Jumaat, 17 Januari 2014

Cintamu Limited Edition (25)

BAB 25



“Assalamualaikum.” Ucap Rozairen.
            “Waalaikumussalam.” Jawab Nasuha seraya berlari menuju tingkat atas.
            “Aik, jawab salam tapi kenapa lari pergi atas pula?!” Soal Rozairen sendirian.
            “Eh Zai, masuklah.” Pelawa Nazim yang baru sahaja muncul sambil membuka pintu rumah yang berkunci itu.
            “Terima kasih. Lama tak nampak kau.”
            “Owhh, aku out station. Dekat satu bulan jugalah rumah ni kosong.”
            “Patutlah sunyi saja.”
            “Anak-anak kau mana?” Soal Nazim tiba-tiba teringat akan anak kembar Rozairen.
            “Di rumah dengan nenek mereka. Tadi aku buang sampah kebetulan ternampak kereta dan pintu rumah kau terbuka, tu yang saja datang nak tanya khabar. Eh, siapa tadi tu?” Tanya Roziaren sambil matanya liar mencari kelibat gadis tadi.
            “Oh, yang tu….”
            “Bapak silakan minum.” Ujar gadis itu dengan loghat Indonesianya membuatkan Nazim mengerutkan dahinya. Nasuha hanya tersenyum penuh makna melihat kerutan di dahi abangnya itu. Manakala Rozairen pula memandang Nasuha tanpa mengerdipkan matanya.
            “Hoi, kau kenapa?” Soal Nazim kepada Rozairen setelah kelibat Nasuha memasuki ruang dapur.
            “Errrrr, tu siapa? Orang gaji kau? Alhamdulillah, selesai masalah aku.”
            “Hah?!” Nazim terpinga-pinga tidak faham akan maksud Rozairen.
            “Macam ni, mak aku dah nak balik kampung malam ni tapi sampai sekarang aku tak jumpa orang yang nak jaga si kembar tu. Jadi bolehlahkan aku tumpang orang gaji kau untuk dua tiga hari sebelum aku dapat penjaga mereka.”
            “Errr…..”
            “Kalau pasal bayaran jangan risau.”
            “Ni bukan pasal bayaran tapi….”
            “Ala kira okaylah tu Zim, aku dah pening ni nak cari penjaga mereka.”
            “Zaiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii.” Jerit satu suara dari rumah sebelah.
            “Ha tu dia, mak aku dah menjerit cari aku. Kira okay ya.” Ujar Rozairen bingkas berdiri dan seraya itu sempat juga dia mencapai gelas berisi air sirap itu dan meneguknya hingga habis.
            “Zai masalahnyakan yang tadi tu…”
            “Eee kau jangan risau aku bayar okay atau kau nak dia pergi rumah aku pun boleh saja. Okaylah aku balik dulu. Jangan lupa esok ya. Thanks sahabat.” Ujar Rozairen seraya bergegas balik ke rumahnya.
            “Sama-sama.” Jawab Nazim perlahan.
            “Dah balik dah jiran Along tu?” Soal Nasuha.
            “Dah. Kenapa tiba-tiba berbahasa Indonesia pula tadi.”
            “Saja nak kenakan dia. Achik geramlah dengan dia.”
            “Baru semalam sampai dah geram dengan jiran Along?”
            “Mahunya tak. Along tahu tak, dialah yang Achik cerita mengendap di dapur tu semalam.”
            “Yang Achik simbah dengan baki kari tu?”
            “Yup. Siapa suruh mengendap, kan dah kena. Haha.” Nasuha ketawa sekerat.
            “Ni Along pun nak kata kat Achik, kan dah kena. Dia minta tolong Achik jaga anak-anak dia dua tiga hari ni sebelum dia jumpa penjaga budak-budak tu.”
            “Sebelum dia jumpa penjaga budak-budak tu?! Penjaga budak-budak tu hilangkah?”
            “Bukan hilang tapi lari jadi sekarang dia sedang mencari penjaga baru.”
            “Oooo. Berapa ramai anak yang dia ada?” Soal Nasuha ingin tahu.
            “Dua orang saja. Anak kembar perempuan berusia 4 tahun.”
            “Mak mereka mana?”
            “Dah tinggalkan mereka.”
            “Kenapa?”
            “Masalah rumah tangga mereka manalah kita tahu.” Ujar Nazim seraya bangkit dari kerusinya.
            “Oooo. Dah tu esok nak kena jaga budak-budak tu di mana? Kalau nak suruh Achik pergi rumah dia Achik tak nak.”
            “Dah agak dah. Kan senang kalau Achik saja datang sana. Tak payah budak-budak tu berangkut kain baju pergi sini.”
            “Dah minta tolong tu faham-fahamlah ya.”
            “Amboi garang betullah Achik ni. Esok jangan pula sampai budak-budak tu menangis Achik kerjakan.”
            “Esok Along tengoklah siapa yang menangis. Budak-budak tu yang menangis atau Along yang menangis.”
            “Kenapa pula Along yang menangis?” Nazim kerutkan dahi.
            “Sebab esok Along akan tengok dinding yang kosong akan penuh dengan lukisan. Hehe.”
            “Achiklah yang ajar tu.”
            “Mestilah.”
            “Kalau macam tu esok pergilah jaga budak-budak tu di rumah mereka.”
            “Gurau sajalah Along.”
            “Tahu takut.”
            Nasuha senyum geli hati mendengar ugutan Nazim tadi. Apa yang pasti esok dia tidak akan bersendirian dan rasa sunyi di rumah itu. Dia senyum berharap anak-anak jiran abangnya itu mampu bekerjasama dengan baik dengan dirinya.

Esoknya tepat jam 6 pagi Rozairen telah pun menghantar 2 orang puteri kembarnya ke rumah Nazim untuk dijaga oleh Nasuha. Sarinah dan Illani yang masih mengantuk terus sahaja berbaring di sofa yang terdapat di ruang tamu rumah itu. Rozairen menyerahkan segala kelengkapan yang diperlukan oleh 2 orang puterinya itu kepada Nasuha.
            “Bik, yang ini susu mereka..errr susu anak-anak saya, kalau anak-anak saya mahu susu baru buat ya bik. Sukatan 7 sudu susu dan air juga 7. Tengok tangan saya ni ya bik, di sini ya. Jangan lebih dan jangan kurang ya bik. Faham bik?.” Ujar Rozairen dengan loghat Indonesia yang menggelikan hati Nasuha sambil jarinya menunjukkan garisan yang terdapat di botol susu tersebut.
            “Ya tuan saya faham kok.” Jawab Nasuha sambil tersenyum.
            “Nanti mereka bangun terus mandikan ya bik. Baju mereka semua ada dalam beg ni bik.”
            “Iya tuan.”
            “Kau yakinkah adik aku jaga anak kau ni Zai?” Ujar Nazim sebaik turun dari tingkat atas.
            “Adik kau?”
            “Nasuha ni adik aku. Tak payahlah kau nak bersusah payah bercakap dengan loghat Indonesia tak jadi kau tu.” Ujar Nazim sambil menggeleng kepalanya melihat Nasuha yang tersengih nakal.
            “Patutlah sengihan tu lain macam.” Rozairen kerling Nasuha yang berdiri di depannya.
            “Kan dah kena!” Ujar Nasuha dan Nazim serentak.
            “Itulah semalam aku nak terangkan kau potong saja cakap aku ni.”
            “Apa pun aku dah lega sekarang bila tahu yang jaga anak-anak aku ni adik kau. Erm, abang habis kerja saja abang ambil anak-anak abang. Jangan risau ya. Sarinah dan Illani ni tidak susah nak jaga cuma susah sikit nak bagi makan sajalah.” Terang Rozairen.
            “Ooooo.” Nasuha mengangguk tanda faham.
            “Kalau ada apa-apa hal nanti cari nombor telefon abang Zai di meja telefon tu. Manalah tahu budak-budak tu ngeri tengok muka Achik sampai menangis sakan bolehlah telefon abang Zai suruh dia balik awal.” Ujar Nazim dengan kening yang terjungkit.
            “Along tu mengutuk oranglah tu.”
            “Bukan mengutuk tapi langkah berjaga-jaga.”
            “Kalau ada apa-apa telefon sajalah. Jangan risau hari ni abang tak akan off telefon abang.” Ujar Rozairen seraya menyuap nasi goreng yang terdapat di atas meja.
            “Kau pastikan telefon kau tu sentiasa bersama kau. Mungkin 2 jam kau di pejabat kau akan dapat panggilan untuk balik dengan kadar segera. Hahahaha.”
            “Ish kau ni ada pula macam tu. Aku yakin adik kau boleh handle anak-anak aku.”
            “Apa-apa sajalah yang penting kau pastikan telefon kau tu sentiasa berfungsi dan sentiasa bersama kau.” Pesan Nazim lagi.
            Selepas kedua mereka bergerak meninggalkan perkarangan rumah, Nasuha menutup pintu dan menguncinya. Dia melihat anak kembar Rozairen yang masih lagi lena tidur di sofa yang terdapat di ruang tamu dan seketika kemudian dia segera beralih ke meja makan, mengemas pinggan dan cawan yang telah digunakan oleh Nazim dan Rozairen tadi dan segera dibawa ke dapur. Habis membasuh pinggan mangkuk tersebut barulah Nasuha bersarapan pagi pada hari itu. Sedang enak menikmati sarapan pagi tiba-tiba dilihatnya Sarinah bangun dan menggeliat beberapa kali.
            “Selamat pagi mama.” Ucap Sarinah membuatkan Nasuha terkedu seketika.
            “Bukan mama tapi kakak.” Ujar Nasuha mesra sambil meraih Sarinah ke dalam pelukannya.
            “Hmmm, abah dah pergi kerja?” Soal Sarinah.
            “Dah. Jom mandi.” Ajak Nasuha. Cepat sahaja Sarinah menganggukkan kepalanya dan mengikut langkah Nasuha menuju ke bilik mandi.
            “Lani nak ikut juga.” Laung Illani dari ruang tamu. Cepat sahaja Sarinah berlari menuju ke ruang tamu.
            “Jom.” Ajak Sarinah sambil memimpin tangan Illani.
            Habis sahaja menyiapkan Sarinah dan Illani dia membiarkan kembar seiras itu duduk di hadapan televisyen sementara dia menyediakan nasi goreng untuk sarapan mereka. Tidak lama kemudian dia memanggil keduanya untuk bersarapan di meja makan.
            “Rin tak mau makanlah.” Ujar Sarinah seraya memeluk bantal yang berhampirannya.
            “Lani pun tak mau makan.” Ujar Illani.
            “Tengoklah dulu apa yang ada atas meja.”
            “Apa?”
            “Marilah tengok sini.” Nasuha menggamit keduanya agar datang menghampiri mereka. Sarinah dan Illani segera berdiri dan melihat apa yang terdapat di meja makan. Nasuha senyum kerana umpan pertamanya telah mengena dan berharap taktiknya ini juga akan berjaya.
            “Wahhhhhhhhhh!” Ternganga mulut Sarinah dan Illani melihat nasi goreng yang mempunyai mata dan mulut itu.
            “Nak makanlah.” Ujar Illani.
            ‘Yessssssss! Ini Nasuha okay.’
            Sedari pagi tadi Nasuha melayan 2 puteri kembar yang petah berkata-kata itu. Ada sahaja tingkah mereka yang mencuit hatinya. Dia mengusap lembut pipi Sarinah dan juga Illani yang telah pun terlena di di hadapan televisyen. Ditinggalkan kembar itu sementara dia pula menuju ke bilik solat yang terletak bersebelahan dengan ruang dapur untuk menunaikan kewajipannya.
            “Assalamualaikum.” Ucap satu suara parau agak kuat. Nasuha yang sedang leka melakukan kerja-kerja di dapur segera berhenti membuat kerja-kerja di dapur. Perlahan-lahan dia menapak ke ruang tamu.
            ‘Ni yang aku tak suka ni.’
            “Assalamualaikum.”
            “Siapa?” Soal Nasuha.
            “Abang Zai.” Jawab Rozairen dari luar setia menanti pintu rumah itu dibuka.
            “Betul abang Zai.”
            “Betullah.”
            ‘Ya Allah macam mana ni.’ Nasuha teguk liur, tidak mahu Rozairen masuk ke dalam rumah itu. Bermacam-macam yang terlintas di fikiran kala itu. Semuanya yang buruk-buruk belaka dan dia tidak mahu apa yang difikirkannya itu menjadi kenyataan.
            “Abang nak ambil Rin dan Lani.”
            “Errr, mereka tidur.”
            “Oh, tak apalah. Nanti kalau mereka bangun, telefon abang. Nanti abang ambil.” Ujar Rozairen mengharap Nasuha akan membuka pintu itu namun hampa.
            “Baiklah.” Jawab Nasuha yang kaku di sebalik pintu.
            Selang 30 minit kemudian, kelihatan kereta Nazim masuk ke perkarangan rumah itu. Bibir Rozairen mengukir senyuman tipis apabila melihat kelibat Nazim keluar dari perut kereta. Cepat sahaja dia menyarung seliparnya dan menghampiri pagar yang memisahkan rumah mereka.
            “Assalamualaikum?” Ujar Rozairen tanpa membuang masa.
            “Waalaikumussalam. Dah ambil si kembar?” Soal Nazim.
            “Baru nak ambil. Tadi budak-budak tu tidur.”
            “Owh. Jomlah.” Ajak Nazim.
            Rozairen menapak memasuki perkarangan rumah jirannya selama hampir 3 tahun itu. Baru kini dia tahu jirannya itu mempunyai seorang adik perempuan. Sebelum ini dia cuma melihat adik-beradik lelakinya sahaja yang keluar masuk di rumah itu. Dia teringat sewaktu kali pertama melihat kelibat gadis itu halaman rumah Nazim, dia sangat tertarik dengan wanita itu dan secaara senyap dia mengintai gadis itu melalui tingkap dapur untuk melihat dengan lebih dekat dan jelas. Namun belum sempat dia melihat dengan jelas, dia disimbah dengan air berperisa kari dan sepantas kilat tingkap dan tirai ditutup rapat.
            “Kau senyum ni apasal?” Soal Nazim sedikit pelik dengan tingkah Rozairen.
            “Senyum? Tiadalah.” Ujar Rozairen seraya menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Nazim sekadar menggeleng kepala melihatnya dan seraya memberi salam setiba di hadapan pintu rumah. Setelah menjawab beberapa soalan dari Nasuha barulah pintu rumah itu dibuka dari dalam. Rozairen ternganga apabila mendengar dan melihat apa yang berlaku di hadapannya. Tidak menyangka tuan rumah mahu masuk ke dalam rumah pun perlu melalui soal jawab sedemikian rupa.
“Suha, abang nak masuk ni.” Ujar Rozairen.
“Masuklah.” Jawab gadis itu ringkas.
“Suha tak nak soal abang macam tu?” Soalnya.
            “Kau nak merasa tak jejak kaki dalam rumah ke Zai?” Soal Nazim sambil menuang nescafe ke dalam cawan miliknya.
            “Pernahkah orang tak masuk gara-gara disoal oleh Suha?” Soal Rozairen sambil melirik ke arah Nasuha.
            “Pernah. Siapa tu Chik, Angah ke Abang yang kau tak bagi masuk rumah hari tu?” Soal Nazim.
            “Angah. Eh, Bang Zai jemputlah minum.” Pelawa Nasuha selepas menjawab soalan Nazim.
            “Terima kasih. Kenapa tak bagi masuk Angah?” Soal Rozairen seolah berminat untuk mendengar kisah tersebut.
            “Gara-gara tidak ingat nombor MyKad sendiri. Tidur di luar okay.” Ujar Nazim mengimbau kenangan lalu dengan senyuman mekar di bibir. Terbayang di matanya melihat Nazmi atau lebih mesra dengan panggilan Angah di kalangan ahli keluarganya yang terpaksa menunggu di luar rumah sehingga mak dan ayah mereka balik.
            “Dasyat.” Rozairen teguk liur.
            “Tahu tidak apa. So, kau pun kena berhati-hati dengan adik aku ni. Nampak biasa tapi berbisa.” Pesan Nazim kepada Rozairen sebelum keduanya tertawa serentak.


           
           
           

Khamis, 16 Januari 2014

Cintamu Limited Edition (24)

BAB 24


        Nasuha menatap lama Nazim yang sedang menatarias rambutnya di depan cermin yang terdapat di ruang tamu. Nazim angkat kening apabila menyedari dirinya diperhatikan sedemikian rupa. Akhirnya dia berpaling menghadap Nasuha, satu-satunya adik perempuan yang dia ada di muka bumi ini.
            “Achik kenapa?” Soalnya kepada Nasuha yang lebih mesra dipanggil Achik dikalangan keluarganya.
            “Tiada apalah.”
            “Jadi kenapa tengok Along macam tu?” Soal Nazim yang lebih selesa membahasakan dirinya sebagai Along di hadapan ahli keluarganya.
            “Hmmm, Along jangan balik lewat sangat pula. Along tahukan adik Along yang seorang ni teramat berani tinggal seorang diri dalam rumah.” Pesan Nasuha.
            “Kalau rasa takut tinggal dalam rumah, tinggallah luar rumah.” Jawab Nazim bersahaja.
            “Along!”
            “Guraulah. Along pergi kerja nanti jangan lupa kunci pintu semua. Telefon bawa pergi mana saja. Nanti mak telefon, Along telefon jawab cepat. Jangan buat orang lain susah hati.” Ujar Nazim.
            “Baiklah.” Nasuha sekadar mengangguk lemah.
            “Angguk tapi nanti Achik di mana, telefon tu entah ke mana. Untuk makan malam nanti masak lebih sikit. Malam ni Abang datang nak makan di sini.” Pesan Nazim yang hampir terlupa untuk memberitahu Nasuha tentang perkara itu.
            “Abang datang malam ni?! Yessss! Nak minta dia belikan Chicky Meal la.” Cepat sahaja otaknya membuat percaturan kala itu.
            “Bukan Achik makan pun.”
            “Makanlah.”
            “Makan konon walhal nak mainan saja. Macam budak-budak!” Ujar Nazim sambil menghirup nescafe O yang telah terhidang di atas meja.
            “Biarlah. Nanti kalau Pak Abu ada jual sayur, Achik keluar pergi beli ya.”Beritahu Nasuha pula cuba mengalihkan topik sebentar tadi.
            “Guna duit yang Along bagi semalam.”
            “Okay. Along makanlah cepat.  Sekarang jam 6.45 pagi tau, nanti lewatlah sampai sekolah.”
            “Baru jam 6.45 pagi. Along biasa gerak dekat jam7 tau.”
            “Kan masuk jam 7.30 pagi. Kenalah datang awal pergi sekolah supaya tidak kelam-kabut, supaya sempat tarik nafas lega, berehat.”
            “Aduiiii mak nenek dah membebel. Along jalan dululah. Tengah hari Along tak balik tau. Along ada latihan ragbi di sekolah.”
            “Baik cikgu. Bagi latihan secukupnya dengan anak murid tu. Jangan lewat balik, jangan melepak di kedai kopi. Ingat orang di rumah ni.” Pesan Nasuha  ketika berdiri di muka pintu.
            “Tutup pagar tu.” Pesan Nazim sebelum memecut laju keretanya.
            ‘Mentang-mentang aku ada di rumah dia, manja bukan main lagi. Pintu pagar pun aku juga yang kena tutup. Nasib kaulah Nasuha.’ Desis hatinya.
Selepas menutup pintu pagar rumah tersebut dia melangkah semula untuk masuk ke dalam rumah. Seorang lelaki memerhati langkahnya. Nasuha sekadar mengangguk dan tersenyum kepada lelaki itu.
            “Isteri baru diakah?” Soal Rozairen perlahan.
            ‘Amboi mata tu. Pandang tak berkelip. Aku taulah aku ni asing di sini tapi aku bukan makhluk asing kau nak pandang macam tu. Aku cucuk mata kau dengan garfu dah jadi geng Kassim Selamat.’ Bicara hatinya seraya melangkah masuk ke dalam rumah dan menguncinya.
           
            “Achik, Kak Ain pergi sana.” Ujar Ain kepada adik iparnya.
            “Baik kak. Hati-hati. Along pergi dengan akak kan?” Soal Nasuha kepada kakak iparnya pula.
            “Ya, tu Along dengan Hariz dan Hamizah.” Ain menunjukkan suami dan anak-anaknya yang telah menapak jauh mendahuluinya.
            “Okay kak. Jangan jauh sangat jalan tu.”
            “Okay. Baca novel tu jangan sampai tak ingat orang sekeliling.” Pesan Ain sebelum meninggalkan Nasuha di bawah sepohon pokok yang rendang.
            “Ya.” Itu sahaja jawapan ringkas Nasuha sambil memerhati langkah Ain mendapatkan Nazim dan sepasang anak mereka.
            Tiga puluh minit kemudian, Nasuha bingkas bangun menghampiri gigi air sambil mengutip kulit siput yang menarik perhatiannya. Sekali-sekala dia melompat apabila ombak kecil menghampirinya. Dia berhenti seketika apabila terdengar jeritan Hariz memanggilnya agar turut serta berenang di laut.
            “Achik! Jomlah.” Jerit Hariz lagi.
            “Tak mahulah. Achik tiada bawa baju ganti.” Jerit Nasuha pula berharap agar suaranya di dengari oleh mereka. Hariz yang tidak berpuas hati segera berenang ke tepi mendapatkan Nasuha.
            “Jomlah Achik.” Pujuk Hariz lagi.
            “Achik tiada bawa baju ganti. Kalau Achik mandi, baju Achik basah, Achik tak boleh naik kereta. Nanti terpaksa Achik tinggal sini.” Terang Nasuha satu-persatu.
            “Mesti Achik menyesal tak nak ikut kami mandi laut.” Ujar Hariz sambil mencebikkan bibirnya di hadapan Nasuha dan berpaling ingin kembali bersama ayah, ibu dan adik perempuannya.
            “Hati-hati Hariz.” Pesan Nasuha sambil memandang setiap langkah Hariz.
            “Eh, lupa pula. Achik sinilah.” Hariz yang berpatah semula menyuruh Nasuha duduk.
            “Apa.”
            “Sinilah. Nak sayang Achik Hariz yang takut air ni.” Ujarnya seraya mengucup kedua-dua belah pipi Nasuha. “Achik takut air macam kambing.” Sambungnya nakal dan terus sahaja berlari masuk ke dalam air mendapatkan ayahnya.
            “Aduiiii, budak kecil ni.” Nasuha tersenyum dengan telatah anak saudaranya itu.
            Tiba-tiba sahaja angin bertiup kencang dan kelihatan ombak besar menghempas pesisir pantai beberapa kali. Cepat sahaja Nasuha mencari kelibat Hariz. Dia lihat ombak tinggi itu menenggelamkan Hariz. Dia terkesima seketika apabila sedar dia cuba mencari susuk tubuh Hariz namun tidak seorang pun yang dilihatnya di tengah-tengah laut itu. Saat itu badannya menggigil dan hatinya berdegup kencang.
            “Hariz! Hariz! Hariz! Along! Along! Alongggg!” Jerit Nasuha dari pantai.
            “Kenapa?” Soal seorang lelaki berusia awal 50-an kepada Nasuha.
            “Abang saya, tadi mandi di sana.” Beritahu Nasuha masih lagi membendung air matanya.
            “Astaghfirullah al’aziiim.” Lelaki itu beristighfar panjang.
            Satu jam selepas peristiwa itu, Nazim ditemui di kawasan berhampiran oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat dalam keadaan separuh sedar. Manakala usaha mencari Ain, Hariz dan Hamizah masih lagi diteruskan dan berlarutan hingga ke malam. Nasuha bersama anggota keluarga yang lain bersama-sama berdoa agar ketiga-tiga mangsa yang masih hilang ditemui segera. Selepas lebih 5 jam barulah mayat Ain dan Hamizah ditemui 800 meter dari tempat mereka mandi-manda tadi. Manakala mayat Hariz hanya ditemui pada pagi keesokkan harinya. Nasuha yang berada di tempat kejadian menggigil melihat sekujur tubuh itu dengan kulit pucat kebiruan milik Hariz. Dia merasakan seperti baru sesaat tadi Hariz mengucup pipinya.
            “Hariz.” Luah Nasuha dengan linangan air mata yang sedari tadi membasahi pipinya. “Achik rindu korang. Kak Ain, Hamizah, Hariz semoga kalian damai di sana. Al-Fatihah.” Nasuha menadah tangannya dan membaca surah Al-Fatihah dengan bacaan tajwid yang betul untuk disedekahkan kepada arwah kakak ipar dan anak saudaranya.
            Nasuha menyeka air matanya. Gambar Hariz yang digantung rapi di ruang tamu rumah itu dipegang dan dibelai perlahan. Hampir 2 tahun kejadian itu berlaku namun ia masih segar lagi diingatan Nasuha. Terasa baru semalam perkara itu berlaku dalam hidupnya. Masih lagi terbayang di matanya bagaimana ombak besar itu melenyapkan Hariz bukan sahaja pada ketika itu tetapi buat selama-lamanya.
            Telefon bimbit Nasuha berbunyi nyaring. Cepat sahaja Nasuha mencapainya dan menjawab panggilan tersebut. Suara ibu di hujung talian segera membubarkan kenangan lalu yang hanya mampu dikenang tanpa mampu diulang kembali oleh mereka. Sekali lagi air mata yang tadinya bergenang jatuh membasahi pipi dan cepat sahaja Nasuha menyekanya dan berharap ibunya tidak perasan akan perubahan suaranya itu.