BAB 15
“Taubat Nasuha! Taubat Nasuha sesat
lagikah?!” Jerit Hafiz Azhar dari muka pintu tandas. Cepat sahaja Nasuha
terpacul di muka pintu seraya menendang kaki lelaki itu.
“Adoi, sakitlah.”
“Luaran sakit boleh sapu ubat, ni dalaman
yang sakit ni nak sapu apa?” Getus Nasuha geram sambil jari telunjuk
dilaga-lagakan di dadanya.
“Ups!!” Hafiz Azhar kelu tidak
menjangka tindak balas sebegitu yang diberikan oleh Nasuha.
“Tepi.” Ujar Nasuha keras sambil
melangkah ke tempat duduk bahagian belakang van yang disewa mereka.
“Kenapa tu?” Soal Christie Nala
sebaik terlihat Hafiz Azhar yang baru sahaja muncul. Lelaki itu sekadar
menjungkit bahu tanpa mahu mengulas lanjut tentang apa yang telah terjadi.
“Kau okay?” Soal Khayla Irdina perlahan.
“Okay.” Ringkas sahaja jawapan
Nasuha. Jika tidak mengenangkan tugasan luar kampus itu perlu disiapkan pada
hari itu juga sudah pasti dia akan terus balik sahaja.
“Apa dia buat dengan kau?” Soal
Khayla Irdina masih belum berpuas hati dengan jawapan rakannya itu.
“Kau tanyalah dia.”
“Suha okay?” Soal Amir Shah lembut.
“Okay.” Jawab Nasuha tanpa menoleh
ke arah Amir Shah.
“Suha, pandanglah sini.” Pinta Amir
Shah.
“Aku nak tidur.” Nasuha tutup muka
dengan tuala kecilnya.
Hafiz Azhar mencampak plastik kecil
yang terdapat beberapa biji gula-gula hacks tepat ke arah Nasuha. Nasuha
sekadar memandang plastik itu dan kembali menutup wajahnya dengan tuala kecil
berwarna putih itu.
“Makan gula-gula hacks boleh elak
mabuk. Jangan nanti belum sampai Linangkit Culture Village ada yang
termuntah-muntah dalam van.” Ujar Hafiz Azhar yang ditujukan khas untuk Nasuha.
‘Diamlah kau mangkuk.’ Jerit Nasuha
namun hanya bergema di dalam hatinya. Dia mengambil langkah untuk berdiam diri
dari terus bersuara dan melayan kata-kata Hafiz Azhar yang akhirnya tentu akan
menyakitkan hatinya sendiri.
“Taubat Nasuha bangun.” Hafiz Azhar
mengejutkan Nasuha dari tingkap.
Nasuha menarik tuala kecilnya. Dia
menggosok matanya beberapa kali. Dia menoleh ke kiri dan kelihatan Hafiz Azhar
sedang memandang ke arahnya. Dia menjeling sekilas ke arah lelaki yang sudah
pun berada di halaman Linangkit Culture Village Sdn.Bhd yang terletak di
Kampung Selupoh, Tuaran.
“Tolong lap liur tu sebelum turun.
Jangan nak bagi malu UMS.” Ujar Hafiz Azhar lagi sebelum melangkah pergi
meninggalkan Nasuha. Cepat sahaja Nasuha menutup mulutnya dan mengesat
keseluruhan mulutnya dengan tualanya. Hafiz Azhar sempat melirik tingkah Nasuha
itu dan tersenyum melihat kekalutannya.
Setelah hampir 2 jam berjalan
mengelilingi rumah tradisional suku kaum Kadazan-Dusun Tuaran dan menemu ramah
Encik Elvin Jilan selaku Pegawai Perhubungan Awam Linangkit Culture Village
Sdn.Bhd akhirnya tugasan mereka selesai juga. Masing-masing berpuas hati dengan
info yang telah diberikan oleh Encik Elvin Jilan mengenai sejarah dan juga
budaya suku kaum Kadazan-Dusun Tuaran.
“Yang di sana tu ladang jagung
Linangkit Cultute Village jugakah?” Soal Noor Atikah sambil menudingkan ibu
jarinya ke arah ladang jagung yang terdapat di seberang sungai.
“Ya. Kalau nak melawat di sana saya
boleh bawa juga.”
“Bolehkah?” Soal Khayla Irdina
cepat.
“Boleh, itu pun kalau kamu mahulah.
Biar pun skop kajian kamu tentang sejarah, adat dan budaya suku kaum
Kadazan-Dusun Tuaran tapi alang-alang sudah sampai sini apa salahnya.” Ujar
Encik Elvin Jilan.
“Mahu sangat-sangat. Boleh kita
pergi sekarang?” Ujar Khayla Irdina dan Noor Atikah serentak.
“Seeloknya kita minum pagi dulu.”
“Eh, ada minum pagikah?”
“Ada. Minuman ringan saja.
Jemputlah.” Pelawa Encik Elvin Jilan.
“Wah, Encik Elvin ni baiklah.” Noor
Atikah senyum sambil berjalan seiringan dengan Encik Elvin Jilan.
“Suha okay?” Soal Amir Shah
menghampiri Nasuha.
“Okay.”
“Okay tapi macam tak okay saja.”
Tebak Amir Shah.
“Okaylah.” Jawabnya bersahaja sambil
sama-sama melangkah menuju ke kafeteria Linangkit Culture Village Sdn.Bhd.
“Nescafe
or tea?” Soal Hafiz Azhar sebaik tiba ditempat duduk Amir Shah.
“Nescafe. Thank you.” Ucap Amir Shah.
“Hafiz jadi pekerja sinikah?” Soal
Nur Shammiza.
“Maaf ya di sini layan diri. Jadi
aku menawarkan diri memberi perkhidmatan ni.”
“Hafiz bagi sandwich.” Pinta Noor
Atikah.
“Maaf, aku hanya urus minuman
sahaja. Kalau korang nak makan sila ambil sendiri.”
“Suha mahu minum apa?” Soal Amir
Shah kepada Nasuha.
“Oh, kalau Taubat Nasuha ni
memanglah dia minum teh kan. Dia mana pandai minum nescafe.” Pintas Hafiz Azhar
sebelum sempat Nasuha menjawab pertanyaan Amir Shah. Selepas menuang minuman di
dalam cawan Nasuha, Hafiz Azhar terus sahaja meletak teko tersebut di tempat
asalnya.
“Hoi, Hafiz air kami mana?” Jerit
Suhairul kurang berpuas hati apabila cawannya masih kosong.
“Tuang sendiri.” Ujar Hafiz Azhar
sambil melangkah untuk mengambil hidangan yang terdapat di atas meja panjang
itu.
“Tadi kata lain sekarang kata lain.”
“Encik Elvin kata pandai-pandailah
layan diri. Dia takut kalau aku layan kamu semua ni, dia tak mampu bayar gaji
aku. Kan Encik Elvin?” Hafiz Azhar sengih melihat Encik Elvin yang berdiri di
sebelahnya. Encik Elvin sekadar tersenyum dan menggeleng kepalanya.
“Nah untuk kau.” Hafiz Azhar
menghulur sebungkus sandwich tuna kepada Nasuha.
“Aik Nasuha saja. Sandwich aku
mana?” Perli Amir Shah.
“Kalau nak ambil sendirilah.” Jawab
Hafiz Azhar acuh tak acuh. Amir Shah bingkas berdiri untuk mengambil sandwich
yang terdapat di meja panjang itu.
“Kau kenapa? Demam?” Soal Hafiz
Azhar setelah melabuhkan punggung di sebelah Nasuha sebaik ditinggalkan oleh
Amir Shah. Nasuha diam, tidak mahu menjawab pertanyaan Hafiz Azhar sebentar
tadi.
“Ehem.” Amir Shah berdehem tanda
ingin duduk semula di kerusinya sebentar tadi.
“Amir duduk sinilah.” Ujar Khayla
Irdina manja sambil menarik kerusi kosong di sebelahnya. Amir Shah terus belalu
dan duduk di kerusi tersebut.
“Terima kasih.”
“Sama-sama. Amir, janganlah kacau
daun orang yang nak settlekan masalah
rumah tangga tu.”
“Mereka couple?”
“Erm, couple tu taklah sebab Nasuha tu bukan jenis yang layan couple-maple ni.”
“Oh, maknanya dia single lagikan?” Amir Shah meminta
kepastian.
“Ya.” Khayla Irdina menjawab jujur
tapi bibirnya diherotkan sedikit. Entah kenapa dia meluat pula apabila Amir
Shah seolah berminat ingin mengetahui tentang Nasuha.
“Makanlah sandwich tu bagi isi perut. Tengok, muka pun pucat.” Ujar Hafiz
Azhar sambil menghirup minumannya.
“Kalau semua sudah habis minum, jom
kita bergerak pergi seberang sana.” Ajak Encik Elvin Jilan. Masing-masing
bangkit dari kerusi dan segera mengikut jejak langkah Encik Elvin menuju ke
tebing sungai di mana terdapat sebuah rakit sebagai pengangkutan untuk menyeberang
ke ladang jagung tersebut.
“Best!”
Jerit beberapa orang ahli kumpulan itu.
“Sebab kita ni ramai, kita kena
bahagikan kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama akan bergerak sekarang. Erm, yang
pakai sarung kaki tu hati-hati, jaga basah.” Pesan Encik Elvin Jilan cuba
mengingati para pelajar Universiti Malaysia Sabah yang membuat kajian di
tempatnya.
Setelah berjalan di dalam ladang
jagung itu, mereka berehat sebentar di pondok yang terdapat ditebing sungai
itu. Banyak cerita yang dikongsikan oleh Encik Elvin kepada pelajar-pelajar
tersebut. Setelah puas berehat barulah mereka mengambil keputusan untuk kembali
ke rumah tradisonal itu dengan menaiki sampan yang terdapat di sana.
“Ila, biarlah kita yang terakhir.”
Kata Nasuha kepada Khayla Irdina.
“Erm, tapi aku nak naik sampan
dengan Amir.” Ujar Khayla Irdina seraya menapak ke tebing sungai.
“Stop,
stop, stop. Satu orang saja lagi.” Ujar Amir Shah.
“Kan aku seorang ni.”
“Kau ikut kumpulan yang lastlah Ila. Suha, cepat naik.” Ajak
Amir Shah.
Khayla Irdina ketap bibir geram. Dia
renung Amir Shah sedalam-dalamnya. Lelaki itu hanya bersahaja, tidak
menunjukkan sebarang tindak balas. Hafiz Azhar yang berada berhampiran sampan
memandang Nasuha yang masih lagi berada di pondok di mana mereka berehat tadi.
Dia lihat Nasuha geleng kepala yang membawa maksud menolakan ajakan itu. Hafiz
Azhar senyum namun senyuman itu hanya di hatinya cuma.
“Jomlah.” Ajak Amir Shah.
“Tak mahulah. Pergilah dulu. Ila
pergilah dulu” Ujar Nasuha sambil melabuhkan semula punggungnya di kerusi yang
terdapat di pondok itu.
Hafiz Azhar sekadar menjadi
pemerhati sepi kala itu. Wajah Nasuha yang polos dipandangnya sekilas manakala
melihat memek muka Khayla Irdina sebentar tadi membuatkan dia terfikir seribu
macam soalan tapi satu persatu juga soalan itu ditepis dari mengganggu
benaknya. Masing-masing melayan perasaan sementara menanti perahu itu tiba lagi
untuk membawa mereka ke seberang sana.
“Jaga basah stokin tu Taubat Nasuha.” Tegurnya serius apabila melihat Nasuha
seolah-olah tidak terlihat air sungai yang berada berhampiran kakinya.
Nasuha tidak menyahut kata-katanya
tapi dia tahu Nasuha mendengar kata-katanya tadi dengan hanya melihat tindak
balas yang dilakukan oleh Nasuha itu. Di lihat Nasuha terus sahaja duduk tanpa
berjalan lebih jauh lagi. Hafiz Azhar duduk dibelakangnya dan seraya mendayung
sampan itu bersama Suhairul yang berada di bahagian tengah.
“Yeah, sampai!” Jerit Faridah dan
Norliza serentak yang bersama-sama mereka di dalam sampan itu. Masing-masing
bangkit untuk turun dari sampan kecil itu kecuali Nasuha yang masih lagi
memegang erat tepi sampan.
“Kau kenapa? Nak tinggal di sampan?”
Ujar Hafiz Azhar membuatkan Nasuha terus berdiri.
“Liza tunggulah.” Ujarnya tetapi
Norliza pantas bergerak. Cepat pula tangan Nasuha memegang kejap pergelangan
tangan Faridah.
“Suha, kalau kau pegang macam ni
macam mana aku nak jalan.” Ujar Faridah seraya melangkah perlahan.” Nasuha
teguk liur sebaik Faridah selamat menjejakkan kaki di tangga untuk mendaki
terus ke bahagian atas pentas dimana mereka difahamkan oleh Encik Elvin pentas
itu digunakan untuk membuat persembahan ketika ada majlis di sana.
“Kau fobia air?” Soal Hafiz Azhar
sedikit cemas melihat wajah pucat Nasuha. Namun seperti tadi Nasuha hanya
mendiamkan diri. Hafiz Azhar melangkah ke hadapan, memintas Nasuha yang
seolah-olah keras dihadapannya.
“Kau janganlah jalan, nanti aku
jatuh.” Marah Nasuha.
“Dah tu kalau tak jalan bila masa
nak sampai cik Taubat Nasuha.” Tukas Hafiz Azhar sambil memerhati Nasuha yang
masih lagi kaku di tengah sampan kecil itu.
Dia
senyum, terdetik untuk menyakat Nasuha kala itu. Dia menggoyangkan sampan kecil
itu dengan kakinya membuatkan sampan itu tidak stabil. Kerana terlalu takut
jeritan Nasuha tidak kedengaran saat itu namun lengan baju Hafiz Azhar ditarik
kuat agar dia tidak tercampak masuk ke dalam sungai yang dikatakan penghujung
bagi Sungai Tuaran.
“Hafiz
jangan buat begitu.” Jerit Christie Nala dari pentas apabila melihat kenakalan
Hafiz Azhar itu.
“Okay,
okay. Aku gurau sajalah. Dia ni yang penakut. Cepatlah jalan. Aku biar kau
tinggal sorang-sorang atas sampan ni
baru tau.” Ujar Hafiz Azhar membiarkan Nasuha berpaut pada lengan bajunya
sehingga menampakkan bahunya.
“Suha
jalan perlahan-lahan.” Arah Christie Nala lembut.
“Cepatlah
Taubat Nasuha. Kau tak akan jatuhlah kecuali ada buaya tarik kau masuk dalam
sungai tu.” Sakat Hafiz Azhar biar pun dia sendiri kaku di atas sampan itu
sementara menanti Nasuha melangkah.
“Hafiz!”
Marah Christie Nala lagi.
“Mari
sini.” Hafiz Azhar seolah ingin mencapai tangan Nasuha untuk membantunya keluar
dari sampan itu.
“Jangan
pegang.” Ujar Nasuha perlahan.
“Okay
aku tak pegang tapi cepatlah naik. Aku ni seksi dah oleh kau. Kau ingat freekah aku nak tayang bahu aku ni.”
Ujar Hafiz Azhar sambil melirik ke arah bahunya yang terdedah akibat lengan
bajunya ditarik oleh Nasuha.
Nasuha tidak menjawab kata-kata
Hafiz Azhar itu sebaliknya mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Hafiz Azhar
senyum melihat gelagat Nasuha itu namun akhirnya selamat juga gadis kecil itu
mendaki tangga itu untuk terus menuju ke pentas. Dia bergerak menuju ke sinki
yang dibuat dari bahan terpakai seperti kuali dan tayar kereta untuk mencuci
tangannya. Lututnya terasa longgar kala itu, tangannya juga menggeletar.
“Minum air.” Ujar Hafiz Azhar
ringkas sebaik menghampiri Nasuha.
Nasuha
patuh, cuba untuk mencari air mineral di dalam begnya. Cepat sahaja Hafiz Azhar
menarik beg Nasuha dan mengambil botol mineral di dalam beg tersebut apabila
melihat tangan Nasuha yang menggeletar hebat itu. Dia buka tutup botol dan
menghulurkannya kepada Nasuha. Gadis itu sekadar senyum sekerat, tidak tahu apa
tindak balas terbaik yang sepatutnya diberikan kepada lelaki itu.
Semasa
dalam perjalanan balik dari Kampung Selupoh, Tuaran menuju ke Universiti
Malaysia Sabah sempat juga mereka singgah di Masjid An-Nur yang terletak di
Pekan Tuaran yang juga merupakan masjid terbesar yang terdapat di negeri Sabah
bagi menunaikan solat zohor sebelum mencari tempat untuk makan tengah hari pada
hari itu.
“Kau
makan banyak-banyak, bukan asyik belek mainan saja.” Tegur Hafiz Azhar yang
sedari tadi memerhati Nasuha yang leka membelek mainan chicky meal KFC itu.
“Kalau
kau nak tahu, Suha memang banyak koleksi mainan KFC ni. Dia masuk KFC bukan nak
makan tapi nak dapat mainan saja.” Beritahu Khayla Irdina, membongkar rahsia
Nasuha.
“Dah
simpan dulu mainan tu. Makan dulu. Ni nasi makan sampai habis, tak habis jangan
balik.” Ujar Hafiz Azhar tegas.
“Hafiz
dah macam bapa bagi arahan dengan anak dia.” Ujar Faridah dengan kepala yang
sengaja digeleng-gelengkan.
“Bapa
tak bapa yang aku tau semua habis makan. Tak habis jangan balik.”
“Ha,
cepat habiskan makanan, nanti bapa tak bagi balik.” Ujar Norlizah pula seraya
menggigit rakus ketulan ayam yang ada dipegangnya.
Suasana
Restoran KFC yang terdapat di pekan Tuaran itu sedikit kecoh dengan kehadiran
mereka. Khayla Irdina dilihat begitu mesra melayan Amir Shah yang duduk disampingnya.
Sekali-sekali anak mata lelaki bernama Amir Shah itu sempat mencuri pandang ke
arah Nasuha dan Hafiz Azhar yang duduk di hujung meja berhampiran dengan sudut
restoran.
“Kau
pernah lemas?” Soal Hafiz Azhar mula membuka cerita.
“Erm.”
Nasuha pandang Hafiz Azhar sambil mulut masih terus mengunyah.
“Aku
tengok kau macam fobia dengan air jadi aku saja tanya.” Ujar Hafiz Azhar seraya
menyedut minumannya. Nasuha tidak menjawab hanya ekor matanya memerhati lelaki
itu.
‘Budak
ni tak pernah sedarkah selama ni dia banyak buat salah dengan aku. Slumber saja macam tiada apa-apa yang berlaku.
Dah buat salah tu pandai-pandailah minta maaf.’ Desis hati Nasuha. Sakit pula
hatinya bila melihat tingkah Hafiz Azhar yang seolah-olah tidak ada apa yang
berlaku antara mereka sebelum ini.
‘Merajuklah
tu. Gurau sikit marah, tegur sikit merajuk, tanya sikit tak nak layan. Taubat
Nasuha Taubat Nasuha.’ Hafiz Azhar sengih sendiri mengenang perangai Nasuha
yang diumpamakannya seperti jinak-jinak burung merpati itu.