Jumaat, 15 Februari 2013

Cintamu Limited Edition (16)



BAB 16
Hafiz Azhar memandang Nasuha tanpa berkedip. Dia cuba menghantar isyarat melalui pandangan mata itu. Nasuha sekadar memandang sekilas dan kemudiannya menggeleng. Lelaki itu tidak berpuas hati dengan tindak balas Nasuha. Dia berdehem kuat. Nasuha faham akan maksud deheman tersebut namun dia hanya mampu menjeling tajam ke arah lelaki itu.
            “Saya rasa cukuplah dengan skrip saya ni. Tidak perlu skrip orang lain. Saya tak nak skrip saya ditokok tambah atau diubah suai. Korang faham tak?!” Ujar Nur Shammiza, pelajar jurusan penulisan kreatif itu meninggi sambil melempar skrip yang dibuatnya ke atas meja.
            “Mungkin ahli lain punya idea yang lebih baik lagi untuk disumbangkan dan mungkin boleh gabung dengan idea kamu. Kita ada 13 orang dan kita akan ada 13 idea.”
            “Ala, nak idea orang lain apa lagi. Ini memang bidang akulah. Yang lain ni mana ada dari penulisan kreatif, sah tak tau apa-apa. Budak-budak SPE lagilah asyik tau tekan kalkulator saja.” Perli Nur Shammiza.
            “Adoi berlagaknya perempuan ni.” Hafiz Azhar merengus kasar. Nasuha teguk liur apabila mendengar Hafiz Azhar menjawab sekasar itu.
            “Kenapa? Budak SPE mampukah buat sebaik aku yang memang sah-sah budak Sekolah Pengajian Seni?”
            “Beginilah, errr…..apa nama kau tu? Sham? Sha?”
            “Shasha.”
            “Oh Shasha. Beginilah Shasha, aku ni bukanlah macam kau yang suka memperlekehkan kemampuan pelajar dari sekolah lain. Aku hormat kau sebagai pelajar seni apatah lagi ambil jurusan penulisan kreatif yang sememangnya bidang kau dan setakat skrip macam ni memang makanan kau. Apa orang kata tu hal macam ni celah gigi kau sajakan tapi kau kena ingat semua orang ada idea tersendiri dan tak semestinya kau ambil penulisan kreatif kau juga kreatif.” Hujah Hafiz Azhar cuba memuaskan hati semua orang lebih-lebih lagi hatinya sendiri.
            “Ada ke?” Soal Nur Shammiza tidak mahu mengaku kalah.
            “Mestilah ada. Tu Taubat Nasuha tu, budak business tapi kau jangan pandang tak ada mata, dia pernah tulis skrip untuk sebuah program peringkat negeri di bawah sebuah kementerian.” Hafiz Azhar cuba pecahkan tembelang Nasuha.
            “Hebat!” Nur Shammiza bertepuk tangan sambil tersenyum sinis.
            ‘Dah, mampus aku. Memang kau cari nahas Hafiz Azhar.’
            “Kita tengoklah skrip siapa yang bagus, skrip itulah yang kita ambil.”
            “Perasan bagus betullah perempuan ni.” Gumam Hafiz Azhar.
            “Sabar. Saya rasa kita guna saja skrip yang Shasha buat. Selagi ianya mengikut tema dan memenuhi kehendak Prof kita terimalah. Kita usulkan pada Prof dan kita tengok Prof kata apa.” Tutur Nasuha perlahan.
            “Kenapa? Kau takut skrip kau tak sehebat skrip aku?” Soalnya angkuh.
            “Dia takut skrip kau tu yang akan dicampak ke dalam tong sampah.” Ujar Hafiz Azhar geram apabila melihat Nasuha hanya mendiamkan diri.
            “Ehem.” Nasuha memandang tajam ke arah Hafiz Azhar.
            “Kau takut?” Soal Nur Shammiza lagi.
            “Mestilah takut. Aku ni apalah sangat. Lainlah kau memang dah terang lagi bersuluh budak pengajian seni, jurusan penulisan kreatif pula tu.” Nasuha merendah diri.
            “Kata tulis skrip sampai peringkat negeri.”
            “Errr, Hafiz Azhar acah saja tu. Bukan betul pun.”
            “Baguslah. Aku dah bagi-bagi watak nanti kamu semua copy skrip ni dan baca. Hari sabtu ni kita jumpa dan buat latihan.” Ujar Nur Shammiza dan terus sahaja meninggalkan ahli kumpulannya yang lain. Masing-masing geleng kepala dengan perangai Nur Shammiza itu.
            “Kau bagi muka sangat dengan dia.” Ujar Amir Shah setelah bayang Nur Shammiza tidak kelihatan lagi.
            “Bukan bagi muka tapi kamu semua kena ingat bekerja dalam satu kumpulan ni kenalah sering bertoleransi.”
            “Dah dia pun tak nak bertoleransi dengan kita.” Rungut Christie Nala Agam pula dengan loghat Sarawaknya.
            “Sebab itulah kita yang harus bertoleransi. Kalau semua orang dalam kumpulan ni perangai macam dia memang haru-birulah kumpulan kita ni. Kan Hafiz Azhar?” Sindir Nasuha. Hafiz Azhar buat-buat tidak tahu dan yang lain sekadar tersenyum simpul melihat reaksi Hafiz Azhar itu.
            “Okaylah perbincangan pun dah tamat kita bersurailah. Aku balik dulu. Perjumpaan akan datang jangan lupa suruh kawan baik kau tu datang.” Ujar Hafiz Azhar seraya bingkas bangun dan berjalan perlahan meninggalkan meja yang diduduki mereka. Begitu juga dengan ahli kumpulan yang lain.
            Nasuha segera bangun dan melihat ke bawah meja. Dia gigit bibirnya sendiri dan bergegas mengejar Hafiz Azhar yang baru sahaja berlalu. Dia pasti, kehilangan sebelah kasutnya itu mesti ada kaitan dengan Hafiz Azhar. Namun kelibat Hafiz Azhar tidak kelihatan. Dia meraba kocek baju kurungnya.
            ‘Argh, telefon pula tertinggal.’ Nasuha berpatah semula ke meja di mana mereka berkumpul tadi. Dia mencapai telefon bimbit yang terdapat di dalam fail besar itu. Cepat sahaja tangannya mencari nama Hafiz Azhar yang terdapat di dalam senarai telefon bimbitnya
            “Hello, kasut aku mana?” Soal Nasuha tanpa memberi salam.
            “Kasut?” Terdengar suara di hujung talian.
            “Kau jangan pura-pura tak tahulah Hafiz Azhar.” Marah Nasuha dengan suara yang sedikit meninggi.
            “Kalau kau nak, kau ambillah di foyer library.”
            “Kau hantar masuk dalam sekarang juga.” Arah Nasuha cuba menahan amarahnya.
            “Kau ambil di luar sekarang. Kalau kau tak ambil aku nak balik ni.” Ujar Hafiz Azhar.
            “Hantar sini sekaranglah Hafiz Azhar!”
            “Kau menangislah dulu.” Ujar Hafiz Azhar lagi. Talian diputuskan oleh Nasuha. Hafiz Azhar sengih sendiri. Tidak lama kemudian Nasuha muncul dengan hanya mengenakan sebelah kasutnya. Dia terus sahaja meluru ke arah Hafiz Azhar tanpa mempedulikan mata-mata yang memandangnya. Hafiz Azhar sengih melihat wajah mencuka Nasuha.
            “Mana kasut aku?”
            “Kau menangis dulu baru aku bagi.”
            “Cepatlah.” Desak Nasuha
            “Cepatlah menangis Taubat Nasuha. Kalau kau tak menangis kau jangan haraplah nak dapat kasut kau.” Ujar Hafiz Azhar sambil meneguk minumannya.
            Nasuha gigit gigi. Ikut hatinya memang dia ingin menangis saat itu tetapi egonya menghalang dari dia menangis di hadapan lelaki itu. Lelaki yang kadang-kala dirasakan begitu baik dan mengambil berat dengan dirinya tetapi kadang-kala dia merasakan lelaki itu terlalu menyakitkan hati dan menyusahkan hidupnya.
            “Hafiz, jom!” Laung Fauzan dari atas motornya.
            “Ha, tengok tu roomate aku pun dah datang. Cepatlah nangis.” Ujar Hafiz Azhar dengan sengihan nakalnya.
            “Cepatlah bagi kasut aku Hafiz Azhar.” Ujar Nasuha dengan mata yang merenung tajam ke dalam mata lelaki itu.
            “Nangis dulu.”
            “Kau ni kenapa? Buang tabiatkah?”
            “Apa masalah kamu lagi ni?” Soal Fauzan.
            “Oh, ini roomate kau. Fauzan yang baik hati lagi budiman, cuba kau suruh roomate kau ni bagi balik kasut aku.” Beritahu Nasuha kepada Fauzan yang baru sahaja turun dari motorsikalnya.
            “Oh, kenal rupanya.”
            “Dah la tu Hafiz. Tak habis-habis menyakat dia.” Ujar Fauzan sambil memegang bahu Hafiz Azhar.
            “Ala, aku suruh dia menangis saja pun, bukan buat apa. Selagi tak menangis selagi tu aku tak bagi dia kasut tu.” Beritahu Hafiz Azhar.
            “Sorry, aku tak akan menangis semata-mata kerana kasut tu.” Tutur Nasuha tegas.
            “Jadi aku boleh buang kasut ni di tasik tu.” Hafiz Azhar menunjukkan tasik yang terdapat berhampiran perpustakaan tersebut.
            “Suka hati kau saja nak buang kasut orangkan.”
            “Kasut orang bukan kasut kau.” Dalam pada itu Fauzan menghulurkan kasut Nasuha dari belakang. Cepat sahaja tangan Nasuha mencapainya. Pada masa yang sama Hafiz Azhar yang menyedari terus sahaja ingin menyambar kasut itu.
            “Upssss, tersentuh tangan aku siap kau.” Nasuha memberi amaran dan segera berdiri menjauhi lagi jarak antara dirinya dan Hafiz Azhar.
            “Okay kali ni kau terlepas sebab Fauzan tolong kau tapi ingat lain kali aku tak akan lepaskan kau.” Azam Hafiz Azhar dan seraya berlalu pergi bersama Fauzan.
            Fauzan geleng kepala melihat tingkah Hafiz Azhar. Kadang-kala terbit pula perasaan simpati apabila mendengar cerita apa yang telah dilakukan oleh Hafiz Azhar, Syazwan dan Azan kepada gadis itu. Dia sendiri bingung dengan perangai teman sebiliknya selama setahun itu. Sukar untuk dipastikan sama ada perlakuan Hafiz Azhar yang kadang-kala bukan sekadar menyakitkan hati tetapi memalukan gadis itu adalah untuk menarik perhatian gadis itu atau sememangnya berniat untuk memalukan gadis itu.     


Nasuha membaca skrip baru yang ditulis oleh Nur Shammiza itu berulang kali. Sekali-sekala dahinya berkerut, wajahnya keruh. Nur Shammiza sekadar mengerling, tahu ahli kumpulannya yang seorang itu enggan melakonkan salah satu babak yang telah dirancangnya. Ahli kumpulan lain sekadar mengeluh lemah. Hampir sejam rakaman drama pendek bertajuk sogit itu tergendala gara-gara Nasuha yang enggan menurut arahan dari Nur Shammiza selaku pengarah drama tersebut.
“Macam nilah, kalau kau tak nak, kita buat semula lakonan ni dan tukar watak kau dengan siapa yang nak.”
“Hei, kau gila apa nak buat semula, dari pagi lagi tau kita buat rakaman ni.” Bangkang Khayla Irdina cepat.
“Kalau tak nak buat semula, suruhlah kawan kau tu lakonkan adegan tu.”
“Aku rasa kalau kita tak lakonkan adegan tu pun bolehlah.” Ujar Nasuha tenang biar pun amarahnya kian membuak ketika itu.
“Masalahnya, itu skrip aku dan aku yang mengarahnya jadi aku mahu kau lakonkan seperti yang aku arahkan.” Bentak Nur Shammiza.
“Beb, kau lakonkan sajalah beb. Bukan apa pun sekadar lakonan saja.” Pujuk Khayla Irdina.
“Ha, betul cakap kawan baik kau tu, sekadar lakonan bukan apa pun. Setakat peluk sikit, sentuh sikit tak luaklah.” Tempelak Nur Shammiza.
“Masing-masing ada prinsip dan aku masih lagi dengan prinsip aku. Aku kata tak boleh, tak bolehlah.” Ujar Nasuha tegas.
“Pergi matilah dengan prinsip kau tu. Sekarang ni aku pengarah dan kamu tu pelakon mestilah ikut arahan aku. Kalau kau terus tak nak, sampai malam pun kita akan di sini” Ugut Nur Shammiza.
Nasuha tarik nafas dalam cuba untuk mengawal perasaan amarahnya yang kini bagai gunung berapi menanti meletuskan larvanya. Dia tidak mahu mengeruhkan lagi suasana yang sememangnya telah keruh itu. Dia berjalan jauh sedikit dari ahli kumpulan yang sedia ada, cuba untuk menenteramkan dirinya sendiri. Manakala Hafiz Azhar pula berjalan menghampiri Nur Shammiza yang sedang bercekak pinggang.
“Kalau dah Taubat Nasuha tu tak nak, tak payahlah paksa dia. Dah prinsip dia macam tu, tak boleh sentuh, tak boleh peluk, kau beralah sajalah. Lagi pun ni semua salah kau, hari tu bagi skrip lain, dah rakaman macam ni kau yang ubah skrip, jadi mana boleh nak paksa dia.” Ujar Hafiz Azhar cuba mempertahankan prinsip Nasuha itu
“Hei Hafiz, cuma peluk pinggang sajalah, pegang tangan sikit bukan aku suruh buat adegan porno pun. Tak luak mana punlah setakat sentuh sikit tu.” Luah Nur Shammiza penuh harapan agar ahli kumpulannya faham akan keinginannya.
“Dia buat begitu sebab dia nak husband dia saja yang pegang part-part tu. Bukan semua lelaki boleh pegang sesuka hati tapi aku tak tahulah orang buta hukum macam kau ni, yang tak tau beza halal dan haram.” Hafiz Azhar menekan suaranya dan cuba mengawal lontaran suaranya namun begitu ada beberapa ahli kumpulannya terasa terpukul dengan kata-katanya itu.
“Tolonglah kau ikut cadangan kami ni. Kau jangalah terikat sangat dengan skrip mengarut kau tu. Prof tu cuma nak tengok kita faham atau tidak tentang tajuk yang kita pilih ni. Bukan dia akan komen macam pensyarah sekolah kau komen. Kau tolonglah faham.” Ujar Faridah perlahan cuba memujuk Nur Shammiza.
“Betul tu, aku setuju.” Sokong Norliza yang sedari tadi mendiamkan diri.
“Arghhhhhh.” Nur Shammiza menjerit, melepaskan tekanannya.
“Panggil Taubat Nasuha tu, cakap dengan dia tak payah buat adegan pegang-pegang, peluk-peluk macam pengarah buta hukum ni suruh.” Ujar Hafiz Azhar sambil memandang Khayla Irdina berharap gadis itu akan memanggil Nasuha yang berada tidak jauh dari mereka.
“Bodoh! Sial!” Jerit Nurshammiza lagi. Geram hatinya apabila rancangannya gagal dan dia pasti Mimi Liyana pasti mentertawakannya kerana tidak dapat menundukkan gadis itu. Dia tidak menyangka gadis itu begitu sukar untuk ditundukkan dan diperdaya. Sia-sia sahaja usahanya untuk mendapatkan gambar gadis itu berpelukan dengan mana-mana lelaki.
“Siapa bodoh?siapa sial?” Tempelak Hafiz Azhar tiba-tiba naik angin bila mendengar ucapan yang terlafaz dari mulut Nur Shammiza.
“Kalau dah sampai nak gaduh macam ni kita stop di sini dan sambung lagi hari lain.” Cadang Nasuha tegas sebaik tiba di kawasan berhampiran.
“Eh, mana boleh.” Bantah hampir semua ahli kumpulan.
“Okay kalau macam tu kita teruskan tapi aku memang minta maaf sekali lagi, aku memang tak boleh lakonkan adegan tu.” Ucap Nasuha perlahan tapi nadanya tetap tegas seperti sebelum ini.
Mereka menyambung semula kerja-kerja penggambaran drama pendek itu setelah tergendala sebentar tadi. Biar pun dalam suasana tegang tapi mereka tetap meneruskan penggambaran tersebut dan akhirnya selesai juga pada jam 7 malam. Sebaik sahaja mereka bersurai cepat sahaja Nasuha, Faridah, Hafiz Azhar, Suhairul dan Amir Shah berjalan ke surau yang terdapat di sana untuk menunaikan solat fardu maghrib yang hampir sahaja tamat waktunya dan  sekali gus menunaikan solat fardu isyak yang tidak lama lagi masuk waktu bagi kawasan Pantai Barat Sabah.
“Kau okay ke Suha?” Soal Faridah sedikit risau dengan keadaan Nasuha.
“Okay.”
“Betul ni? Muka kau pucatlah.”
“Pucat?”
“Pucat sangat. Tengok tangan pun menggigil ni. Kau okay?” Soal Faridah prihatin.
“Okay. Jomlah balik.” Ajak Nasuha.
Sebaik mereka keluar dari pintu surau perempuan kelihatan Hafiz Azhar telah pun menanti kehadiran mereka. Nasuha berlagak biasa seperti tidak ada apa yang berlaku namun langkahnya agak lambat sedikit berbanding yang lain. Hafiz Azhar memperlahankan langkahnya. Mereka saling berpandangan dan Hafiz Azhar angkat keningnya.
“Kau kenapa?”
“Tiada”
“Guys, aku balik dulu. Bapa aku dah tunggu. Apa-apa hal telefon saja ya.” Beritahu Faridah dan terus sahaja meninggalkan mereka.
“Hati-hati Far.” Pesan Nasuha sebelum Faridah hilang dari pandangannya.
Lagu aishiteru sayup-sayup kedengaran. Nasuha membuka begnya dan cuba mencari telefon bimbitnya namun sakit yang dialaminya membuatkan dia duduk di kerusi yang berhampiran sambil memegang bahagian perut dan sekitarnya. Hafiz Azhar berhenti melangkah dan memerhati dengan kerutan di dahi.
“Sakit perut?” Soal Hafiz Azhar. Namun gadis itu tidak menjawab.
“Mana Amir dan Suhairul?” Soal Nasuha pula.
“Dah balik dah.”
“Owhhhh.”
 “Gastrik?” Tebak Amir pula. Nasuha angguk kepala lemah sambil mengetap bibir menahan sakit yang menyerang ulu hatinya.
“Itulah tadi suruh makan tak nak. Sibuk sangat dengan penggambaran tu sampai tak ingat makan minum. Tak ada seleralah itulah inilah. Sekarang siapa yang sakit, sendiri jugakan.” Bebel Hafiz Azhar.
Sekali lagi lagu aishiteri itu berkumandang namun masih lagi sayup-sayup kedengaran. Nasuha capai begnya. Melihat tangan Nasuha yang menggeletar itu cepat sahaja Hafiz Azhar membuka zip beg tersebut dan menyelongkarnya seperti telah diberi keizinan untuk berbuat demikian. Sebaik mendapat telefon bimbit milik Nasuha, cepat sahaja dia menghulurkan kepada gadis itu. Nasuha menjawab panggilan itu dan seketika kemudian mematikan panggila telefon tersebut.
“Khayla?” Soal Hafiz  Azhar.
“Ha’a. Dia tunggu aku di ground floor. Aku gerak dulu.”
“Aku teman kau.” Ujar Hafiz Azhar menawarkan diri. Melihat kesukaran gadis itu membuatkan dia ingin cuba untuk memapah gadis itu tapi dia tahu sifat gadis itu dan segera sahaja membatalkan niatnya itu.
“Aku okaylah.”
“Tak apa aku teman kau sampai tingkat bawah.” Ujar Hafiz Azhar serius.
“Aku okaylah Hafiz Azhar. Kau pergilah balik.”
“Sekarang kata okay, tiba-tiba pengsan kang tak ada siapa nak kutip kau tau. Kau nak beli makanan tak sebelum balik?” Tanya Hafiz Azhar prihatin. Nasuha sekadar menggeleng.
“Jadi nak makan apa nanti. Kita beli makananlah, nanti boleh makan untuk isi perut tu.” Cadang Hafiz Azhar.
“Kau faham tak kalau aku tak mahu tu memang aku tak mahulah tu.” Marah Nasuha. Geram pula dengan sikap Hafiz Azhar seolah mendesaknya untuk mengisi perut di kala itu.
“Eh, Suha kenapa?” Soal Amir Shah yang kebetulan juga ingin turun.
“Gastrik.” Jawab Hafiz Azhar malas.
Amir Shah menawarkan diri untuk memapah gadis itu namun ditolak lembut oleh gadis itu. Hafiz Azhar tarik nafas lega apabila Nasuha menolak pertolongan lelaki itu. Entah kenapa nafasnya seolah tersekat apabila melihat mata lelaki bernama Amir Shah itu begitu leka memandang Nasuha. Dia sendiri tidak pasti sama ada kerisauan yang melanda hatinya kini disebabkan oleh sakit yang dialami oleh Nasuha atau pun risau melihat pandangan mata Amir Shah yang tidak pernah berkelip dari terus memerhati gadis itu.
“Kau kenapa beb?” Soal Khayla Irdina sebaik mereka tiba.
“Jom balik. Aku tak larat dah ni.” Ujar Nasuha lemah.
“Apa kata kita makan dulu.” Cadang Amir Shah.
“Aku tak nak.”
“Perut tu masuk angin, jadi kenalah isi dulu.” Tegas Amir Shah.
“Aku tak nak.”
“Macam mana nak baik kalau…”
“Aku tak naklah. Aku nak balik.” Ujar Nasuha berkeras dan matanya mula berkaca.
“Okay kita balik. Jangan nangis beb. Kalau kau nangis aku jamin 2 orang ni menangis sama.”
“Mana ada aku nangis. Cepatlah balik. Aku dah tak tahan ni.” Ujar Nasuha yang telah pun duduk melutut di lantai itu.
“Aku ambil kereta, kau orang tunggu sini depan pintu tu.” Ujar Amir Shah dan segera berlalu.
“Suha duduk sana.” Ujar Hafiz Azhar sambil menunjuk kerusi yang tidak jauh dari kawasan mereka. Nasuha patuh dan segera duduk di kerusi itu. Tangan Khayla Irdina digenggamnya erat.
“Beb kau boleh tahan tak ni. Aku tengok macam teruk.” Ujar Khayla Irdina cemas dan Nasuha pula sekadar mengangguk lemah.
“Depan ni ada Klinik Panel UMS.” Beritahu Hafiz Azhar.
“Aku tak nak pergi klinik, aku nak balik.”
“Tapi tangan kau ni sejuk beb.”
“Aku nak balik bilik sajalah. Nanti okaylah ni.” Ujar Nasuha cuba untuk mengelak.
‘Takut nak jumpa doktorlah tu.” Gumam Hafiz  Azhar sambil memandang Nasuha yang pucat-lesu.
Tidak lama kemudian Amir Shah muncul bersama keretanya di hadapan pintu utama One Borneo Hypermall. Hafiz Azhar segera membuka pintu kereta untuk Nasuha dan Khayla Irdina. Amir Shah tidak tunggu lama terus sahaja memecut laju keretanya. Tiba-tiba Khayla Irdina meminta Amir Shah memberhentikan keretanya di tepi jalan dan segera turun kerana Idrus ada menjemputnya. Amir Shah dan Hafiz Azhar terus sahaja meneruskan niat untuk menghantar Nasuha balik ke asrama.
“Terima kasih.” Ucap Nasuha sebaik kereta Amir Shah berhenti betul-betul di hadapan biliknya.
“Kau larat nak jalan?” Soal Amir Shah.
“Erm.” Itu sahaja yang mampu dijawab olehnya dan terus melangkah laju menuju ke biliknya. Setiba di bilik Nasuha terus sahaja berbaring di katilnya tanpa mempedulikan teman-teman sebiliknya yang lain. Baginya hanya tidur sahaja yang dapat mengurangkan rasa sakitnya kala itu.
Laungan azan subuh dari Masjid Universiti Malaysia Sabah mengejutkan Nasuha dari lenanya. Dia segera bangkit dan menuju ke bilik mandi. Selepas mandi dan berwuduk dia segera mengejutkan rakan-rakan sebiliknya yang lain untuk menunaikan solat fardu Subuh pada hari itu. Usai menunaikan solat subuh, nasuha segera melipat telekung dan sejadahnya.
“Suha kenapa semalam?” Soal Aznizah.
“Erm, gastrik.”
“Patutlah semalam tidur macam udang.” Celah Kistiza.
“Semua orang hairan kenapa Suha balik terus baring di katil. Biasanya kalau balik cepat saja mandi.” Ujar Aznizah.
            “Dah tak larat semalam tu.” Ujar Nasuha sambil menuang air panas ke dalam cawannya dan mengacaunya.
            Telefonnya berbunyi menandakan ada pesanan ringkas dihantar. Cepat sahaja Nasuha mengambil telefon bimbitnya yang masih terdapat di dalam beg. Teradapat 3 pesanan ringkas yang belum dibacanya dan 4 panggilan telefon tidak dijawab. Betapa tidur matinya dia semalam sehingga tidak sedar telefonnya berbunyi. Dia membaca satu-persatu pesanan ringkas yang dihantar.
            “Eeee, menyakitkan hati sungguhlah.”
            “Ni mesti mamat mangkuk tu mesej.” Tebak Aznizah.
            “Ha’a. Dia saja raja menyakitkan hati orang di dunia ni. Baik tak payah bagi mesej kalau sekadar nak sakitkan hati.”
            “Dia bagi mesej apa?” Tanya Kistiza.
            “Semalam tu dia bagi mesej tanya Suha tak sesat ke? dah jumpa bilik ke belum? Boleh pula tanya macam tu. Dah tu pagi ni dia mesej tanya dah puas tidur di bilik Orang tanyalah dah makan ubat ke belum dah makan nasi ke belum?” Bebel Nasuha.
            “Nanti dia tanya macam tu, cair pula hati Suha tu.” Usik kistiza.
            “Eee simpang malaikat.”
            “Hati-hati apabila membenci seseorang.” Pesan Kistiza.
            “Selamat pagi Yan.” Sapa Nasuha sebaik melihat Dickziene yang berjalan menuju ke pintu bilik.
            “Pagi Kak Suha.” Jawabnya seraya melangkah keluar. Tidak lama kemudian dia masuk semula bersama 2 buah plastik yang berisi 4 bekas bubur McDonald’s.
            “Aik, call McDonald’s ke? Soal Kistiza.
            “Pekerja McDonalds tu yang hantar pergi sini. Seorang satu untuk sarapan pagi.” Ujar Dickziene sambil mengambil semangkuk bubur tersebut untuk dirinya.
            “Yan cakap betul-betul.” Kistiza kecilkan matanya memandang Dickziene.
            “Tadi Jesel Earl pengarang jantung saya tu telefon dan suruh ambil bubur ni di luar.”
            “Oh, Jesel belanjalah ni.” Potong Aznizah.
            “Saya belum habis cakap lagilah. Jesel tolong hantar saja yang bagi Abang Hafiz. Dia tu sebenarnya bagi untuk Kak Suha yang sakit gastrik semalam tapi kita ni tumpang rezekilah kiranya.”
            “Memandai saja Yan ni.” Nasuha kurang percaya.
            “Betullah Kak Suha. Dengar ni, selamat pagi cik Taubat Nasuha. Bubur McDonald’s sebagai pengganti diri. Harap sembuh cepat. Jangan escape makan lagi. Get well soon.” Dickziene membaca satu persatu kad yang dititipkan bersama bubur tersebut.
            “Tipulah tu.” Nasuha cebik.
            “Saya baca kad yang abang Hafiz tulis saja.” Dickziene tayang kad tersebut di hadapan teman sebiliknya.
            “Wow!!! Berhati-hati ya Suha, nanti cik hati cair pula.” Usik Kistiza.
            “Eeee, kak Za ni.”
            “Merah dah pipi Suha.”
            “Merah tak merah janji kita makan dulu.” Ujar Dickziene seraya menghulur kad kecil itu kepada Nasuha.
            Nasuha ketap bibir, malu pula dengan teman sebiliknya apabila diperlakukan sebegitu oleh Hafiz Azhar. Lelaki itu sememangnya sukar dijangka. Ada masa sikapnya yang suka menyakat itu memang terlalu menyakitkan hatinya sehingga dia merasakan lelaki itu tidak perlu dilayan dengan baik tetapi ada kala sifat-sifat dan tindakan di luar jangkaan itu begitu menyenangkan hatinya sehingga dia tidak sampai hati untuk memulaukan sepenuhnya lelaki itu dari hidupnya.

Selasa, 29 Januari 2013

Cintamu Limited Edition (15)



BAB 15
            “Taubat Nasuha! Taubat Nasuha sesat lagikah?!” Jerit Hafiz Azhar dari muka pintu tandas. Cepat sahaja Nasuha terpacul di muka pintu seraya menendang kaki lelaki itu.
            “Adoi, sakitlah.”
            “Luaran sakit boleh sapu ubat, ni dalaman yang sakit ni nak sapu apa?” Getus Nasuha geram sambil jari telunjuk dilaga-lagakan di dadanya.
            “Ups!!” Hafiz Azhar kelu tidak menjangka tindak balas sebegitu yang diberikan oleh Nasuha.
            “Tepi.” Ujar Nasuha keras sambil melangkah ke tempat duduk bahagian belakang van yang disewa mereka.
            “Kenapa tu?” Soal Christie Nala sebaik terlihat Hafiz Azhar yang baru sahaja muncul. Lelaki itu sekadar menjungkit bahu tanpa mahu mengulas lanjut tentang apa yang telah terjadi.
            “Kau okay?” Soal Khayla Irdina perlahan.
            “Okay.” Ringkas sahaja jawapan Nasuha. Jika tidak mengenangkan tugasan luar kampus itu perlu disiapkan pada hari itu juga sudah pasti dia akan terus balik sahaja.
            “Apa dia buat dengan kau?” Soal Khayla Irdina masih belum berpuas hati dengan jawapan rakannya itu.
            “Kau tanyalah dia.”
            “Suha okay?” Soal Amir Shah lembut.
            “Okay.” Jawab Nasuha tanpa menoleh ke arah Amir Shah.
            “Suha, pandanglah sini.” Pinta Amir Shah.
            “Aku nak tidur.” Nasuha tutup muka dengan tuala kecilnya.
            Hafiz Azhar mencampak plastik kecil yang terdapat beberapa biji gula-gula hacks tepat ke arah Nasuha. Nasuha sekadar memandang plastik itu dan kembali menutup wajahnya dengan tuala kecil berwarna putih itu.
            “Makan gula-gula hacks boleh elak mabuk. Jangan nanti belum sampai Linangkit Culture Village ada yang termuntah-muntah dalam van.” Ujar Hafiz Azhar yang ditujukan khas untuk Nasuha.
            ‘Diamlah kau mangkuk.’ Jerit Nasuha namun hanya bergema di dalam hatinya. Dia mengambil langkah untuk berdiam diri dari terus bersuara dan melayan kata-kata Hafiz Azhar yang akhirnya tentu akan menyakitkan hatinya sendiri.
            “Taubat Nasuha bangun.” Hafiz Azhar mengejutkan Nasuha dari tingkap.
            Nasuha menarik tuala kecilnya. Dia menggosok matanya beberapa kali. Dia menoleh ke kiri dan kelihatan Hafiz Azhar sedang memandang ke arahnya. Dia menjeling sekilas ke arah lelaki yang sudah pun berada di halaman Linangkit Culture Village Sdn.Bhd yang terletak di Kampung Selupoh, Tuaran.
            “Tolong lap liur tu sebelum turun. Jangan nak bagi malu UMS.” Ujar Hafiz Azhar lagi sebelum melangkah pergi meninggalkan Nasuha. Cepat sahaja Nasuha menutup mulutnya dan mengesat keseluruhan mulutnya dengan tualanya. Hafiz Azhar sempat melirik tingkah Nasuha itu dan tersenyum melihat kekalutannya.
            Setelah hampir 2 jam berjalan mengelilingi rumah tradisional suku kaum Kadazan-Dusun Tuaran dan menemu ramah Encik Elvin Jilan selaku Pegawai Perhubungan Awam Linangkit Culture Village Sdn.Bhd akhirnya tugasan mereka selesai juga. Masing-masing berpuas hati dengan info yang telah diberikan oleh Encik Elvin Jilan mengenai sejarah dan juga budaya suku kaum Kadazan-Dusun Tuaran.
            “Yang di sana tu ladang jagung Linangkit Cultute Village jugakah?” Soal Noor Atikah sambil menudingkan ibu jarinya ke arah ladang jagung yang terdapat di seberang sungai.
            “Ya. Kalau nak melawat di sana saya boleh bawa juga.”
            “Bolehkah?” Soal Khayla Irdina cepat.
            “Boleh, itu pun kalau kamu mahulah. Biar pun skop kajian kamu tentang sejarah, adat dan budaya suku kaum Kadazan-Dusun Tuaran tapi alang-alang sudah sampai sini apa salahnya.” Ujar Encik Elvin Jilan.
            “Mahu sangat-sangat. Boleh kita pergi sekarang?” Ujar Khayla Irdina dan Noor Atikah serentak.
            “Seeloknya kita minum pagi dulu.”
            “Eh, ada minum pagikah?”
            “Ada. Minuman ringan saja. Jemputlah.” Pelawa Encik Elvin Jilan.
            “Wah, Encik Elvin ni baiklah.” Noor Atikah senyum sambil berjalan seiringan dengan Encik Elvin Jilan.
            “Suha okay?” Soal Amir Shah menghampiri Nasuha.
            “Okay.”
            “Okay tapi macam tak okay saja.” Tebak Amir Shah.
            “Okaylah.” Jawabnya bersahaja sambil sama-sama melangkah menuju ke kafeteria Linangkit Culture Village Sdn.Bhd.
            “Nescafe or tea?” Soal Hafiz Azhar sebaik tiba ditempat duduk Amir Shah.
            “Nescafe. Thank you.” Ucap Amir Shah.
            “Hafiz jadi pekerja sinikah?” Soal Nur Shammiza.
            “Maaf ya di sini layan diri. Jadi aku menawarkan diri memberi perkhidmatan ni.”
            “Hafiz bagi sandwich.” Pinta Noor Atikah.
            “Maaf, aku hanya urus minuman sahaja. Kalau korang nak makan sila ambil sendiri.”
            “Suha mahu minum apa?” Soal Amir Shah kepada Nasuha.
            “Oh, kalau Taubat Nasuha ni memanglah dia minum teh kan. Dia mana pandai minum nescafe.” Pintas Hafiz Azhar sebelum sempat Nasuha menjawab pertanyaan Amir Shah. Selepas menuang minuman di dalam cawan Nasuha, Hafiz Azhar terus sahaja meletak teko tersebut di tempat asalnya.
            “Hoi, Hafiz air kami mana?” Jerit Suhairul kurang berpuas hati apabila cawannya masih kosong.
            “Tuang sendiri.” Ujar Hafiz Azhar sambil melangkah untuk mengambil hidangan yang terdapat di atas meja panjang itu.
            “Tadi kata lain sekarang kata lain.”
            “Encik Elvin kata pandai-pandailah layan diri. Dia takut kalau aku layan kamu semua ni, dia tak mampu bayar gaji aku. Kan Encik Elvin?” Hafiz Azhar sengih melihat Encik Elvin yang berdiri di sebelahnya. Encik Elvin sekadar tersenyum dan menggeleng kepalanya.
            “Nah untuk kau.” Hafiz Azhar menghulur sebungkus sandwich tuna kepada Nasuha.
            “Aik Nasuha saja. Sandwich aku mana?” Perli Amir Shah.
            “Kalau nak ambil sendirilah.” Jawab Hafiz Azhar acuh tak acuh. Amir Shah bingkas berdiri untuk mengambil sandwich yang terdapat di meja panjang itu.
            “Kau kenapa? Demam?” Soal Hafiz Azhar setelah melabuhkan punggung di sebelah Nasuha sebaik ditinggalkan oleh Amir Shah. Nasuha diam, tidak mahu menjawab pertanyaan Hafiz Azhar sebentar tadi.
            “Ehem.” Amir Shah berdehem tanda ingin duduk semula di kerusinya sebentar tadi.
            “Amir duduk sinilah.” Ujar Khayla Irdina manja sambil menarik kerusi kosong di sebelahnya. Amir Shah terus belalu dan duduk di kerusi tersebut.
            “Terima kasih.”
            “Sama-sama. Amir, janganlah kacau daun orang yang nak settlekan masalah rumah tangga tu.”
            “Mereka couple?”
            “Erm, couple tu taklah sebab Nasuha tu bukan jenis yang layan couple-maple ni.”
            “Oh, maknanya dia single lagikan?” Amir Shah meminta kepastian.
            “Ya.” Khayla Irdina menjawab jujur tapi bibirnya diherotkan sedikit. Entah kenapa dia meluat pula apabila Amir Shah seolah berminat ingin mengetahui tentang Nasuha.
            “Makanlah sandwich tu bagi isi perut. Tengok, muka pun pucat.” Ujar Hafiz Azhar sambil menghirup minumannya.
            “Kalau semua sudah habis minum, jom kita bergerak pergi seberang sana.” Ajak Encik Elvin Jilan. Masing-masing bangkit dari kerusi dan segera mengikut jejak langkah Encik Elvin menuju ke tebing sungai di mana terdapat sebuah rakit sebagai pengangkutan untuk menyeberang ke ladang jagung tersebut.
            “Best!” Jerit beberapa orang ahli kumpulan itu.
            “Sebab kita ni ramai, kita kena bahagikan kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama akan bergerak sekarang. Erm, yang pakai sarung kaki tu hati-hati, jaga basah.” Pesan Encik Elvin Jilan cuba mengingati para pelajar Universiti Malaysia Sabah yang membuat kajian di tempatnya.
            Setelah berjalan di dalam ladang jagung itu, mereka berehat sebentar di pondok yang terdapat ditebing sungai itu. Banyak cerita yang dikongsikan oleh Encik Elvin kepada pelajar-pelajar tersebut. Setelah puas berehat barulah mereka mengambil keputusan untuk kembali ke rumah tradisonal itu dengan menaiki sampan yang terdapat di sana.
            “Ila, biarlah kita yang terakhir.” Kata Nasuha kepada Khayla Irdina.
            “Erm, tapi aku nak naik sampan dengan Amir.” Ujar Khayla Irdina seraya menapak ke tebing sungai.
            “Stop, stop, stop. Satu orang saja lagi.” Ujar Amir Shah.
            “Kan aku seorang ni.”
            “Kau ikut kumpulan yang lastlah Ila. Suha, cepat naik.” Ajak Amir Shah.
            Khayla Irdina ketap bibir geram. Dia renung Amir Shah sedalam-dalamnya. Lelaki itu hanya bersahaja, tidak menunjukkan sebarang tindak balas. Hafiz Azhar yang berada berhampiran sampan memandang Nasuha yang masih lagi berada di pondok di mana mereka berehat tadi. Dia lihat Nasuha geleng kepala yang membawa maksud menolakan ajakan itu. Hafiz Azhar senyum namun senyuman itu hanya di hatinya cuma.
            “Jomlah.” Ajak Amir Shah.
            “Tak mahulah. Pergilah dulu. Ila pergilah dulu” Ujar Nasuha sambil melabuhkan semula punggungnya di kerusi yang terdapat di pondok itu.
            Hafiz Azhar sekadar menjadi pemerhati sepi kala itu. Wajah Nasuha yang polos dipandangnya sekilas manakala melihat memek muka Khayla Irdina sebentar tadi membuatkan dia terfikir seribu macam soalan tapi satu persatu juga soalan itu ditepis dari mengganggu benaknya. Masing-masing melayan perasaan sementara menanti perahu itu tiba lagi untuk membawa mereka ke seberang sana.
            “Jaga basah stokin tu Taubat Nasuha.” Tegurnya serius apabila melihat Nasuha seolah-olah tidak terlihat air sungai yang berada berhampiran kakinya.
            Nasuha tidak menyahut kata-katanya tapi dia tahu Nasuha mendengar kata-katanya tadi dengan hanya melihat tindak balas yang dilakukan oleh Nasuha itu. Di lihat Nasuha terus sahaja duduk tanpa berjalan lebih jauh lagi. Hafiz Azhar duduk dibelakangnya dan seraya mendayung sampan itu bersama Suhairul yang berada di bahagian tengah.
            “Yeah, sampai!” Jerit Faridah dan Norliza serentak yang bersama-sama mereka di dalam sampan itu. Masing-masing bangkit untuk turun dari sampan kecil itu kecuali Nasuha yang masih lagi memegang erat tepi sampan.
            “Kau kenapa? Nak tinggal di sampan?” Ujar Hafiz Azhar membuatkan Nasuha terus berdiri.
            “Liza tunggulah.” Ujarnya tetapi Norliza pantas bergerak. Cepat pula tangan Nasuha memegang kejap pergelangan tangan Faridah.
            “Suha, kalau kau pegang macam ni macam mana aku nak jalan.” Ujar Faridah seraya melangkah perlahan.” Nasuha teguk liur sebaik Faridah selamat menjejakkan kaki di tangga untuk mendaki terus ke bahagian atas pentas dimana mereka difahamkan oleh Encik Elvin pentas itu digunakan untuk membuat persembahan ketika ada majlis di sana.
            “Kau fobia air?” Soal Hafiz Azhar sedikit cemas melihat wajah pucat Nasuha. Namun seperti tadi Nasuha hanya mendiamkan diri. Hafiz Azhar melangkah ke hadapan, memintas Nasuha yang seolah-olah keras dihadapannya.
            “Kau janganlah jalan, nanti aku jatuh.” Marah Nasuha.
            “Dah tu kalau tak jalan bila masa nak sampai cik Taubat Nasuha.” Tukas Hafiz Azhar sambil memerhati Nasuha yang masih lagi kaku di tengah sampan kecil itu.
Dia senyum, terdetik untuk menyakat Nasuha kala itu. Dia menggoyangkan sampan kecil itu dengan kakinya membuatkan sampan itu tidak stabil. Kerana terlalu takut jeritan Nasuha tidak kedengaran saat itu namun lengan baju Hafiz Azhar ditarik kuat agar dia tidak tercampak masuk ke dalam sungai yang dikatakan penghujung bagi Sungai Tuaran.
“Hafiz jangan buat begitu.” Jerit Christie Nala dari pentas apabila melihat kenakalan Hafiz Azhar itu.
“Okay, okay. Aku gurau sajalah. Dia ni yang penakut. Cepatlah jalan. Aku biar kau tinggal sorang-sorang atas sampan ni baru tau.” Ujar Hafiz Azhar membiarkan Nasuha berpaut pada lengan bajunya sehingga menampakkan bahunya.
“Suha jalan perlahan-lahan.” Arah Christie Nala lembut.
“Cepatlah Taubat Nasuha. Kau tak akan jatuhlah kecuali ada buaya tarik kau masuk dalam sungai tu.” Sakat Hafiz Azhar biar pun dia sendiri kaku di atas sampan itu sementara menanti Nasuha melangkah.
“Hafiz!” Marah Christie Nala lagi.
“Mari sini.” Hafiz Azhar seolah ingin mencapai tangan Nasuha untuk membantunya keluar dari sampan itu.
“Jangan pegang.” Ujar Nasuha perlahan.
“Okay aku tak pegang tapi cepatlah naik. Aku ni seksi dah oleh kau. Kau ingat freekah aku nak tayang bahu aku ni.” Ujar Hafiz Azhar sambil melirik ke arah bahunya yang terdedah akibat lengan bajunya ditarik oleh Nasuha.
            Nasuha tidak menjawab kata-kata Hafiz Azhar itu sebaliknya mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Hafiz Azhar senyum melihat gelagat Nasuha itu namun akhirnya selamat juga gadis kecil itu mendaki tangga itu untuk terus menuju ke pentas. Dia bergerak menuju ke sinki yang dibuat dari bahan terpakai seperti kuali dan tayar kereta untuk mencuci tangannya. Lututnya terasa longgar kala itu, tangannya juga menggeletar.
            “Minum air.” Ujar Hafiz Azhar ringkas sebaik menghampiri Nasuha.
Nasuha patuh, cuba untuk mencari air mineral di dalam begnya. Cepat sahaja Hafiz Azhar menarik beg Nasuha dan mengambil botol mineral di dalam beg tersebut apabila melihat tangan Nasuha yang menggeletar hebat itu. Dia buka tutup botol dan menghulurkannya kepada Nasuha. Gadis itu sekadar senyum sekerat, tidak tahu apa tindak balas terbaik yang sepatutnya diberikan kepada lelaki itu.
Semasa dalam perjalanan balik dari Kampung Selupoh, Tuaran menuju ke Universiti Malaysia Sabah sempat juga mereka singgah di Masjid An-Nur yang terletak di Pekan Tuaran yang juga merupakan masjid terbesar yang terdapat di negeri Sabah bagi menunaikan solat zohor sebelum mencari tempat untuk makan tengah hari pada hari itu.
“Kau makan banyak-banyak, bukan asyik belek mainan saja.” Tegur Hafiz Azhar yang sedari tadi memerhati Nasuha yang leka membelek mainan chicky meal KFC itu.
“Kalau kau nak tahu, Suha memang banyak koleksi mainan KFC ni. Dia masuk KFC bukan nak makan tapi nak dapat mainan saja.” Beritahu Khayla Irdina, membongkar rahsia Nasuha.
“Dah simpan dulu mainan tu. Makan dulu. Ni nasi makan sampai habis, tak habis jangan balik.” Ujar Hafiz Azhar tegas.
“Hafiz dah macam bapa bagi arahan dengan anak dia.” Ujar Faridah dengan kepala yang sengaja digeleng-gelengkan.
“Bapa tak bapa yang aku tau semua habis makan. Tak habis jangan balik.”
“Ha, cepat habiskan makanan, nanti bapa tak bagi balik.” Ujar Norlizah pula seraya menggigit rakus ketulan ayam yang ada dipegangnya.
Suasana Restoran KFC yang terdapat di pekan Tuaran itu sedikit kecoh dengan kehadiran mereka. Khayla Irdina dilihat begitu mesra melayan Amir Shah yang duduk disampingnya. Sekali-sekali anak mata lelaki bernama Amir Shah itu sempat mencuri pandang ke arah Nasuha dan Hafiz Azhar yang duduk di hujung meja berhampiran dengan sudut restoran.
“Kau pernah lemas?” Soal Hafiz Azhar mula membuka cerita.
“Erm.” Nasuha pandang Hafiz Azhar sambil mulut masih terus mengunyah.
“Aku tengok kau macam fobia dengan air jadi aku saja tanya.” Ujar Hafiz Azhar seraya menyedut minumannya. Nasuha tidak menjawab hanya ekor matanya memerhati lelaki itu.
‘Budak ni tak pernah sedarkah selama ni dia banyak buat salah dengan aku. Slumber saja macam tiada apa-apa yang berlaku. Dah buat salah tu pandai-pandailah minta maaf.’ Desis hati Nasuha. Sakit pula hatinya bila melihat tingkah Hafiz Azhar yang seolah-olah tidak ada apa yang berlaku antara mereka sebelum ini.
‘Merajuklah tu. Gurau sikit marah, tegur sikit merajuk, tanya sikit tak nak layan. Taubat Nasuha Taubat Nasuha.’ Hafiz Azhar sengih sendiri mengenang perangai Nasuha yang diumpamakannya seperti jinak-jinak burung merpati itu.