu masuk tandas tersebut. Tanpa sepatah bicara lagi Nasuha terus sahaja melangkah masuk ke dalam tandas itu.
            Dia menangis semahunya di dalam tandas itu. Tidak dapat dibayangkan betapa peritnya hati ibu tua itu. Teganya anaknya itu membuang ibu yang mengandungkan, melahirkan dan bersusah payah membesarkannya hanya kerana ingin menjaga hati sang isteri yang baru sahaja dikenali setelah dewasa. Hatinya berdoa dan merintih agar dia dijauhkan dengan sifat-sifat sedemikian rupa dan anak nenek Mariam sedar akan kesilapannya.
            Tok! Tok! Tok!
            “Suha kau okay?” Soal Rashidah dari luar.
            “OK.” Nasuha menjawab sambil cuba menghapuskan air matanya dengan tapak tangan.
            “Keluarlah.” Tuturnya lembut. Nasuha menarik daun pintu dan segera keluar dan menuju ke sinki. Dia mencuci mukanya untuk menghilangkan kesan tangisannya.
            “Lama lagikah kita di sini?” Soal Nasuha kepada Rashidah.
            “Entah. Kenapa? Dah tak larat tengok penghuni di sini?” Soal Rashidah sambil tersenyum memandang rakannya itu.
            “Hati ni yang tak larat. Sedihkan sebab anak-anak mereka tinggalkan mereka di sini dan langsung tak datang melawat pun. Harap kita takkan jadi macam tu.” Ujar Nasuha penuh harapan dan setitik lagi air matanya jatuh di pipi.
            “Alololo sensitifnya.” Rashidah mendakap Nasuha, cuba menenangkan hati rakannya itu. Nasuha menangis lagi.
            “Korang buat apa lama-lama di dalam tu?” Jerit Hafiz Azhar dari luar.
            “Ha suara musuh tradisi kau dah muncul dah. Sebelum dia masuk sini, baik kita keluar. Sudah, jangan menangis lagi. Cuci muka tu.” Ujar Rashidah lembut sambil menyeka air mata Nasuha dengan ibu jarinya.
            “Korang okaykah tidak?” Jerit Hafiz Azhar lagi.
            “OK. Kejap lagi kami keluar.” Ujar Rashidah sambil menapak keluar. Dia jengilkan matanya kepada Hafiz Azhar.
            “Aku ingat kamu dah pengsan dalam tu tadi. Dia okay tak?” Soal Hafiz Azhar sambil meninjau ke dalam tandas.
            “Jiwa sentimental, sensitif, penyanyang macam itulah. Pantang terusik sikit hati tu dah hujan lebat.” Ujar Rashidah separa berbisik.
            “Lebat sampai banjir?”
            “Kalau kau tidak kawal bukaan empangan tu memang banjir besar.” Ujar Rashidah diikuti dengan tawa di hujung bicaranya. Hafiz Azhar sekadar tersenyum geli hati mendengar bicara Rashidah itu.
            “Suha, jom.” Ajak Rashidah dari luar tandas.
            “Kejap.” Nasuha segera menapak keluar. Sengaja melarikan wajahnya dari di tatap oleh lelaki yang mendapat jolokan mamat mangkuk olehnya itu.
            “Taubat Nasuha, kau okaykah?” Soal Hafiz Azhar namun tiada jawapan.
            “Kau jangan risau Hafiz, Suha okay. Dia dah cukup menangis di dalam tadi sampai basah baju aku oleh air mata dia.” Ujar Rashidah nakal membuatkan Nasuha mencubit lembut belakangnya.
            “Aku nak hulur tisu, aku ni bukan mamat tisu, nak hulur sapu tangan pun tiada juga. Kalau kau nak menangis lagi, ni aku pinjamkan kau bahu aku. Kalau kau sudilah tapi aku tahu memang kau tak sudikan. Yalah siapalah aku kan?! Kalau nak juga kenalah jadi yang halal dulu.” Ujar Hafiz Azhar sambil mencuri pandang ke arah Nasuha.
            “Ehemmm, hemmmm…hemmmm. Adoiiiiii, sakit tekak pula tiba-tiba.” Ujar Rashidah sambil mata silih  berganti memandang antara Nasuha dan Hafiz Azhar.
            “Jalan cepat sikitlah. Mahu tinggal sinikah?” Lea menggamit agar mereka bergerak lebih pantas.
            “Ini rumah warga tua, kalau rumah untuk remaja, apa salahnya kan” Jawab Hafiz Azhar bersahaja sambil mempercepatkan langkahnya.
            “Nasuha.” Panggil Nenek Mariam yang berjalan perlahan menghampiri mereka. Cepat sahaja Nasuha mendapatkan wanita tua itu.
            “Jaga diri elok-elok cu. Ada masa nanti datanglah lawat kami di sini lagi.” Ujar Nenek Mariam dengan segaris senyuman.
            “Baiklah.” Jawab Nasuha sedikit sebak.
            “Jangan menangis lagi. Nenek dan kawan-kawan nenek semua gembira tinggal sini.” Ujar Nenek Mariam sambil mengesat air mata Nasuha.
            “Nenek jaga diri elok-elok. In shaa Allah, umur panjang dan ada masa nanti saya dan kawan-kawan datang sini lagi.” Ujar Nasuha sambil memeluk erat Nenek Mariam.
            Bas UMS berwarna biru tua itu bergerak perlahan melalui jalan besar Papar-Kota Kinabalu. Hafiz Azhar berdiri dan mencari kelibat Nasuha. Dia senyum melihat gadis itu masih lagi menyeka air matanya.
            “Pengunguman! Pengunguman! Kepada penumpang bas, bas ini akan banjir sebentar lagi, sila sediakan sampan, bot atau yang sewaktu dengannya bagi mengelakkan anda dibawa arus banjir.” Ujar Hafiz Azhar.
            “Banjir?!” Soal Natalie Betsy dengan dahi yang berkerut.
            “Ya, banjir. Kan sekarang ni hujan lebat.” Jawab Hafiz Azhar bersahaja. Nasuha ketap bibir. Dia tahu dirinya sedang dipersendakan oleh lelaki itu.
            “Saya tengok panas terik.” Natalie Betsy garu kepala yang tidak gatal. Hafiz Azhar dan beberapa orang rakannya tergelak melihat memek muka bingung yang dipamerkan oleh Natalie Betsy ketika itu.
            “Di luar memang panas terik tapi dalam bas ni hujan lebat.” Ujar Hafiz Azhar lagi sambil tersenyum melihat Nasuha yang mengerling tajam.
            “Kenapa? Penghawa dingin kamu rosakkah Hafiz?” Soal Natalie membuat Hafiz Azhar tergelak besar.
            “Bukan penghawa dinginlah Natalie. Taubat Nasuha ni yang hujan lebat di tempat duduk dia.” Terang Hafiz Azhar.
            “Ooo. OK saya faham sudah sekarang.” Ujar Natalie Betsy dengan kepala yang diangguk beberapa kali.
            ‘Eeeeeee, mamat mangkuk ni, sabar sajalah. Sudahlah marah orang pagi tadi, ni nak mengejek orang lagi. Tiada perasaankah apa?! Sudah marah-marah orang tu mintalah maaf. Sejuk juga sikit hati, ini tidak tambah lagi nak menyakitkan hati orang. Kalaulah membunuh itu bukan satu kesalahan dan bukan satu dosa, kaulah manusia pertama aku nak bunuh.’ Nasuha gigit gigi, menahan geram dan amarahnya.